Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mari jilat perasuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Baru-baru ini, Senator Rais Yatim, yang dipertua Dewan Negara memberikan ucapan sempena Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu pada 28 dan 29 September di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Ucapan beliau berjudul “Minda Melayu: Pendorong Pembentukan Tamadun Tinggi”. 

Seperti biasalah, terserlah dari tajuknya, ucaptama itu penuh dengan puji puja tamadun Melayu masa lampau yang hebat-hebat dan unggul sekali.

Masalah dengan Melayu ialah, kita selalu meromantiskan masa lalu dan enggan mengecam kebobrokan masa kini. Memang, ada Rais Yatim menyebut-nyebut hal krisis nilai bangsa Melayu ini. 

Rais Yatim

Akan tetapi, cuma ada tiga perenggan dari keseluruhan 28 perenggan dari ucapannya itu yang menegur orang Melayu. Perihal lain ialah; romantika sejarah, dan pesan-pesan suci agar merenung semula kehebatan Melayu masa lalu. 

Tiga perenggan mengenai krisis nilai bangsa Melayu itu ialah perihal rasuah dan betapa OK dan sayangnya orang Melayu dengan rasuah, dan perasuah. Dalam tiga perenggan itu, teguran atau nasihat untuk bangsa Melayu ini sekadar touch and go. Atau sekadar sambil lalu. 

Tiada nama disebutkan. Tiada disentuh siapa yang merasuah, dan siapa perasuah, dan tidak dihuraikan bencana menimpa ekoran seronoknya menerima rasuah. Untuk keadilan, biar saya turunkan tiga perenggan tersebut dari halaman 14 dan 15 ucapan beliau.

“Masalah paling besar dan berat kini ialah segala-galanya tampak seolah-olah politik mempengaruhi semua aspek kehidupan. Dan politik didapati tidak mengamalkan nilai-nilai jati diri bersih sahsiah, bersih rasuah, nilai-nilai murni yang dijenterakan budi bahasa dan adab Islam. Prinsip-prinsip akhlak Islam tidak dihormati lagi.

“Senario kepimpinan politik Melayu khasnya sudah menonjolkan beberapa realiti teruk: Nak jadi pemimpin hebat mesti main rasuah; nak kaya cepat gunakan falsafah jenayah tak salah, bila ditangkap baru salah. Dalam rumah mesti simpan berjuta-juta wang tunai. Kesetiaan mesti beli dengan rasuah; cash is king jadi piagam dan tiupan semboyan.

“Nilai perjuangan kita sudah rosak, sudah pun sampai di tengah lautan malangnya kain layar sudah bolos, pendayung sudah patah. Berkerajaan politik mesti diperbaiki semula; nak memperjuangkan bahasa Melayu, nak mengisi kemerdekaan, nak mempopularkan tulisan jawi, nak mengatasi inflasi dan harga barang melambung tinggi - semuanya dikaitkan dengan politik. Tetapi politik Melayu itu sudah berkecai. Pemimpin tertinggi negara yang pegang kuasa tertinggi politik juga terkait, kejatuhan imej bangsa lantaran rasuah juga dicekik politik.”

“Politik Westminster yang diajar Inggeris mesti kita salut dengan kemurnian hidup lampau orang Melayu. Frank Swettenham governor general Negeri-negeri Bersekutu Tanah Melayu 1905 pernah mengatakan bahawa orang Melayu adalah Gentlemen of the East. Tapi kini kita sudah jadi Crooks of the East. Ke mana nak disorok muka? Apa jadi kepada ajaran Islam?”

Sipi-sipi, tak jentik

Demikian sipi-sipi Rais Yatim menyinggung perasuah. Beliau tidak menjentik pun siapa perasuah dan penyangak yang dimaksudkan. Siapa sekutu perasuah yang bercinta dengan pengkhianat dan penyangak secara serentak? 

Siapa crooks of the East itu misalnya, siapa yang harus menahan muka rasa malu? Siapa yang tidak menghormati akhlak Islam? Siapa pemimpin hebat yang bermain rasuah? Siapa yang menyimpan wang tunai berjuta-juta di rumah? Siapa yang membeli kesetiaan dengan rasuah? Siapa yang bermain dengan cash is king

Adalah penting untuk menamakan mereka ini kalau kita mahu berjujur dengan diri kita. Ucapan ini dilakukan menjelang PRU15. Ia boleh memberi kesan bahawa ucapan sipi-sipi ini untuk memancing ‘di sana’ kelak tanpa perlu menyakitkan yang ‘di sini’. 

Tidak salah menamakan perasuah dan penyangak ini kerana ada antara mereka sudah didapati bersalah oleh Mahkamah. Cuma bezanya, ada perasuah ini hukumannya dipenjara, ada yang sekadar didenda memulangkan semula wang atau aset tertentu. Pokoknya dalam undang-undang mereka memang bersalah. 

Masalah dengan sesetengah cendekiawan Melayu ini mereka jadi cendawan. Setiap kali seminar dan kongres ada muka pemikir Melayu ini. Tumbuh sekejap selepas hujan. Berlalu hilang entah di mana ketika pertengahan musim yang lebat dengan kemewahan dan mungkin angan-angan. 

Muluk-muluk peradaban dan tamadun yang ditabur dalam pelbagai ucapan seperti di atas hanya berguna untuk membuat orang Melayu percaya bahawa masa lalu itu romantis dan masa kini hanyalah kocak kecil dalam cangkir kopi o.

Masalah dengan sesetengah cendekiawan Melayu ini mereka jadi cendawan. Mereka bercakap pandai. Dalam mesyuarat bukan main berdegar-berlegar. Muncul di lapangan terbang menyambut perdana menteri yang baru pulang dari berucap dalam Bahasa Melayu di New York. 

Tetapi tidak sedar kehadiran mereka itu satu perakuan atau endorsement terhadap kaum dan spesis rasuah. Saat kembali ke gelanggang akademik mereka pun berucap perihal patriotika Melayu. 

Disentuhlah nama Mat Kilau, Dato Bahaman, dato itu dato ini kemudian ulang semula aksi lama, iaitu kembali menjilat perasuah, dan balik semula ke medan dewan kuliah untuk terpekik-pekik lain, dan ulang lagi menjilat. Gejala ini pernah Shahnon Ahmad menamakan ia sebagai ‘kitaran shit’ dalam noveletnya Shit.

Sampai bila cendekiawan Melayu hendak begini? Tidaklah menghairankan bangsa Melayu kini crooks of the East, tak ada akhlak, tak ada nilai moral, menampilkan realiti yang teruk.

Sudahlah pemimpin Melayu kaki rasuah, yang bijak pandai pula hanyalah layak meromantikakan sejarah.

Dua tahun lalu apabila saya menegur naratif abah, pak long dan pak su kelolaan administrasi pimpinan Muhyiddin Yassin, wah bukan main ramai cendekiawan (baca: cendawan) Melayu marah-marah. Sekarang apa sudah jadi Mak Cik Kiah oi? 

Abah dan pak long pun sudah tidak sebulu. Pak su ke sana sini sengih-sengih mengharap dapat bertanding dan mendapat restu kerabatnya. Yang bukan main membela Muhyiddin itu sedang sedap berjalan ke Eropah menghayak karya romantika sejarah Melayu. 

Seribu kali kongres tidak akan mengubah Melayu, kalau sarjana dan cendekiawannya suka menjilat. Kita boleh mengeluarkan nama semua cendekiawan yang bernas seperti Za’ba, Munshi Abdullah, Burhanuddin al Helmy dan nama-nama lain lagi dari kitab sejarah sedia ada. Kalau tidak meneladani mereka apalah gunanya.

Beza kita - yang menamakan diri selaku cendekiawan seperti dengan nama-nama di atas - ialah; saya tidak menemukan mereka menjilat perasuah. 

Tak ada. Tak pernah berjumpa. Cukup-cukuplah cerita pasal keunggulan Melayu masa lalu. Kita perlu mewaraskan dan membetulkan kebejatan Melayu masa sekarang. Wahai cendekiawan dan cendawan marilah bangkit memimpin bangsa agar dapat keluar dari keciritan ini.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.