Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sebuah bandar raya muda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | "Tulis pasal Kuantanlah pulak...." kata budak lelaki yang baru enam bulan bernikah itu. Dulu, jika kami mahu ke mana-mana, budak itulah yang akan segera melayan kehendak kami.

Tidak beliau kira walau ke mana tujuannya, malah jika diajak keluar tanpa tujuan pun beliau sedia. Kini tidak lagi.

"Isnin dengan Jumaat boleh, tapi kena kabo awal sikit," kata beliau memberikan jadual terbaru untuk boleh membawa kami ke mana-mana.

"Baru enam bulan bernikah dah dicengkam bini," kata kami - tapi di dalam hati. Mungkin beliau tidak tahu bahawa dalam hukum menjadi lelaki, seluruh dunia bersetuju bahawa setelah enam bulan bernikah, semua lelaki hendaklah bersiap sedia untuk mencari isteri yang berikutnya.

Teman beliau yang ada bersama kami - yang akan bernikah Disember nanti - bersetuju dengan saranan sahabat beliau itu.

Beliau berharap publisiti kepada bandar raya Kuantan itu nanti akan menjadikan perniagaan sate dan mi rebusnya bertambah maju.

Untuk pengetahuan semua - dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri - beliau berjaya menjual sehingga 5,000 cucuk sate setiap minggu. Ini adalah pengakuan beliau sendiri namun merahsiakan daripada kami jumlah mi rebus yang laku saban hari.

Hasilnya beliau yang dulu mahu tampak seperti seseorang yang sentiasa rebel, memaki ketidakadilan, menjerit sebaik ada peluang, kini adalah sebahagian daripada keluarga remaja berbangsa H.

Dengan kereta jenama H ketam nipah dan tunang di sisi, perjuangan beliau menentang kerajaan, rebel dalam dunia sastera dan ikon punk  Kampung Lebai Ali menemui gagal secara total.

Jam tangan jadi sendaan

Dengan kemeja T Polo kuda besar di lengan dan dada, serta kolar tegak sambil mengepit tas tangan jenama mahal di ketiak, kini setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya pasti diselang-seli dengan perkataan "projek" dan juga "Melayu ni malas, sebab tu dok maju".

Kami mungkin salah, tapi kami yakin beliau kini adalah ahli partai Melayu yang akan menang pilihan raya umum akan datang ini. Kesan berkawan rapat dengan peguam botak yang tidak botak lagi itu, barangkali.

Semasa duduk minum, mereka tidak berhenti-henti menghentam tulisan kami di portal ini. Tulisan kami tidak sepolitik dulu, tidak memajukan minda - kata mereka.

Menurut mereka lagi, kami sangat asyik memetik nama orang itu dan orang ini dalam tulisan kami.

Kami dituduh mahu menumpang populariti orang yang kami sebut. Kami disamakan dengan beberapa rakan mereka yang kerap berbuat demikian.

Kami akur dan kami tidak menyebut nama mereka atau siapa pun untuk artikel ini.

Dan yang paling melukakan adalah apabila mereka mengejek jam tangan kami sebagai jam Polis Evo. Kami pun jadi kecil hati.

Sekadar pemberitahuan, kami bukan penulis politik melainkan seorang yang suka menulis mengenai kebodohan - atau mungkin juga kecerdikan, bergantung kepada siapa yang kamu sokong - akan orang politik yang mendakwa sedang memperjuangkan kesaksamaan para rakyat jelata.

Kami tidak peduli partai politik kerana hampir semua partai politik yang ada hari ini dianggotai oleh mereka yang tamak serta yakin tidak akan mati.

Sementara mereka yang tahu akan hal kematian pula telah yakin bahawa sorga paling tinggi sedang menunggu kedatangan mereka dek merasa benarnya perbuatan mereka semasa masih hidup ini.

Mengenai Kuantan, kami tidak ada sebarang komplen. Bandar raya terbaru di negara kita ini semakin maju. Kami tidak mahu terlepas daripada mengucapkan tahniah kepada kumpulan anak muda yang bersungguh-sungguh membangunkan bandar lama Kuantan untuk dijadikan sebagai bandar tarikan pelancong.

Sejak lama dulu Kuantan tidak pernah berjaya untuk memanggil pelancong berbelanja. Hari ini hasil daripada kerja keras budak-budak yang merasa diri mereka mewakili kerja seni, Kuantan menjadi terlalu sibuk dengan kedatang orang luar, khususnya pada hujung minggu.

Masjid yang tak selesa

Kami tidak pernah tahu bagaimana ramainya pelancong yang datang ke Kuantan sehinggalah pada minggu lalu. Kerana meraikan pengantin enam bulan yang kami ceritakan pada awal tadi, kami jadi berlama-lama di kawasan bandar lama Kuantan.

Selepas Isyak di masjid paling panas di dunia, kami turun berjalan-jalan di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Kami dapati terdapat terlalu ramai manusia yang mundar-mandir di kawasan tersebut.

Sedikit makluman: masjid negeri di Kuantan itu tetap panas walau berbagai cara dilakukan untuk mengatasinya. Penyaman udara tidak membantu, sementara kipas gergasi hanya melibaskan rambut tanpa membawa apa-apa erti.

Masjid itu direka dengan tingkap yang banyak serta ada kawasan terbuka untuk aliran udara. Setelah semua tingkap ditutup rapat dan kawasan terbuka itu juga ditutup, masjid tersebut tidak berjaya memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Mungkin solusinya ialah dengan membuka kembali semua tingkap dan membuang semua dinding kaca yang dibina bagi mengawal aliran dari penyaman udara.

Apa yang kami lihat di Kuantan adalah pemandangan yang tidak pernah kami saksikan selama kami pernah tinggal di sana dulu.

Kami ke Kuantan pada Jumaat dan menurut beberapa kenalan, Sabtu dan Ahad merupakan hari yang lebih sesak berbanding Jumaat itu.

Tidak dapat kami bayangkan bagaimana sesaknya bandar raya Kuantan. Kerana sudah mengalami kesesakan pada hari Jumaat, kami tidak ingin lagi menyusahkan diri datang pagi hari-hari berikutnya.

Para peniaga juga kelihat amat gembira, namun kami berpendapat pihak kerajaan tempatan sepatutnya menutup jalan besar tersebut pada setiap hujung minggu dan menjadikan ia kawasan pejalan kaki.

Yang lebih utama ditutup tentu saja jalan yang membolehkan orang ramai melihat keseluruhan menara yang baru dibina itu dengan jelas.

Didapati mereka yang mengambil gambar di jalan tersebut sentiasa terpaksa mengelak kenderaan yang lalu-lalang dan ia amat membahayakan keselamatan.

Sementara itu, kami dapati hampir tidak ada kedai atau bilik pameran kain tenun Pahang di kawasan tersebut. Ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Menjadi satu kesilapan yang tidak mungkin dapat dimaafkan jika kita mengabaikan kain tenunan Pahang dalam serius mempromosi bandar raya Kuantan.

Kita semua tahu bahawa kain tenun Pahang bermula lama sebelum Mahatma Ghandi. Malah ada teori yang mengatakan ia wujud sehari sebelum datang meteor yang memusnahkan semua dinosaur di dunia ini.

Macam-macam ‘perniagaan’

Malah tidak keterlaluan jika kami mengatakan bahawa kain tenunan Pahang adalah seni tenun terbaik jika dibandingkan dengan kain tenun dari mana-mana planet yang ada di angkasaraya sana sekali pun.

Oleh kerana itu menjadi tanggungjawab semua rakyat Pahang - terutama yang berada di Kuantan, dan lebih-lebih lagi orang Pekan - untuk sama-sama mempromosi kesenian tersebut.

Semua jenis perniagaan sepatutnya mempamerkan sekurang-kurangnya 300 helai kain tenun Pahang di premis mereka tanpa perlu ada tujuan yang jelas. Sementara Majlis Bandaraya Kuantan boleh mewajibkan pemakaian kain tersebut kepada semua peniaga dan pekerja mereka.

Usaha yang lebih keras mesti dilakukan untuk memastikan semua penduduk bumi, langit, laut dan alam bunian tahu mengenai kesenian unik milik negeri Pahang itu.

Viva la vida kain tenun Pahang.

Dalam nada yang lebih serius, kami katakan begini: Kuantan sepatutnya berusaha lebih gigih untuk menghapuskan aktiviti maksiat yang menjadi tumpuan mereka yang datang dari Pantai Timur.

Kuantan sudah terlalu lama terkenal sebagai pusat hiburan berlandaskan lendir bagi sesetengah orang.

Kawasan Lorong Haji Ahmad telah mengambil tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Jalan Wong Ah Jang selepas suatu ketika dulu ia terkenal sebagai kawasan lampu merah atau Siam Kecil kemudiannya.

Di situ segala macam perniagaan berlandaskan maksiat dijalankan. Jika kamu tidak berkesempatan untuk menyambut pesta songkran di Siam sana, pergilah ke Lorong Haji Ahmad.

Di situ pesta menyimbah air tidak kurang meriahnya dengan apa yang diadakan di negara jiran. Ia menjadi acara tahunan sejak beberapa lama di kawasan tersebut.

Acara tersebut bukan saja disertai oleh pekerja-pekerja dari Siam sahaja. Ada antara mereka itu datang dari China, India, Afrika malah dari Uzbekistan juga.

Sementara kawasan  pasar besar pula masih dipertahankan sebagai kawasan yang ‘tersendiri’.

Sejak kami masih bersekolah sehingga kini belum nampak sebarang usaha bersungguh-sungguh dibuat oleh pihak yang berwajib bagi mengubah keadaan tersebut.

Dalam usaha memajukan lagi bandar raya muda ini, kegiatan yang tidak sihat harus diberikan tumpuan khas. Ia mesti ditangani dengan segera.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang selalu berasa muda.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.