Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sejengkal RM1 buat berjihad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Mendung berlalu, hujan dah jadi. Heboh hendak bubar parlimen sebelum pembentangan belanjawan akhirnya terjawab.

Politik dalam ‘demokrasi’ sebegini memang penuh teka-teki dan ketegangan yang panjang.

Saya jadi bernostalgia tentang persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) pada zaman tiada media sosial. Ketika itu, telefon bimbit pun adalah sesuatu yang begitu istimewa kerana tidak ramai yang memilikinya.

Biasanya ia hanya dimiliki oleh orang tertentu saja, seperti ahli perniagaan dan pegawai kanan.

Beberapa hari selepas bubarnya parlimen pada 1999, Setiausaha PAS Pasir Salak memanggil semua wakil cawangan untuk berbincang tentang persediaan menghadapi PRU.

Panggilan dibuat secara manual, iaitu dia berkunjung ke rumah-rumah setiausaha cawangan.

Cikgu Yazid Abdul Aziz mempengerusikan pertemuan yang berlangsung di surau Simpang Tiga Sungai Manik. Ketika itu hanya ada beberapa kerat guru kerajaan sahaja yang sanggup berjuang dengan PAS.

Dianggarkan lebih kurang 30 orang memenuhi ruang dalam surau itu. Kebanyakannya adalah petani, orang kampung atau - mengikut istilah sekarang - golongan B40.

Sesetengah penggerak cawangan PAS duduk di beranda surau.

Tawar pinjaman peribadi

Pada PRU 2004, program seperti itu diadakan di markas PAS di pekan Chenderong Balai. Begitu juga pada tahun-tahun kemudiannya.

Selepas Yang Dipertua PAS berucap, dilancarkan pula sesi sumbangan untuk menampung perbelanjaan parti menghadapi PRU. Pengerusi menerangkan perancangan belanjawan kawasan secara lisan.

Keperluan perbelanjaan yang diperlukan sesetengahnya diperolehi dengan membuat aku janji. Ada juga yang membawa tabung untuk dibuka pada malam itu. Ia adalah tradisi yang diamalkan PAS.

Pemimpin akar umbi yang hadir sedia maklum tentang agenda ‘pecah tabung’.

Selepas kutipan, semua tabung dikumpulkan dan dikira di hadapan yang hadir. Khabarnya, tradisi itu sudah mati sekarang.

Memang bayaran untuk deposit calon dan poster biasanya akan dikembalikan oleh pihak SPR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selalu pengendali di peringkat setempat. Bagaimanapun ia mestilah selepas PBT berpuas hati syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi.

Untuk bayaran tersebut, beberapa ahli PAS menawarkan pinjaman.  Atas semangat perjuangan, ada yang sanggup memberikan pinjaman sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Setiap cawangan juga akan melaporkan kesediaan memberi sumbangan untuk tabung tersebut. Selepas itu, majlis akan membuka peluang kepada ahli memberi sumbangan.

Bagi menimbulkan semangat berlumba-lumba memberi infaq, jumlah sumbangan akan diumumkan. Sebahagian ahli menyerahkan wang terus semasa majlis berlangsung, manakala yang lain membuat aku janji. Bayaran akan dibuat beberapa hari selepas itu.

Akhirnya majlis pada malam itu berjaya menghimpunkan sumbangan sebanyak RM13,000. Dengan wang tersebutlah kerja-kerja PRU dibuat dengan lebih lancar.

Wang tersebut hanya untuk kegunaan jentera PAS Pasir Salak saja. Jumlah itu sudah tentu tidak mungkin mampu menewaskan Umno yang kaya-raya.

Serah dan peluk

Untuk perbelanjaan di peringkat cawangan atau unit peti undi pula, PAS cawangan akan diminta mengusahakan keperluan itu sendiri. Kebanyakan pemimpin cawangan terpaksa mengeluarkan wang dari poket masing-masing.

Perbelanjaan di peringkat cawangan tidak banyak direkodkan. Tidak sebagaimana perbelanjaan di peringkat kawasan atau dewan undangan negeri yang dicatatkan segala perbelanjaan keluar masuk kewangan.

Meskipun demikian, biasanya tidak ada sebarang isu timbul kerana ahli parti sudah faham, sumbangan itu datangnya daripada keikhlasan yang mahu melihat PAS menang.

Jika tidak mampu menyumbang wang, ada yang menyumbang dalam bentuk lain seperti makanan, tenaga kerja dan sebagainya. Di dalam hati mereka terpasak keyakinan bahawa setiap sumbangan itu adalah jihad.

Pernah saya menerima sumbangan duit kertas RM1 setebal sejengkal daripada seorang  petani tua. Pak cik itu menyerahkan wangnya sambil memeluk saya ketika saya berkempen bertemu pengundi di Seberang Perak.

Pak cik itu hanya berbasikal. Saya fikir, pak cik itu lebih memerlukan wang berkenaan berbanding saya atau PAS, tetapi dia bertegas meminta saya menerima wang sumbangan berkenaan.

Berapa lamakah agaknya pak cik itu mengumpul wang tersebut?

Lazimnya di tengah-tengah kempen, sumbangan juga diterima daripada anak-anak kampung di perantauan. Jumlahnya agak ramai dan nilai ringgitnya juga besar. Mereka hanya datang pada hari mengundi atau beberapa hari sebelum itu.

PAS Perak juga memberi sumbangan dalam bentuk barangan seperti poster dan risalah. Pada PRU 2004, saya menerima sumbangan RM5,000 daripada Pemuda PAS Pusat kerana ketika itu saya adalah ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat.

Semua ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat yang bertanding menerima sumbangan sama.

Sumbangan lain yang saya terima ialah daripada Ustaz Busra, bekas pimpinan dan ulama PAS Perak yang pernah bertanding di Tapah. dia mempunyai pondok dan sangat berpengaruh.

Ustaz Busra menyampaikan sampul surat itu kepada saya. Pada luar sampul surat berisi sumbangan itu ditulisnya doa dan kata-kata semangat dalam tulisan Jawi.

Saudara-mara dan adik-beradik saya juga memberi sumbangan. Kebanyakannya mereka menyerahkan sendiri kepada pihak jentera di akar umbi. Sahabat seusrah saya di universiti juga turut datang memberi sumbangan.

Setengahnya mereka datang dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Hanya kebencian yang ada

Ada juga yang meminjamkan kereta 4x4 untuk kegunaan sepanjang kempen atau semasa hari mengundi. Kereta itu dipinjamkan kepada Ustaz Mustafa Shaari yang bertanding di DUN Kampong Gajah.

Saya hanya menggunakan kereta sendiri sahaja sepanjang tempoh berkempen.

Wang sebanyak manapun tidak akan mencukupi dalam membiayai perbelanjaan PRU. Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk pembelian poster dan pengurusan jentera.

Berbeza dengan BN yang menggunakan wang bukan sekadar untuk membiayai jentera tetapi mereka banyak memperuntukkan untuk pengundi.

Dalam PAS, semua yang bertugas sebagai PACA (ejen pusat pengundian dan ejen pengiraan undi) diberi wang sebanyak RM20. Petugas yang membawa pengundi juga diberikan sedikit wang untuk membiayai kos minyak kereta.

Jumlah itu tentu tidak dapat menampung kos dan pendapatan harian mereka bekerja. Kadangkala, mereka bekerja tanpa upah langsung.

Operasi pilihan raya digerakkan dengan semangat, keikhlasan dan ikatan ukhwah dalam organisasi. Kemiskinan parti dan kesederhanaan pemimpin dijana menjadi sumber kekuatan parti.

Namun apabila parti dan pemimpin mulai mempamerkan wajah khianat, ego dan sombong, pengikut mulai hilang kepercayaan. Hanya api-api kebencian yang menyala-nyala.

Ketika itulah, hilanglah manisnya berjuang.


MUHAIMIN SULAM ialah Naib Pengerusi Amanah Perak dan ahli pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.