Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Yang pengundi mahu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bayangkan sedetik, mandat rakyat Malaysia tahun 2018 yang lalu genap lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus.

Langkah Sheraton tidak berlaku. Penyamun dan perasuah dibicarakan dan diletakkan di belakang jeriji besi. Pelan peralihan berjalan lancar. Parti Agama menghormati dengan penuh akhlak keinginan pengundi dan tidak berdengki.

Apakah yang Malaysia kita capai? Kegemilangan tentunya. Kestabilan dan kemakmuran. Kita pasti bangkit menyaingi secara sihat negara lain.

Jadi bila ada parti mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah dan penuh perasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak pencuri masuk rumah dengan perasaan dia tak akan mencuri.

Bayangkan jika mandat rakyat tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Sebenarnya boleh membayangkan.

Pelaburan meningkat

Sebab bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH). Negeri ini dapat dijadikan teladan dan contoh. Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mungkin kurang dikenal orang negeri lain. Sejak di bawah PH, Negeri Sembilan mencipta peningkatan pelaburan.

Negeri Sembilan berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM7.93 bilion pada tahun 2020 dan RM5.8 bilion pada tahun 2021. Pelaburan besar yang dibawa ini bukan sekadar ambil dapat tetapi pelaburan berkualiti menerusi usaha Invest NS sepertinya pelaburan kilang baharu Dutch Lady Milk Industries (DLMI) bernilai RM400 juta yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya di Nilai.

Selain itu, terdapat sasaran Invest NS merangkumi tiga kluster utama iaitu pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) bagi daerah Seremban dan Port Dickson; pembangunan agrotani melibatkan daerah Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau serta pembangunan diversiti khusus dibangunkan di daerah Jelebu.

Kalau Muhyiddin Yassin dan Bersatu tidak gelap mata dan keluar buru-buru dari PH membentuk Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk rakus menjadi perdana menteri, tentu lain jadinya.

Kalau konco-konconya yang juga ada agenda peribadi dari PKR lebih mementingkan rakyat, maka Malaysia boleh seperti Negeri Sembilan di atas. Inilah yang akan kita perolehi. Kestabilan kerana perasuah sudah dipenjara. Dan kemakmuran kerana perasuah sudah dibenamkan dalam pilihan raya.

Jadi bila ada parti Melayu mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak perogol tegar masuk rumah dengan perasaan dia tak akan merogol emak dan nenek kita. Kalau kaki rogol, dia akan merogol juga waima orang tua.

Umno bukan model teladang

Bayangkan jika mandat rakyat tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Sebenarnya boleh membayangkan. Bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah PH. Kebetulan pula ada monarki baik. Raja memerintah dengan baik ini langka.

Prestasi kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Sembilan menjadi lebih molek selepas PH mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan pada 09 Mei 2018. Simpanan dan aliran tunai (cash flow) Menteri Besar Negeri Sembilan Pemerbadanan (MBINS), Yayasan Negeri Sembilan, PKNNS dan Negeri Roadstone Sdn Bhd bertambah elok.

Sebagai contoh staf Yayasan Negeri Sembilan tidak perlu merungut tidak dibayar gaji, kerana kini Yayasan tersebut memiliki simpanan RM16 juta. Kedai-kedai milik PKNNS yang kosong tidak disewa kini telah dijual dan dibeli kedai baharu di kawasan yang lebih strategik dengan harga yang lebih munasabah.

Tidak percaya boleh bertanyakan orang Kelantan kerana mereka ramai berbesankan orang Negeri Sembilan, boleh angkat telefon bertanya. Sebab malu juga bila keluarga menantu bertandang ke tanah serendah sekebun bunga sekali dihidang air kotor dari boring bawah tanah.

Jikalau betul yang ditawarkan ialah kestabilan dan kemakmuran mengapa Umno dan Barisan Nasional tidak memperagakan negeri di bawah pemerintahan mereka iaitu Perlis sebagai contoh? Sebab Perlis di bawah Umno memang tidak dapat dijadikan model teladan.

Tidak tahu apa keramatnya hutang yang dibikin kerajaan di sana, dan kaki hutang ini anehnya masih diundi Melayu Perlis. Jumlah hutang awam kerajaan Perlis pada tahun 2018 misalnya meningkat RM10.99 juta atau 2.8 peratus kepada RM403.32 juta berbanding RM392.33 juta pada tahun 2017.

Hal ini dinyatakan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Perlis 2018 mendapati tunggakan bayaran hutang awam oleh kerajaan negeri pada tahun 2018 meningkat kepada RM244.28 juta berbanding RM229.88 juta pada tahun 2017.

Jadi bila ada parti yang macam palat mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak penagih dadah tegar masuk rumah dengan perasaan dia tak akan mencekup barang kemas pusaka kita.

Malaysia jadi seperti N Sembilan

Bayangkan jika mandat rakyat Malaysia tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan.

Boleh bayangkan sebab ada data dan informasinya. Negeri Sembilan misalan dalam tempoh empat tahun sejak 2018 telah meningkatkan pelaburan asing (FDI), RM23.51 bilion dengan lebih 17,227 peluang pekerjaan ditawarkan.

Negeri Sembilan telah menukar status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal, menaikkan elaun daripada RM900 sebulan kepada RM950 sebulan untuk 1,500 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), elaun bilal daripada RM200 dinaikkan kepada RM500 dan elaun siak daripada RM200 dinaikkan kepada RM450. Tak kedengaran pula kisah azan tak dapat dilaungkan. Tak kedengaran cerita merepek perbalahan kaum yang suka diapikan parti rasuah.

Bahkan projek perumahan yang terbengkalai sejak zaman kerajaan negeri Umno di Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah juga dilunasi. Orang Negeri menikmati cukai tanah dan cukai taksiran yang sama selama lima tahun.

Jadi bila ada parti macam Umno mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak biawak hidup masuk rumah dengan cita-cita ia tak akan membaham haiwan ternakan kita.

Sebenarnya kalau Azmin Ali tidak kabur-kabur dan keluar gelojoh lahap dari PH membentuk PN tentu lain jadinya. Kalau konco-konconya macam Zuraida Kamaruddin lebih mementingkan rakyat, mengelak jadi pontianak maka Malaysia boleh seperti Negeri Sembilan di atas. Inilah yang akan kita perolehi. Kestabilan kerana perasuah sudah dipenjara. Dan kemakmuran kerana perasuah sudah dibenamkan dalam Pilihan Raya.

Bayangkan Langkah Sheraton tidak berlaku. Penyamun dan perasuah dibicarakan dan diletakkan di belakang jeriji besi. Pelan peralihan berjalan lancar. Parti Agama menghormati dengan penuh akhlak keinginan pengundi dan tidak berdengki.

Inilah yang akan dilakukan pengundi sekali lagi. Inilah yang akan pengundi beritahu kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta tetangga jiran mereka di kampung apabila pulang mengundi kelak. Orang Negeri Sembilan tahu itu. Orang Kelantan pun tahu sebab besan dan menantu dari Negeri Sembilan ada beritahu.

Jangan pula sesekali berpendirian tidak mengundi. Hujan ribut pun turun juga. Penyamun memang suka peratus mengundi rendah. Kerana ia seumpama tidak berpendirian bila ular senduk masuk rumah dengan angan-angan ia tak akan mematuk anak cucu kita.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.