Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | PAS Hilir Perak dalam politik tanah air

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Sejarah itu sifatnya adalah menjadi penyambung zaman lalu, masa kini dan juga masa hadapan. Maka dengan memahami itulah saya menulis mengenai PAS kali ini.

Terdapat beberapa pendapat tentang susur galur penubuhan dan evolusi perjuangan parti itu. Memahami sejarah PAS tidak sekadar berdasarkan pembacaan pada catatan sarjana, penulis atau pimpinan tetapi juga harus berada dalam denyut nafas perjuangan parti berkenaan.

Di dalam PAS sudah tentu ada perbezaan di antara orang yang sejengkal penglibatannya dengan orang yang segalah.

Ada yang mengatakan PAS berasal daripada Umno, dan sebalikya ada yang berpendapat berbeza. Kepercayaan itu bergantung kepada fakta dan juga tafsiran, selain disulami dengan sentimen peribadi.

PAS Hilir Perak sebelum merdeka adalah merujuk kepada PAS Bagan Datuk, PAS Teluk Intan dan PAS Pasir Salak pada masa kini. Artikel ini sangat penting untuk memperlihatkan pahit getir perjuangan PAS sejak awal sehinggalah sekarang.

Yang Dipertua PAS, Asri Muda, disambut orang ramai sewaktu menghadiri program di Hilir Perak selepas parti itu ditendang keluar dari BN pada 1977

Ia juga penting secara peribadi kerana Hilir Perak adalah daerah kehidupan setengah abad saya. Di sinilah sejarah kerjaya politik saya berkembang melalui PAS dan Amanah.

Oleh itu, tidak mungkin untuk sesiapa mampu menghapuskan kesan sejarah yang sudah sebati dalam diri ini.

PAS lahir di saat semangat kemerdekaan memuncak. Di dalam buku ‘Sejarah PAS, Membina Jiwa Merdeka 1951-1957’ terbitan Unit Buku Harakah, sejarah parti itu dikaitkan dengan Hizbul Muslimin dan Persatuan Ulama Se-Malaya.

Buku tersebut dianggap sebagai pendirian rasmi PAS. Berdasarkan kandungannya PAS menafikan tanggapan bahawa parti itu berasal dari rahim Umno. Namun beberapa tahun lalu ada kedengaran daripada ucapan pimpinan kedua-dua parti bahawa mereka berasal dari perut yang sama!

Sebenarnya sejarah tidak berubah. Yang berubah hanya tafsiran sejarah.

Usul penubuhan persatuan ulama

Ia juga memaparkan fakta bahawa semasa persidangan Umno pada 24 April 1948, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menangani pengaruh Hizbul Muslimin. Jawatankuasa tersebut kemudian diangkat tarafnya menjadi Jabatan Perkara Agama Umno.

Jabatan itu kemudian menubuhkan bahagian agama dan pelajaran yang diketuai Shekh Abdullah Fahim.

Pengharaman Hizbul Muslimin selepas pengistiharan darurat pada 1948 oleh Inggeris menyebabkan sebahagian aktivis parti itu menyertai Umno dan bergerak melalui bahagian tadi.

Yang Dipertua Umno, Onn Jaafar, melantik Ahmad Fuad Hasan bagi menggantikan tempat Sheikh Abdulah Fahim.

Kemasukan beberapa pimpinan dan aktivis Hizbul Muslimin menjadikan suara Islam dalam Umno lebih aktif. Majlis Ulama Hilir Perak mendesak agar Bahagian Agama Islam dan Pendidikan Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulama Malaya bagi membincangkan soal pentadbiran agama Islam.

Cadangan tersebut mendapat perhatian Jawatankuasa Agung Umno dan satu persidangan diadakan pada 21 dan 22 Feb 1950. Antara ulama Hilir Perak terkemuka yang menganggotai majlis tersebut ialah Haji Hussin (datuk kepada Jamal Abdillah), Tuan Guru Sulaiman Pagar (ulama lulusan Mekah), Sheikh Omar dan Sheikh Zubair yang pernah bertanding sebagai calon PAS pada 1955.

Antara keputusan daripada persidangan ialah menubuhkan Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Badan itu kemudian telah menganjurkan persidangan alim ulama di Butterworth pada 24 Nov 1951.

Orang ramai memenuhi Dewan SKOMK di Teluk Intan untuk mendengar ucapan Asri

Semasa persidangan itulah mereka memutuskan untuk menubuhkan Persatuan Islam se-Malaya (PAS) dan Ahmad Fuad Hasan menjadi Yang Dipertua Agung pertama.

Antara ulama Hilir Perak yang hadir ke persidangan itu adalah Tuan Guru Haji Ghazali Arshad dan Ustaz Turmuzi (ayah kepada Ahmad Zahid Hamidi). Penubuhan PAS mendapat sambutan dalam kalangan ulama dan orang awam di Hilir Perak sehingga membawa lahirnya PAS di kawasan itu pada 1952.

Mengikut Laporan Tahunan PAS 1954-1955, PAS Hilir Perak adalah antara 40 cawangan yang ada di seluruh semenanjung. Di Perak pula ada 13 cawangan berdaftar.

Menariknya pada 1956 PAS Hilir Perak mempunyai 913 dan ia merupakan keanggotaan tertinggi berbanding cawangan lain di seluruh negara.

Berdasarkan rekod mesyuarat agung tahunan, terdapat beberapa bahagian yang mencatatkan penglibatan perwakilan dan tokoh PAS Hilir Perak sama ada dalam perbahasan atau jawatan parti.

Ini merupakan sumbangan besar PAS Hilir Perak di peringkat awal penubuhan dan pembentukan parti itu.

Bawa usul untuk dibahas

Mesyuarat agung pertama PAS berlangsung pada 3 dan 4 Jan 1953 di dewan Madrasah Daeratul Maarif Al Wataniah, Kepala Batas, turut dihadiri perwakilan dari Hilir Perak.

Mereka mencadangkan penubuhan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sebagai sayap parti. Cadangan tersebut disokong perwakilan Bukit Besar dan diterima sebulat suara oleh perwakilan.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kedua PAS di Madrasah al-Ulum as Syariah di Batu 20, Bagan Pasir, Bagan Datoh pada 26 dan 27 Ogos 1953.

Sehari sebelum itu, Yang Dipertua PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy merasmikan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya dan melancarkan penubuhan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Seramai 24 perwakilan daripada 12 cawangan PAS hadir, selain lapan ahli jawatankuasa agung parti. Seramai 600 orang pemerhati turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

PAS Hilir Perak dan PAS Kerian adalah antara wakil dari Perak yang hadir.

Dalam mesyuarat agung pertama itu juga, perwakilan PAS Hilir Perak - yang membahaskan program politik parti - mencadangkan agar program "berikhtiar (untuk) menimbulkan cogan-cogan (syiar) Islam" ditukar kepada "(berikhtiar) melaksanakan hukuman-hukuman dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan orang seorang, masyarakat dan negara menuju keredhaan Ilahi."

Mustafa Ali yang ketika itu menjadi ketua Pemuda PAS berceramah

Namun selepas perbahasan yang panjang, mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan cadangan asal dan menolak usul dibawa PAS Hilir Perak.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan oleh perwakilan PAS Hilir Perak semasa mesyuarat tersebut ialah untuk menukar slogan "oleh rakyat dari rakyat untuk rakyat" kepada "berikhtiar menegakkan demokrasi, keadilan sosial, peri kemanusiaan dan kebangsaan."

PAS Hilir Perak juga mencadangkan agar Malaya merdeka tidak diletakkan di bawah lingkungan Komenwel British. Mereka mahukan kemerdekaan tulen bagi Tanah Melayu. Namun kedua-dua cadangan itu ditolak oleh persidangan.

Begitulah sejarah awal PAS Hilir Perak yang menyumbang kepada jalur perjuangan parti dengan pelbagai kaedah merentas zaman.

Meski sudah enam tahun saya meninggalkan PAS, terpaksa diakui bahawa semangat dan roh perjuangan awal parti itu masih kekal dalam diri ini. Sejarah politik tanah air yang dinamik pula menuntut kita bersikap adil dalam memahami unsur ketulenan, keanjalan dan kelestarian perjuangan Islam.

Pada pilihan raya umum kali ini, PAS tidak bertanding di Teluk Intan. Bukan kerana PAS tidak ada, sebaliknya parti itu sudah bertukar fungsinya menjadi hanya batu loncatan untuk parti lain mendapatkan kuasa.

Abdul Hadi Awang merupakan pemimpin muda yang sedang meningkat namanya ketika itu

MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.