KOLUM | Hukum goda suami orang atas alasan isterinya kaki disko
Saya bagaikan tidak percaya apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui yang inisiatif beliaulah memulai Langkah Sheraton, dengan meyakinkan Bersatu agar keluar pentadbiran PH lantas menjatuhkan kerajaan mandat rakyat PRU14. Alasan Haji Hadi ialah PH dikuasai mereka yang anti-Islam.
Soalan saya, apakah hukum perempuan yang bertudung labuh menggoda suami orang dengan alasan isterinya Cina kaki disko? Hukum mana yang dipakai untuk meruntuhkan rumah tangga orang?
Pengakuan Haji Hadi yang mendapat liputan besar-besaran media sangat mengejutkan penggiat demokrasi negara ini. Inilah jadinya apabila demokrasi diputarbelit dengan hukum agama sehingga meruntuhkan pentadbiran pilihan rakyat. Jika ini berlaku kepada pentadbiran PAS, tidakkah PAS merasai laknatnya?
Hal ini, pengakuan beliau, adalah satu kenyataan yang paling makar dan penuh helah terhadap sistem demokrasi. Bahkan ia menjadi bukti PAS tidak boleh bermain secara sihat di ruang demokrasi, dan tergamak membawa negara ke medan militansi dan radikalisme. Pokoknya selepas Langkah Sheraton kita menyaksikan keporak-porandaan tata kelola yang baik. Apa yang Abdul Hadi sebutkan adalah kenyataan atau pengakuan yang PAS tidak bersedia menerima keputusan PRU14.
Lebih menjengkelkan ialah setelah PAS (wanita Islamis ini) berjaya menggoda Bersatu (suami orang) keluar dari PH, mereka membentuk kerajaan (rumah tangga) bersama kelompok penyamun dan penyangak dari parti sebelah sana. Iaitu mereka yang antaranya telah disahkan bersalah oleh mahkamah kerana merompak aset negara.
Dalam erti kata lain, PAS janda bertudung labuh ini menggoda suami orang dengan alasan isterinya Cina kaki disko untuk diajak berpoligami dengan seorang lagi isteri lain, Melayu, yang merupakan lintah darat, kaki kebas dan pengamal nasi kangkang.
Tidaklah menghairankan Bersatu sebagai suami naif itu sekarang kelihatan kurus kering kerana dihisap dan disedut menjelang PRU15 ini. Habis tertanggal segala serinya sewaktu masih dalam PH.
Dahsyat sekali permainan PAS. Hari ini, kesan keburu-buruan itu, PAS memiliki suami orang yang amat uzur sedang harta benda dan kuasa rumah tangga itu telah direbut sepenuhnya oleh isteri Melayu yang lebih berpengalaman dalam menggadai harta dan mencuri pusaka. Suami orang ini sedang nazak, dan PAS selaku isteri yang terlanjur merebut laki orang terpaksa menjaganya.
Isteri Melayu kaki rompak yang diajak sama berpoligami dengan isteri Islamis tadi nampaknya kini bermaharajalela. Jika tidak dihentikan punah segala tanah pusaka dan aset rumah tangga terjual.
Hari ini kita sedang melihat kehancuran ekonomi negara. Bajet dipermainkan. Matawang kita semakin menggelupur melongsor turun.
Sangat mengejutkan ahli-ahli PAS gagal melihat ini semua dan bermandikan wala’ semata-mata. Tidakkah mereka kenang dan teringatkan pesan-pesan pendidikan dan asuhan tarbiyyah di era zaman almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat?
Di tangan PAS, demokrasi negara ini menjadi drama Melayu petang-petang lakonan Nora Danish dan Mira Filzah.
Kenyataan Abdul Hadi Awang yang dipetik dari Harakah menunjukkan ketidakupayaan PAS untuk bersaing secara adil dalam kancah politik negara.
“…selepas Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) bersetuju, diadakan pula rundingan dengan Umno. Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH. Saya mencadangkan presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baru.”
Langkah Sheraton merujuk kepada pergolakan politik negara pada bulan Februari 2020, apabila sekumpulan ahli parlimen PKR dan Bersatu keluar PH ketika gabungan berkenaan sedang menerajui kerajaan selama 22 bulan. Ia membawa kepada perdana menteri ketika itu, Mahathir Mohamad meletakkan jawatan lalu membuka laluan kepada kekucar-kaciran negara. Umno terlibat sama dalam ketidakstabilan tersebut sehingga membawa ketidakmakmuran negara hari ini.
Apa yang terjadi, dengan pengakuan Abdul Hadi Awang itu tadi adalah satu episod malapetaka sejarah paling malang sejak kemerdekaan negara.
Malaysia komited dengan sistem demokrasi, meskipun ia pincang dan tidak sebagus mana, akan tetapi ia masih cuba berfungsi. Apa yang PAS lakukan adalah gangguan terhadap perjalanan demokrasi dan pentadbiran negara, diakui sendiri oleh presidennya.
Perangai dan tindak-tanduk PAS ini disaksikan oleh mereka yang bukan Islam dan bukan Melayu. Saya pernah menemui warganegara berbangsa Cina yang mengatakan kepada saya, ‘Meskipun kami sanggup bersusah payah nak beri Malaysia jadi negara yang elok, orang Melayu suka bergaduh dan berbalah sehingga apa yang kita hendak bina hancur teruk.’
Inilah yang dilihat oleh segelintir orang Cina, rasa putus asa kerana negara ini tidak dapat membaik oleh sebab orang Islam seperti perempuan bertudung labuh tadi, retis menggoda suami orang. Manakala yang Melayu pengamal santet kerjanya hendak melintah darat.
Paling jahanam ialah perangai PAS itu ternampak mewakili Islam, malah alasan melakukannya ialah Islam-Islaman. Ini dilihat oleh mereka yang bukan Islam sebagai sesuatu yang tidak munasabah, dan membawa kepada kehodohan imej Islam. Orang bukan Islam melihat Islam bukan agama yang murni. Orang bukan Islam melihat Islam bukan agama yang sejahtera dan mementingkan moral.
Mana tidaknya, apakah hukum perempuan yang bertudung labuh menggoda suami orang dengan alasan isterinya Cina kaki disko? Hukum mana yang dipakai untuk meruntuhkan rumah tangga orang?
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai