Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Adakah dajal peduli skandal?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SEORANG teman ahli akademik dari Indonesia bertanyakan kepada saya, apakah yang telah membuat hati pengundi Melayu di Malaysia tertutup dan buta setelah skandal demi skandal korupsi negara terdedah; pun mereka masih tidak peduli?

Terbaharu, pendedahan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terdapat projek berbilion ringgit dipersetujui secara tergesa-gesa oleh kerajaan sementara ketika negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Salah satu kes yang menjadi perhatian Rafizi adalah melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air yang diterajui Ahli Parlimen PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sama ada betul atau tidak hal ini belum diketahui benar. Jika benar ia mencengangkan, tambah-tambah hal ini melibatkan parti berteras agama, dan merupakan parti di bawah gabungan Perikatan Nasional yang mendakwa parti itu konon bersih dari sebarang korupsi.

Menurut Rafizi, kementerian di bawah Tuan Ibrahim menganugerahkan tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkubumi Sdn Bhd bagi kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong - Durian Tunggal secara tender terhad (atau terpilih) di bawah program Jana Wibawa.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

Juga didakwa kementerian ini sedang dalam proses menganugerahkan satu lagi projek bernilai RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd - syarikat sama yang dianugerahkan projek kolam tebatan banjir Krubong - Durian Tunggal.

Sebelum dari pendedahan ini (yang belum kita tahu akan statusnya) terdapat juga pendedahan mengenai Projek LCS yang juga mencuri tumpuan apabila PAC mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Kesemberonoan ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011. Jumlah ini bukanlah main-main. Orang luar kehairanan mengapa kita orang Malaysia macam bangang membiarkan.

Kita rakyat sering diasak kehairanan orang luar, contohnya teman saya dari Indonesia itu; yang mempersoalkan mengapakah hati budi pengundi Melayu di Malaysia amat tumpul dan enggan peduli akan skandal korupsi begini?

Adakah kita memang tidak hairan atau tidak peduli akan skandal-skandal ini?

Malah, dalam PRU15 kelak parti yang terkait dengan skandal-skandal ini dijangka terus mendominasi sebahagian besar daripada 71 kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 70 peratus ke atas di Semenanjung. Beberapa penganalisis politik tanah air bahkan menduga orang Melayu akan kekal tidak peduli (dengan memilih gabungan parti berselaput rasuah ini).

PRU15 akan diadakan pada 19 November 2022

Mengapakah pengundi Melayu tidak merasakan penyelewengan itu, meskipun diselimuti dalil agama, sebagai bukan satu kemungkaran dan kebatilan di dalam agama? Mengapakah pengundi Melayu misalnya masih murahan terheret dan percaya dengan dakwaan parti pembangkang, misalnya telah terlibat dengan ajaran komunis, dicengkami LGBT, atau ejen Israel?

Orang luar bertanya tentang pengundi Melayu, apakah skandal yang merugikan negara tidak cukup sensasi sehingga tidak dipedulikan?

Apakah orang Melayu malas? Atau bebal? Atau mengalami krisis moral dan adab yang luar biasa dahsyat sehingga mengabaikan sahaja perompakan dan pecah amanah begini?

Mengapa kita membiarkan skandal ini mendajalkan kita terus-terusan?

Bangsa bermata satu di akhir zaman dikenali oleh orang Melayu sebagai dajal. Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut: “Dajal itu membawa maksud menutup dan menyembunyikan. Ia juga kadang-kadang membawa makna menipu. Oleh kerana itu, perkataan kazzabun (pendusta) adalah sebagai penguat kepada perkataan dajjal.” Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim Al-Abadi pula menjelaskan perkataan dajal yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah belitan dan kekeliruan, iaitu banyaknya perancangan jahat dan kekeliruan.

Pendusta dengan kekeliruan ini tidak lain tidak bukan, menurut saya, adalah ahli politik dusta dengan pakaian agama.

Memang, jika kita meneliti segelintir nama pemimpin parti-parti bertanding, ada yang mempunyai ‘kisah terselindung’. Jika pemimpin Barisan Nasional ada kes yang sedang tertangguh di mahkamah, demikian juga seorang dua pemimpin dalam parti Pakatan Harapan, dan rakan sekutunya yang juga sedang menunggu kes tertangguh.

Sekarang terdapat pula dakwaan berkait parti dalam gabungan Perikatan Nasional yang diapungkan seperti contoh di atas, meski belum diketahui sungguh atau tidak.

Apakah selamat kita mengatakan semua parti bertanding adalah jenis yang sama?

Maka jika hampir semua parti bertanding itu serupa belaka, siapakah yang pengundi Melayu harus pangkah di dalam kotak undi kelak?

Gabungan parti manakah yang wajar diberi kepercayaan mentadbir negara dan berjanji tidak akan menyembunyikan kes-kes sebegini lagi dari pengetahuan rakyat selepas 19 November 2022.

Siapakah pemimpin parti politik yang paling tegas, yang nanti dapat dinobatkan sebagai Perdana Menteri untuk membetulkan keadaan ini? Adakah 71 kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 70 peratus ke atas di Semenanjung bakal mengambil berat dengan keadaan negara kita?

Atau mereka hanya memberi perhatian kepada sampul surat, tin biskut, baju T, atau gula beras dengan asosiasi parti-parti yang mereka taksubkan? Tanpa memikirkan apa yang akan menimpa negara kita kelak jika keadaan ini berterusan?

Adakah pengundi Melayu ini tidak ada perasaan untuk menghukum pemimpin politik yang cabul dan gelojoh ini? Adakah didikan agama seperti yang diajari Nabi Muhammad saw tidak cukup tiba ke benak dan nubari orang Melayu?

Tidakkah kita segan silu dengan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam?

Atau apakah Islam yang diamalkan oleh orang Melayu, di 71 kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 70 peratus ke atas di Semenanjung adalah sejenis Islam baharu yang tidak peduli kemungkaran rasuah dan korupsi? Iaitu ‘Islam Mesra Skandal?’ Tentu tidak!

Apakah yang salah jika pengundi Melayu tidak peduli?

Semua soalan di atas tidak dapat dijawab secara sambil lalu. Saya memberitahu teman ahli akademik dari Indonesia yang bertanyakan kepada saya, apakah yang telah membuat hati pengundi Melayu di Malaysia tertutup dan buta setelah skandal demi skandal korupsi negara terdedah itu begini;

Kita harus bermula dengan kumpulan A, cerdik pandai yang ikhlas; dan B, seniman yang jujur dan bertanggungjawab; dua kumpulan ini dihimpun dan terdorong mencari masalah sebenar Melayu. Jawapan kepada mengapa Melayu tidak pedulikan skandal ini sebetulnya ada pada masa lalu. Ubat dan penyelesaiannya pula ada pada masa kini. Iaitu di hujung jari ketika 19 November nanti.

Pengundi di 71 kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 70 peratus ke atas di Semenanjung ini yang perlu merenung nasib sendiri.

Iaitu, mengapa kita, pengundi Melayu tidak malu atau tidak peduli dengan skandal demi skandal?

Adakah kita Melayu itu sendiri sejenis bangsa bermata satu di akhir zaman yang kelak akan diadili di hari ketentuan?

Kita asyik menuduh bukan Islam itu dajal. Tetapi tidakkah kita Melayu memikirkan, bahawa barangkali kita sendiri dajal? Tidak pun peduli kepada skandal, lantas mengabai dan memburukkan imej agama suci ini?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.