Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Orang politik dan tukun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | "Dari mana?" Tanya tukang sapu jalan itu.

Usianya mungkin lewat 70-an atau awal 80-an. Kami ke Pulau Naoshima untuk melihat bangunan yang direka oleh Tandao Ando, serta sekumpulan lukisan oleh pelukis terkenal dunia yang ada dalam bangunan tersebut.

Untuk tiba ke pulau itu kami perlu menaiki dua kereta api laju Shinkansen, sebuah kereta api kampung dan satu feri.

Kerana tiba agak awal, kenderaan awam di pulau berkenaan belum memulakan operasinya, jadi kami perlu pula berjalan ke Benesse House dan Chichu Art Museum, iaitu dua dari beberapa galeri lukisan yang ada di sana.

Semasa menunggu galeri itu dibuka, kami ditegur oleh tukang sapu berkenaan.

"Malaysia? Di mana?" tanya beliau lagi. Apabila saja kami terangkan bahawa kami berasal dari Kuantan, kelihatan ada cahaya girang di matanya.

Dalam hati kami mengesyaki tukang sapu itu tentu saja bekas askar Jepun yang masuk ke negara kita lama dulu. Dan, kami silap.

"Saya berkerja di Kemaman dan kalau cuti, kami akan ke Kuantan untuk berhibur," kata beliau. Ternyata Kuantan sudah lama terkenal sebagai bandar yang lagho.

Lalu diterangkan bahawa beliau dulunya adalah seorang jurutera syarikat petroleum. Setelah bersara dan pulang ke kampungnya di Pulau Naoshima, beliau memutuskan untuk menjadi tukang sapu.

Agak lama kami berbual di tepi tasik yang sengaja dibuat seperti lukisan Claude Monet yang terkenal dengan lukisan bunga teratai itu.

Dan memang pun hampir seluruh galeri tersebut dipenuhi karya-karya gergasi pelukis berkenaan, selain karya-karya Basquit, Alberto Giocometti, Richard Long dan beberapa pelukis lain.

Kami berpisah setelah galeri dibuka.

Kami jadi teruja apabila mengetahui bahawa lelaki tadi adalah seorang jurutera dan kemudian beralih menjadi tukang sapu jalan.

Malah yang lebih menarik ialah beliau sangat bangga melakukan tugas yang diamanahkan itu.

Bosan tengok muka

Persekitaran tasik yang dijaganya kelihat amat cantik dan bersih.

Kami pun mempunyai satu rasa hormat yang tidak terhingga kepada si tukang sapu berkenaan.

Lalu kami pun jadi terfikir: kalaulah para politikus kita yang rata-rata sudah amat renta itu boleh menerima hakikat bahawa masa cemerlang mereka sudah lama berlalu....

Tentu mereka boleh berhenti berpolitik dan merehatkan tubuh badan sementara menunggu giliran masing-masing untuk dipanggil Ilahi. Bolehlah mereka bersiap-siap sebaik mungkin untuk sebuah kehidupan yang abadi.

Jasa bakti mereka - kalau ada - sudah pasti dikenang orang dengan penuh rasa hormat selama mereka masih hidup, dan menjadi tokoh teladan apabila nanti mereka tiada lagi di dunai fana ini.

Ini tidak. Selagi tidak meninggal, selagi itulah mereka mahu bergayut pada kuasa. Kita jadi tidak faham apa yang mereka mahukan.

Terkenal sudah, kaya sudah tentu. Berkuasa juga pernah. Lalu kami andaikan bahawa mereka itu sebenarnya tidak mahu duduk dialam nyata. Mereka mahu terus terkenal, kaya, berkuasa dan haloba.

Agaknya cita-cita mereka adalah untuk mati berdiri yakni ketika sedang memberi ceramah dan menabur janji itu ini untuk kemudian dimungkiri tanpa sedikit pun rasa malu atau bersalah.

Kita pun jadi bosan untuk mengundi muka yang itu, itu juga. Kalau dikumpul dan dijumlahkan usia mereka yang mengidamkan mahu jadi perdana menteri, hampir 500 tahun umur mereka!

Tukun dalam laut dalam itu pun tidak ada gunanya jika setua itu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang sedang berkira-kira mahu bertanding dalam PRU akan datang untuk membolehkannya menjadi PM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.