Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Dari Rungkup ke Temerloh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas dibebaskan daripada memikul beban sebagai calon PH, masa saya lebih banyak dihabiskan untuk membantu rakan-rakan lain yang bertanding.

Perkara terpenting dalam PRU kali ini ialah membawa PH ke persada kuasa, bukannya terkepung oleh amalan politik tua.

Politik tua yang sarat cerita tamak, dengki dan sombong dengan kuasa seharusnya diganti dengan politik anak muda yang bertenaga, berwawasan dan sanggup menanggung risiko.

Di Perak 27 daripada 59 orang calon yang diturunkan PH melibatkan anak muda.

Sebelas daripada mereka merupakan wakil dari PKR, lapan untuk DAP, manakala baki tujuh lagi calon Amanah. Ia merupakan indikator kepercayaan yang diberikan PH Perak terhadap orang muda.

Di Perak, kawasan dewan undangan negeri paling selatan ialah Rungkup dan ia diletakkan dalam parlimen Bagan Datuk. Calon PH di situ bernama Munzirie Kabir.

Saya bersama dengan dia sewaktu program bertemu masyarakat di kawasan perumahan awam Bagan Datuk. Munzirie adalah seorang daripada tujuh anak muda dikemukakan oleh Amanah Perak.

Calon muda lain termasuk Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Nasional, Nurthaqaffah Nordin, yang bertanding di kerusi parlimen Parit.

Strategi untuk ke Putrajaya

Munzirie berhadapan dengan penyandang yang juga merupakan bekas exco Perak. Ia bukan kerja kecil. Tambahan pula PH terpaksa bersaing dengan jentera BN dan PN yang memiliki kewangan mega.

Dia agak bertuah dengan kehadiran Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PKR sebagai calon PH yang menentang Ahmad Zahid Hamidi di kerusi parlimen Bagan Datuk. Kehadiran Shamsul Iskandar memberi momentum luar biasa kepada pasukannya.

Sama keadaannya dengan rakan Munzirie, Shamsul Alaudin yang bertanding di DUN Kampung Gajah dalam parlimen Pasir Salak. Shamsul adalah bekas pelajar saya semasa di sekolah menengah dan kami pernah bersama-sama dalam pimpinan PAS Pasir Salak.

Apabila saya mengambil keputusan menyertai Amanah, dia juga berbuat demikian.

Nik Omar Nik Abdul Aziz

Kehadiran Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk bertanding di Pasir Salak mencetuskan satu lagi gelombang perubahan di kawasan yang bersejarah itu.

Strategi pilihan raya seperti ini memang sesuai bagi memenuhi objektif PH menguasai Putrajaya.

Saya banyak berkempen di Pasir Salak berbanding tempat lain. Ini kerana Pasir Salak adalah kawasan politik saya sejak tiga dekad lalu. Satu lagi DUN dalam Pasir Salak ialah Sungai Manik. Saya pernah bertanding di situ pada 1999 atas lambang bulan.

Kini Bagan Datuk dan Pasir Salak berada dalam keadaan yang paling kritikal. Langkah Anwar Ibrahim menjadikan Perak dan Tambun sebagai titik tumpuan PH adalah sangat strategik.

Gelombang yang tercipta itu memberi impak politik yang meluas ke seluruh negeri.

Penting pembangkang bersatu

Sebelum itu, saya berkesempatan meninjau perkembangan di Behrang yang menjadi medan Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairul Najib Hashim, bertanding.

Saya dibawa ke Besout Timur untuk bertemu dengan para petugas PH. Malam yang agak dingin dek hujan renyai-renyai dipanaskan dengan kopi panas dan nyamuk.

Di pekan kecil Air Kuning, saya bertemu dengan calon PSM, peguam KS Balwani. Dia seorang lagi anak muda yang mempunyai kewibawaan memimpin. Dia berdepan pertandingan lima penjuru di situ.

Dia sempat melahirkan rasa tidak puas hati kepada PH kerana tidak memberi satu kerusi pun untuk PSM. Bagi saya, mungkin parti Muda mempunyai kaedah tersendiri yang boleh dikongsi dengan PSM.

Pembangkang memang perlu bersatu untuk melawan gergasi BN dan PN.

Seterusnya saya ke antara kerusi terhangat di Pulau Pinang iaitu Tasik Gelugor. Calon PH Tasik Gelugor ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Razak Ridzuan. Dia ditentang oleh Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu, selain dua calon lain.

Kedua-dua mereka adalah kawan saya, namun izinkan saya katakan ini: undilah Razak.

Pada 2012, saya dijemput memberi pengisian program untuk Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai. Saya tidak ingat siapa ketuanya ketika itu tetapi susuk anak muda terbabit ada dalam program berkenaan. Saya bukanlah kaki ceramah, jauh daripada memberi pengisian rohani atau fikrah.

Saya hanya berkongsi pengalaman sejengkal bersiasah serta bidang budaya dan seni. Ia adalah bidang dakwa yang sangat luas dan harus disentuh oleh parti.

Antara yang berminat ketika itu adalah anak muda ini. Sangat sesuailah jika dia terpilih menjadi ahli parlimen yang boleh membawa aspirasi anak muda yang Islamis dan demokrat.

Di Bukit Mertajam, kehadiran saya disambut oleh Rosly Yusuf iaitu pegawai kepada Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim yang sangat berminat dengan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.

Memang sangat langka untuk ada seorang ahli parlimen kita yang mempunyai minat sebegitu.

Sukar pertikai karisma

Pendekatan politik sebegini mempamerkan sifat nasionalis dalam diri Sim. Orang Melayu pasti menghargai dan menghormati.

Bukan seperti sesetengah pemimpin politik yang tidak tahu untuk menghargai kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan.

Saya dibawa menikmati kesedapan nasi kandar di kedai Ali Nasi Kandar di Bukit Mertajam. Seperti juga nasi dagang, nasi kandar bukan sahaja sebagai menu makanan tetapi adalah identiti tempatan yang memiliki sejarah dan falsafahnya tersendiri.

Itu kita cerita pada kesempatan lain.

Saya juga sempat meninjau gerak kerja jentera PH Bagan Serai serta memberi suntikan semangat kepada mereka. Kehadiran bekas Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail, juga memberi momentum di utara Perak.

Tidak ketinggalan, kekuatan kepimpinan Mujahid Yusuf di Parit Buntar yang menjadi suatu pakej strategi politik paling ampuh untuk ke Putrajaya.

Ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada calon muda PH iaitu Mohd Nakhaie Wahab di Titi Serong), Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (Gunong Semanggol), Ahmad Saqif Ansarallah Jihbaz Mokhlis (Selinsing) dan juga calon-calon lain di kawasan yang berhampiran.

Dalam siri jelajah Anwar, dia sempat datang ke Pasir Salak. Dia berucap di kubu kuat Umno untuk memecahkan tembok keangkuhan sebuah regim yang bobrok dan korup. Karisma dia sebagai calon perdana menteri ke-10 memang sukar untuk dipertikaikan.

Seusai majlis itu, saya terus bergegas ke Temerloh membantu Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasbie Muda. Anak muda itu berhadapan dengan Mohd Sharkar Shamsuddin (BN), Salamiah Mohd Noor (PN) dan Aminuddin Yahaya (GTA-Pejuang).

Hasbie memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan kemenangan PH di Temerloh. Kawasan itu bukanlah sebuah kerusi yang selesa buat Hasbie.

Dia menerima tanggungjawab membawa panji PH bukan kerana mahu menjadi wakil rakyat semata-mata. Hasbie terjun ke bumi Temerloh yang bergelora demi kelangsungan perjuangan anak-anak muda lain dalam Amanah dan tanah air.

Meredah duri dan api, menggenggam bara sampai jadi arang; untuk lepaskan, tidak sekali. Dia wajib menggandakan tugas mencabar itu.

Ia tugas anak muda demi masa hadapan tanah air yang lebih gemilang.

Pada tapak kaki anak muda itulah kita letakkan harapan agar Temerloh menjadi anak tangga ke puncak Putrajaya!


MUHAIMIN SULAM ialah naib pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.