Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Falasi Melayu nak hilang di dunia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Ungkapan "tak Melayu hilang di dunia" yang terukir pada replika gangsa Laksamana Hang Tuah di Muzium Negara itu kemudian dikatakan sebenarnya bukanlah ucapan yang keluar dari mulut pahlawan terkenal itu.

Bahkan ia adalah manifestasi rasa kehilangan dalam jiwa orang Melayu yang sedang tercari-cari sesuatu.

Menurut kajian Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, ungkapan "tidak Melayu hilang di dunia" itu pertama kali dicatat dalam kesusasteraan Melayu melalui novel Dosaku karya A Samad Ahmad yang diterbitkan pada 1946.

Satu lagi catatan mengenai ungkapan itu pula pernah ditulis oleh Hamka dalam bukunya ‘Kenangan-kenanganku di Malaya’ yang diterbitkan pada 1957. Dalam buku itu, Hamka mencatat sebuah puisi berbunyi:

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu sejati
Jaya perkasa gagah dan mewah
Tidak Melayu hilang di bumi.

Umumnya, kedua-dua karya itu adalah untuk menyuntik rasa bangga terhadap bangsa sendiri dalam membina negara yang merdeka. Ia ditulis pada zaman selepas Perang Dunia Kedua dan semangat kemerdekaan sedang bersemarak.

Ungkapan itu sudah berzaman bermain dalam fikrah Melayu. Ungkapan itu terjemahan daripada suatu perasaan masyarakat yang dambakan kepimpinan berwibawa, bertaraf dunia dan merdeka setelah sekian lama mereka terjajah.

Pada masa sama masyarakat setempat menganggap Hang Tuah sebagai wira yang menjadi lambang kepimpinan Melayu global. Di bawah kepimpinan Hang Tuah yang menguasai armada, empayar kerajaan Melayu Melaka megah di persada dunia.

Abaikan dahulu seketika sisi gelap Hang Tuah yang pernah dikritik oleh sarjana seperti Kassim Ahmad, Shaharuddin Maaruf atau Ahmat Adam.

Sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah, stigma ‘Melayu terancam’ dijadikan propaganda untuk meruncingkan lagi kecurigaan Melayu terhadap bukan Melayu, serta sebaliknya. Ketika itu Melayu seolah-olah akan ditelan lenyap dari dunia ini kononnya oleh anasir jahat dalam PH.

Ketika itu, tanah air seakan-akan dipecahkan kepada dua dikotomi: Melayu dan bukan Melayu.

Seperti juga pada zaman penjajahan, masyarakat terbelah kepada dua: rakyat raja-raja Melayu dan rakyat Queen Elizabeth.

Dua kutub itu saling berbalah dan bersaing untuk hidup di atas tanah yang sekangkang kera dalam sejengkal nafas ini. Keadaan semakin kritikal dengan pendekatan pecah dan perintah yang menjadi polisi Inggeris.

Kemudian meskipun berpuluh-puluh tahun merdeka, rakyat di negara ini masih hidup dengan paranoid sebegitu sehingga sekarang.

Anasir jadong

Pemisahan kaum bukan sahaja berlaku dalam politik tetapi juga berlangsung dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Dalam konteks politik semasa, PH digambarkan seolah-olah sebuah pakatan politik bukan Melayu walaupun hakikatnya jumlah ahli parlimen Melayu dalam gabungan itu jauh lebih ramai daripada bilangan ahli parlimen bukan Melayu.

Namun kerana mainan emosi, ayunan sentimen dan kemalasan untuk berfikir secara wajar, segala logik dan fakta di depan mata tidak lagi mampu dicerap seperti sepatutnya.

Pada masa yang sama juga tidak dinafikan wujud juga anasir-anasir jadong (jahat, bodoh dan sombong) dalam PH yang tidak bijak menggunakan bahasa serta cemerkap berbudaya.

PAS dan Umno pasca-PRU 2018 sering menggunakan pendekatan propaganda negatif untuk menggambarkan kononnya Melayu sedang terancam di bawah PH.

Kesan akhir yang diingini mereka daripada propaganda itu adalah untuk menggambarkan kononnya Melayu akan tersisih di bumi sendiri atau hilang di muka bumi ini!

Sebagai pribumi kepada tanah air ini, orang Melayu sangat terkesan dengan tragedi yang menimpa warga Palestin di Timur Tengah. Mereka adalah suatu bangsa yang kehilang peta dan kewujudan diri.

Seperti ketinggalan kereta api

Pada awal 2019 saya dijemput ke bengkel Keterancaman Melayu di UKM atas anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas). Antara yang membentang kertas kerja selain saya ialah orang besar PAS, Mohd Zuhdi Marsuki, serta pemimpin Isma, Aminuddin Yahaya.

Naratif "Melayu terancam" adalah sebuah ilusi yang memiliki keupayaan menggugah emosi orang Melayu. Mengambil ringan atau mengabaikannya adalah satu kesilapan politik.

Justeru ia perlu diatasi dengan langkah tersusun dan melibatkan pelbagai pihak.

Amanah melalui usaha yang diketuai Mujahid Yusof bersama Hassanuddin Mohd Yunus, Hasan Bahrom dan saya sendiri diberikan tanggungjawab membentuk rangkaian idea "Melayu Bermaruah" melalui hubungan dengan beberapa tokoh masyarakat.

Ia berlangsung beberapa bulan sebelum parlimen dibubarkan.

Namun inisiatif Amanah untuk berada dalam lingkaran Melayu Bermaruah ternyata seperti ‘ketinggalan kereta api’ dan tidak mampu menjadi etos parti itu. Dalam bahasa lebih mudah, ia gagal ditempatkan dalam naratif umum.

Salah satu sebabnya ialah kesuntukan waktu sehingga gerakan berkenaan tidak sempat dikembangkan, apa lagi disuburkan.

Pada 2017 di Konvensyen Amanah Nasional yang berlangsung di Alor Setar, saya diberikan peluang berucap bagi mewakili Perak.

Saya ulang siar di sini petikan daripada ucapan tersebut:

"Takrif Melayu ini bertepatan dengan Fasal 160 Perlembagaan Malaysia. Satu pemaknaan untuk sebuah bangsa yang sangat toleran. Ini nationhood (kebangsaan) yang hendak kita bina. Kaum dan agama lain diberi satu jaminan yang adil dan saksama dalam Perlembagaan Malaysia. Yang kita lawan ialah penyalahgunaan agama dan Melayu demi kepentingan politik kelompok tertentu. Jangan terasa tidak progresif, tidak inklusif apabila bercakap tentang soal Melayu, Islam dan bahasa."

Gelombang ilusi Melayu-Islam 'teracam' yang digerakkan oleh Perikatan Nasional (PN) kemudian ternyata membuahkan hasil apabila mereka mendapat laba yang besar melalui pengundi pada PRU ke-15 ini.

Soal samada PN benar-benar jujur, mampu atau serius membela nasib orang Melayu atau tidak, itu adalah persoalan lain.

Dalam politik pilihan raya, persoalan utama ialah keupayaan parti untuk menanam dogma atau kesedaran palsu di dalam pemikiran masyarakat sehingga ia diterima sebagai satu kesedaran, kebenaran dan perjuangan suci.

Tahniah atas pencapaian PAS-Perikatan Nasional dalam PRU minggu lalu yang berjaya meletakkan rakan-rakan seperti Idris Ahmad, Misbahul Munir Masduki, Muhammad Ismi Mat Taib, Hafez Sabri, Jamaluddin Yahya dan lain-lain sebagai YB.

Tak Melayu hilang di dunia!


MUHAIMIN SULAM ialah naib pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.