Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Anwar, percayalah kamu perlukan seni budaya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya percaya kumpulan pendesak yang paling bersungguh dan agak setia dengan naratif perjuangan Pakatan Harapan tidak lain tidak bukan adalah masyarakat budaya dan seni. Saya tidak akan menyebut nama seniman atau kumpulan budaya mana yang telah bersama-sama gabungan parti ini. Tidak ada keperluan untuk menjejerkannya di sini. Ini kerana tulisan ini bukan bertujuan untuk menuntut janji. Tidak ada. Sebab urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun. 

Saya juga terpaling percaya, urusan kesenian dan kebudayaan sangat penting dan merupakan keperluan utama dalam kehidupan. Memang ia tidak meletakkan beras, telur dan sayur di atas meja rakyat. Memang seni dan budaya tidak mengisi kantung minyak kenderaan. Memang seni dan budaya tidak membayarkan tol rakyat. Memang seni dan budaya bukan konglomerat yang perlu dikekang. Tidak ada sesiapa menyedari seniman dan budayawan yang tolong menolong, seni jaga seni tatkala wabak merebak.

Sungguh seni dan budaya bukan Shahidan. Seni dan budaya bukan Abdul Hadi Awang. Seni dan budaya bukan Muhyiddin atau Ismail Sabri. Seni dan budaya lebih-lebih lagi bukan Ahmad Zahid Hamidi. Seni dan budaya bukan hanya alun ketik gitar Tengku Basikal. Kita tidak akan mengungkit apa-apa. Ini kerana tulisan ini bukan bertujuan untuk menuntut janji. Tidak ada. Sebab urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun. 

Akan tetapi seni dan budaya ini yang akan paling membantu Anwar dan pasukannya lima tahun lagi. Di saat kerusi kembali dilambak untuk direbutkan. Di sinilah seni dan budaya perlu berperanan mulai hari ini, mulai saat kamu membaca ini Anwar. Mulai detik ini. 

Seni dan budaya ini akan mewaraskan masyarakat yang cukup terbiasa dengan rasuah dan korupsi. Seni dan budaya ini akan kembali mensiumankan manusia Malaysia bahawa negara ini memerlukan kemanusiaan dan bukan faham perkauman sempit. Seni dan budaya yang akan meleburkan India dengan India, Melayu dengan halal haram tidak berkesudahan, mencairkan Cina dan kecinaannya, merapatkan Borneo yang terasing sekian lama. Seni dan budaya yang akan sebenar-benar meletakkan perpaduan pada ‘kerajaan perpaduan’. 

Perpaduan bukan ada pada Ahmad Zahid Hamidi. Seni dan budaya dengan sempadannya yang luas dan tiada kekangan akan meraikan tatakelola, kecerakinan, keqararan dan kesenjangan ekonomi itu dalam benak pemain sebenar iaitu generasi muda. Seni dan budaya yang akan menghalang PAS dan ekstremismenya yang semakin ligat menyeluk di setiap pelusuk. Seni dan budaya yang akan menjawab minda weng presideng. Seni dan budaya yang membumi mendasari pendidikan rendah dan tinggi. Seni dan budaya yang akan menjadi landas segala pembangunan digital. Seni dan budaya yang akan mengisi kandungan TikTok dan apa-apa lagi yang bakal menjelma. 

Seni dan budaya yang akan menggempur fitnah dan naratif palsu musuh-musuh politik kerajaan hari ini. Seni dan budaya juga yang akan memantau dan mengawasi kerajaan hari ini agar tidak terpesong. Seni dan budaya yang akan menyubur demokrasi. Seni dan budaya yang akan mengatasi apa pun. Seni dan budaya yang merdeka, yang selama ini digeruni oleh pihak berkuasa yang akan membawa liberalisasi perlu, seperti tertera dalam kepala Rukun Negara.

Membawa puaka

Seni dan budaya kalau dikesampingkan buruk padahnya. Ia membawa puaka. Ia menggusur petaka. Jika Malaysia mahu tahan dan bertahan serta mampu melawan, ia ada pada seni dan budaya. Jika Anwar mahu Malaysia menghormati wanita, maka seni dan budaya mulanya. Jika Anwar mahu Malaysia menghargai belia maka seni dan budaya tempatnya. 

Jika Anwar mahu ekonomi negara ini tumbuh pesat secara kreatif, justeru seni dan budayalah bajanya. Jika Anwar mahu universiti segar menjadi tempat siswa berpotensi maka seni dan budayalah jawapannya. Jika Anwar mahu rakyat negara ini bergagasan, berani memikir dan membayangkan masa depan dengan sains dan teknologi, ia bermula dengan seni dan budaya. 

Jika Anwar mahu agama Islam yang tidak lagi paku dan pakis, tetapi jati dan meranti maka seni dan budayalah hutannya. Jika Anwar mahu bangsa yang tidak terperosok dalam zaman edan, seni dan budaya seni dan budaya seni dan budaya jadi zikir ratibnya. Tetapi argh, saya tidak harus menyatakan. Ini kerana tulisan ini bukan bertujuan untuk menuntut janji. Tidak ada. Sebab urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun. 

Seni dan budaya harus diberi peranan dan jumlah perhatian yang sama banyak seperti jabatan kemajuan agama di Malaysia. Bahkan perlu ada jabatan kemajuan seni dan budaya Malaysia dengan curahan wang besar dengan penjawat awam yang ramai untuk menjadikan masyarakat Malaysia kembali menjadi manusia Malaysia, dan bukan manusia terpetak-petak sekilau-kilau Mat Kilau.  Tetapi, saya sudah berjanji akan tulisan ini bukan bertujuan untuk menuntut janji. Tidak ada. Sebab urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun. Jadi tak mengapalah.

Seni dan budaya yang akan menolong Anwar. Seni dan budaya akan menolong harapan agar negara ini kembali stabil dan makmur. Moga dan mudah-mudahan Anwar tersedar bahawa seni dan budaya amat penting dan perlu dibangunkan secara adil dan bermaruah. Bukan lagi diselit celah susu atau kelangkang sana sini. Seni dan budaya akan membantu kamu. Seni dan budaya boleh menjatuhkan sesiapa pun yang ia mahu.

Moga dan mudah-mudahan Anwar akan sedar. Tidak,  tulisan ini tidak melobi sesiapa pun. Ia tidak bertujuan untuk menuntut janji. Tidak ada. Musababnya memang tiada siapa pernah berjanji. Sebab urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun. Tetapi tentunya tidak dalam kepala perdana menteri. 


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.