Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Memimpikan tokoh seakan Kartini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Raden Adjeng Kartini dalam konteks artikel ini tidak boleh dilihat dari sudut gender, kelas, sejarah, ideologi sebaliknya hendaklah dipandang sebagai ‘ibu’ yang melahirkan tenaga, kesedaran serta rangsangan untuk mencetuskan gerakan kebudayaan/kesenian di Indonesia.

Kartini lahir dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga bangsawan dalam sistem feudal Jawa kuno yang meletakkan rakyat sebagai hamba dan sekadar alat.

Kemiskinan dan kemelaratan hidup rakyat menjadi modal sang penjajah dan penjarah tempatan menghirup udara kemewahan.

Pemikiran Kartini dikongsikannya melalui koleksi surat-surat yang dikumpulkan oleh bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Hindia Belanda, Dr JH Abendanon pada 1900-an.

Kata Kartini dalam salah satu suratnya yang dinukilkan dalam tulisan Pramoedya: “Fikiran adalah puisi, perlaksanaannya adalah seni! Tapi mana bisa ada seni tanpa puisi? Segala yang baik, yang luhur, yang keramat, pendeknya segala yang indah di dalam hidup ini adalah puisi!"

Nama Kartini sememangnya asing lagi jauh dari benak pemikiran kebanyakan daripada orang kita tetapi mungkin tidak kepada barisan menteri kerajaan perpaduan.

Definisi kebudayaan sering disempitkan maknanya sehingga meletakkan kebudayaan pada ceruk yang sempit, kebelakang dan kelam. Suatu malang apapada pada awal pembentukan kabinet, kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebudayaan tercicir dari senarai.

Meskipun dibetulkan selepas itu, ia tetap suatu tamparan kalaupun bukan tikaman.

Sifat bangsa yang bertamadun

Begitulah terbelakangnya politik negara dalam meraikan aspek kebudayaan. Walhal, kebudayaan adalah persoalan identiti bangsa. Pada masa sama budaya dan seni sering dipergunakan untuk meraih sokongan kerana ia memiliki unsur pop dan fitrah.

Antara permasalahan kebudayaan dalam masyarakat kita ialah disebabkan punca kuasa kebudayaan negara terpisah oleh sistem, perundangan dan pemikiran lapuk pemimpin politik.

Lazimnya pemimpin memberi alasan keterbatasan punca kuasa yang dimiliki untuk menghalalkan sikap tersebut. Tidak kurang juga yang melihat kebudayaan itu sekadar acara memperaga wanita cantik dan acara suka-sukaan.

Bangsa dan tamadun yang maju adalah bangsa yang menjadikan kebudayaan sebagai falsafah serta cara hidup.

Jika bertani, kebudayaannya adalah pertanian yang mengangkat darjat bangsa. Jika berniaga, perniagaanya adalah membebaskan bangsa daripada kemiskinan dan penindasan.

Bahkan jika ia berpolitik, politiknya bermaruah demi memartabatkan bangsa dan negara.

Gambar hiasan

Kedua, ketiadaan kepekaan terhadap nilai warisan tidak ketara (intangible heritage). Ia termasuklah kebijaksanaan tempatan seperti songket, pantun, lagu rakyat, kuih-muih dan sebagainya.

Semua itu bukan sekadar warisan berzaman tetapi 'komoditi' yang mampu menjana ekonomi rumah tangga dan merentas sempadan politik. Ia dilakukan negara lain termasuk Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Ketiga, kurangnya memanfaatkan kekuatan universiti, pengiat dan lingkungan budayawan untuk membawa kebudayaan tinggi kerana faktor hegemoni kroni yang naif budaya.

Barangkali yang terakhir dan paling utama ialah kegagalan pemimpin (terutama menteri) untuk mengangkat kekuatan tradisi dalam pembudayaan ilmu masyarakat.

Kebudayaan itu dipisahkan daripada proses pendidikan.

Bangga pada budaya bangsa

Sejak zaman penjajahan, Indonesia terus mengekalkan kombinasi kebudayaan dan pendidikan pada satu kekuatan dalam kementerian.

Justeru jika kita bersiar-siar di sekitar KLCC yang menjadi tumpuan para pelancong luar negara, kalau terserempak dengan lelaki atau wanita yang berbaju batik, biasanya itulah bangsa Indonesia.

Bangganya mereka terhadap batik sendiri begitu tinggi sehingga ia mampu menjana industri batik di tempat mereka. Bermula dari industri dalam rumah ia berkembang menjadi industri negara.

Sememangnya Kartini sentiasa mengenakan sarung batik buatannya sendiri di khalayak umum sama ada dalam kalangan para aristokrat Belanda atau Jawa. Bahkan Kartini ialah seorang pembatik dan menulis mengenai batik ketika berusia awal 20-an.

Dia berbangga dengan hasil kerajinan dan seni masyarakatnya. Kata wanita itu, "seni rakyat adalah salah satu alat untuk mencapai kemakmuran rakyat".

Dalam dunia seni lukisan pula, Kartini merupakan seorang pelukis dan begitu menghargai kerja-kerja seni lukis. Oleh kerana minatnya yang begitu mendalam, Prof GK Anton dari sebuah universiti di Jerman menghadiahkan sebuah lukisan sebagai hadiah semasa Kartini berkahwin.

Para pengukir kayu di Jepara juga tentu terhutang budi kepada Kartini. Dia adalah pembela dan penggalak para pengukir yang mengabdikan diri mereka dalam kerja seni demi ikhtiar dari kemiskinan.

Kartini membawa karya-karya seni ukiran Jepara ke dunia sehingga meletakkan para karyawan itu mempunyai nilai pasaran dan seni yang tinggi. Ia membawa karya itu menembusi pasaran Eropah.

Dalam usahanya itu, Kartini tidak pernah mengambil sebarang keuntungan material, apa lagi mengantungkan komisyen.

Kartini tidak sahaja melihat untuk membantu di sekitar Jepara tetapi ke mana dia pergi, idea kebudayaan bangsa sebagai modal insan, identiti dan alat untuk keluar dari kesulitan dibawanya bersama.

Sehingga kini, Jepara terkenal sebagai pengeluar perabot jati yang bertaraf dunia.

Dalam lapangan muzik, Kartini adalah peminat gamelan. Alat gamelan yang paling diminatinya ialah ginonjing.

Cita-cita untuk rakyat

Bagi wanita pencerah itu, muzik tradisi sesuatu bangsa adalah suara batin rakyat yang miskin lagi melarat. Bunyi dan dentang suara gamelan bukan sekadar lagu, melodi, nadi atau lirik.

Bagi Kartini, gamelan adalah suara keluh, ratap dan kadangkala kegirangan yang terpasung.

Gamelan - bagi Kartini - telah membawa dirinya kepada zaman silam. Rentak gamelan juga menyebabkan tubuhnya tertarik untuk bergerak.

Seperti kata Kartini sendiri: "Menuangkan arus api ke dalam nadi-nadi kami". Ia laksana gema gong yang boleh menggoncang jiwa manusia di medan pertempuran.

Dalam aktiviti keseniannya, Kartini lebih berperanan sebagai pengarang sama ada dalam bentuk surat, catatan harian, puisi ataupun prosa. Pada usia 16 tahun, dia sudah menulis karangan antropologi yang kemudiannya diterbitkan Belanda.

Kartini

Bagi Kartini, kepengarangan adalah tugas sosial. Kartini menulis dalam bahasa Belanda kerana dia percaya melalui wadah itulah terbukanya jalan tercepat untuk dia mencapai tujuan menyalurkan kesedaran buat anak bangsa.

Bahasa Belanda adalah bahasa penguasa pada masa itu. Biarpun setiap tulisannya harus melalui keizinan bapanya, Kartini memahami mengapa lelaki terbabit berbuat demikian.

Si bapa mahu menjadi 'penapis' demi kelangsungan kedudukan sebagai bupati Jepara.

Manifestasi kepengarangan Kartini mewujudkan cita-citanya dan dia bekerja untuk mengangkat darjat dan peradaban rakyat melalui kebudayaan tempatan.

Justeru buat para menteri, belajarlah daripada Kartini. Usah terlalu banyak memberi arahan dan menjaja mentera. Menteri harus menulis seperti Kartini.

(Kartini wafat saat dia berusia 25 tahun, iaitu ketika melahirkan anak pertamanya. Perjuangan Kartini untuk bangsa Indonesia kekal segar hingga sekarang. Al-Fatihah)


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.