Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Melayu bernama Jose Rizal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Tatkala saya menulis karangan ini, genaplah 127 tahun Jose Protasio Rizal Mercado y Alonso Realonda mati. Tulisan ini adalah cerita lama tentang lelaki yang kita kenali sebagai Jose Rizal bagi memaknakan masa kini.

Kira-kira jam 7 pagi pada 30 Dis 1896, Jose Rizal mengenakan kot hitam, baju putih, bertali leher, berkasut hitam dan bertopi bowler di Bagumbayan, Manila.

Di tempat itu jugalah - pada 1872 - tiga pendeta tempatan dihukum tembak mati kerana terlibat dalam gerakan antipenjajahan.

Pada pagi 30 Dis itu Jose Rizal diarahkan berdiri tegak membelakangkan satu deretan penembak yang siap sedia menunggu arahan untuk memetik picu senapang masing-masing. Jose Rizal berusia 35 tahun.

Lelaki itu memang agak asing dalam pemikiran orang Melayu di sini kerana kita telah dipisah-pisahkan oleh penjajah atas nama garisan politik mereka. Padahal Jose Rizal sendiri pernah mengakui bahawa dia berketurunan Melayu.

Dalam kata pengantar M Rajaretnam untuk buku Jose Rizal and the Asian Renaissance terbitan IKD pada 1996 disebutkan bahawa Jose Rizal adalah pemimpin teladan buat Asia.

Buku itu adalah himpunan kertas kerja persidangan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1995, iaitu semasa Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri.

Kenang tiga pendeta

Teladan daripada Jose Rizal bukan sekadar kejayaannya memimpin negara atau menguasai gerakan massa tetapi turut membabitkan kekuatan idea, perhubungan dan karya-karyanya yang menyuntik kesedaran.

Seperti Kartini, Jose Rizal menulis menggunakan bahasa penjajah. Ini kerana melalui bahasa itulah saja mesejnya lebih segera cepat sampai kepada penjajah.

Pemikiran Jose Rizal dapat diselusuri terutamanya melalui dua novel tokoh terbabit, Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku) yang ditulis pada 1884-1887 dan El Filibusterismo (Bermaharajalelanya Keserakahan).

Novel pertama itu ditulis di Madrid, Paris dan Berlin sewaktu Jose Rizal melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan falsafah di Eropah.

Pada masa yang sama, dia mulai menyertai gerakan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Dalam El Filibusterismo Jose Rizal merakamkan tiga nama pendeta pada awal halaman novel itu sebagai tanda kenangan abadinya kepada pejuang rakyat. Tiga pendeta itu adalah Dos Jose Burgos, Don Jacinto dan Don Mariano Gomez.

Pendeta itulah yang dihukum mati oleh penjajah Sepanyol kira-kira 24 tahun sebelum Jose Rizal sendiri didatangi takdir tentang ajalnya.

Hakikatnya perjuangan mereka telah menghidupkan makna kehidupan manusia merdeka yang sebenarnya. Bebas daripada penguasa, kefahaman agama yang salah dan kebergantungan pada kebendaan.

Malam sebelum itu, Jose Rizal menitipkan sebuah puisi terakhirnya, Mi Ultimo Adios (Salam Terakhir). Puisinya dalam bahasa penjajah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penyair Indonesia, Rosihan Anwar:

Selamat tinggal,
Tanah tercinta, kesayangan mentari
Mutiara lautan timur, kahyangan yang hilang!
Demi kau jiwa-raga kupasrahkan, dengan rela hati
Andai 'ku lebih indah, lebih segar, lebih utuh dari ini
'Kan kuserahkan jua, padamu 'tuk kebahagiaanmu ...

Bila kau lupakan aku, apalah artinya jika
'Ku bisa susuri tiap jengkal tercinta relungmu?

Jadilah seutas nada, berdenyut dan murni; sesudahnya
Jadilah aroma, cahaya, senandung; lagi jadilah tembang atau tanda
Dan melalui semua, lagukan kembali keyakinanku.

Tanah pujaan, dengarkan selamat tinggalku!
Filipina cintaku, dukamu sangat laraku jua,

Kutinggalkan kalian semua, yang sangat kucintai;
'Kupergi ke sana, di mana tiada hamba tiada tiran berada
Di mana keyakinan tiada merenggut nyawa
dan Tuhan Maha Kuasa beradu.

Selamat tinggal segala yang dimengerti jiwaku
Ya sanak-saudara tanah airku yang dirampasi
Syukurilah berakhir hari-hari tertindasku.

Selamat tinggal, engkau yang asing nan manis, sukacita dan sahabatku;
Selamat tinggal, orang-orang yang kucintai.
Mati hanyalah tetirah (persinggahan sementara) ini
.

Di Jose Rizal Park di kota raya Manila, arca peristiwa itu dijadikan tugu peringatan untuk dihayati oleh setiap pengunjung. Ia menjadi inspirasi kepada perjuangan rakyat sama ada dalam bentuk poster, kulit buku, cenderamata, lukisan dan sebagainya.

Permintaan terakhir Jose Rizal sebelum peluru dimuntahkan untuk meledak ke tubuhnya ialah, agar dia dihukum tanpa matanya ditutup dan dibenarkan berdiri menghadap pasukan penembak.

Sanggah kehendak penjajah

Pihak berkuasa enggan memenuhi permintaan kedua, tetapi membenarkan permintaan pertama.

Apabila sampai waktunya, beberapa das tembakan dilepaskan serentak. Peluru ganas itu menembusi tubuh Jose Rizal dan memuntahkan darah merah memercik ke bumi.

Jose Rizal meninggalkan tulisan berupa puisi, novel dan rencana buat pedoman bangsanya bangkit melawan ketidakadilan, penindasan dan penjajahan.

Tulisannya telah memberikan kesedaran dan menyemarakkan kebangkitan rakyat.

Puisi terakhir Jose Rizal itu sarat menyuntik semangat menentang penjajah dan penindasan pemuka agama dan pembesar tempatan.

Penjajah sering mengatakan bahawa pribumi itu adalah bangsa pemalas, wajar untuk ditadbir oleh bangsa lain dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh masyarakat yang kononnya memiliki tamadun tinggi.

Jose Rizal menyanggah pandangan itu dengan membawa tesisnya yang sukar disanggah. Menurutnya, pribumi menjadi malas disebabkan polisi dan pendekatan penjajah yang mematikan kreativiti serta kesungguhan rakyat untuk bekerja.

Sikap malas juga tidak boleh dikaitkan dengan bangsa atau warna kulit.

Pandangan Jose Rizal itu kemudian dikembangkan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Metos Pribumi Malas.

Penjajah bekerjasama dengan pembesar tempatan memeras keringat darah pribumi tanpa belas kasihan. Mereka menggunakan adat, memanipulasi peraturan dan menunggang agama.

Itu yang ditentang oleh Jose Rizal. Malangnya ia bukan hanya berlaku pada era tersebut. Ia adalah penindasan yang berlaku sepanjang sejarah manusia - sejak zaman Nabi Adam hingga bumi berkecai nanti.

Ironinya penindasan itu diterima dengan penuh pasrah oleh rakyat kerana taat dan tunduknya mereka kepada pemimpin. Kononnya demi adat budaya dan memenuhi tuntutan agama.

Jose Rizal sebaliknya bertegas bahawa penjaga adat dan pemuka agamalah yang bertanggungjawab mensakralkan keserakahan kelas atasan.

Dia mengkritik kuat golongan paderi Kristian Katolik sehingga keimanannya pula sering dipersoalkan.

Ali Shariati pernah juga mengupas persoalan tersebut dalam karya-karyanya melalui erutama buku Hajj dan Peranan Cendekiawan Muslim.

Kata Ali, watak Firaun, Haman dan Bal’am adalah penindas yang mengunakan tradisi kepercayaan dan ilmu sebagai jalan menekan masyarakat.

Golongan itu ada pada sepanjang zaman dan dalam setiap masyarakat. Oleh itu perlu ada segolongan pihak yang berperanan sebagai pejuang melawan kemungkaran penguasa yang zalim, saudagar tamak dan pelacur agamawan.

Semoga akan bangkit lagi Jose Rizal, Kartini dan Ali Shariati di bumi ini.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.