Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Michelle Yeoh, mangsa Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Apabila Michelle Yeoh (bergelar Tan Sri seperti Abdul Hadi Awang) memenangi Anugerah Golden Globe ke-80 baru-baru ini, ramai pembesar negara mengucapkan tahniah kepada beliau.Beliau meraih anugerah Pelakon Terbaik Wanita (Kategori Muzikal dan Komedi) untuk filem Everything Everywhere All at Once memerankan watak seorang migran Cina di Amerika Syarikat yang berdepan dengan pemburuan agensi cukai dan ibu kepada seorang anak yang lesbian. Watak Evelyn Wang lakonan Yeoh itu sendiri seorang lesbian (dalam lapis dunia lain). 

Jika Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah contoh murung fundamentalisme Islam dan dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Tan Sri Michelle adalah contoh klasik dan kini mangsa terbaik Dasar Kebudayaan Kebangsaan. 

Michelle Yeoh dilahirkan di Ipoh, Malaysia, merupakan  puteri Janet Yeoh dan Kian Teik Yeoh. Beliau memulai karier seni sebagai penari balet, memenangi Miss Malaysia dan kemudian Miss Moomba di Melbourne, Australia di awal tahun 1980an. Oleh sebab peluang di negara ini terhad ekoran pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (akan dicerakinkan kemudian), Michelle mengejar cita-cita di hadapan kamera dengan muncul sebagai bintang seni pertahanan diri di sisi Jackie Chan pada tahun 1984. Sejak itu beliau menetap di Hong Kong dan melakonkan watak-watak berkait seni pertahanan diri. 

Michelle mula mendapat perhatian di Barat menerusi wataknya sebagai gadis Bond dalam Tomorrow Never Dies (1997) dan melakonkan watak cemerlang dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000), arahan Ang Lee.

Sekiranya Michelle kekal berada di Malaysia, beliau akan dimangsai dengan teruknya oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Entah apa gamaknya watak yang akan beliau peroleh. Nasibnya tentu tidak secerah ini. Peserta-peserta Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) dari 16 hingga 20 Ogos 1971 yang berkumpul di Universiti Malaya untuk membincangkan penggubalan satu dasar kebudayaan bersifat kebangsaan; memutuskan idea kebudayaan kebangsaan mestilah Melayu-Islam. Kongres anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu telah memutuskan:

I. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.

II. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.

III. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan itu.

Alasan-alasan kepada tunjang di atas adalah keadaan sosiopolitik seperti - rusuhan kaum 1969, 

ancaman Komunis, konfrontasi Malaysia-Indonesia, pembentukan Malaysia, perpisahan Singapura dari Malaya dan awal benih kebangkitan Islam - yang mempengaruhi hala tuju perbincangan Kongres di Universiti Malaya itu. Setelah 50 tahun, dan kini sudah ada kerajaan perpaduan (tanpa Kementerian khusus menangani ehwal kesenian dan kebudayaan), Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang ketinggalan zaman dan telah menyumbang kepada kebangkitan kaum ekstremis kanan dalam PRU15 ini masih tidak dibincangkan kembali.

Seperti Elaine Kang

Michelle tidak dapat menyerlah di negara ini. Paling kuat, jika beliau menetap di Malaysia; mungkin beliau akan ada satu dua album seperti Elaine Kang, main watak jiran Cina kepada Mak Cik Kiah seperti Nancy Foo dan diwawancarai RTM2 untuk satu dokumentari mengenai 10,000 tanglung tergantung sempena Tahun Baru Cina dan lebih tragis masuk bertanding di bawah Parti Gerakan di Seberang Perai. Mujurlah Michelle berhijrah.

Ketika pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, suara paling dominan dan berkuasa di Kongres di Universiti Malaysia itu adalah apa yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas yakni apabila beliau membentang kertas bertajuk “Nilai2 Kebudayaan Dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu”. Pembentangan Naguib ini diletakkan sebagai ‘seminar dasar’. 

Sebahagian dari inti pandangan Naguib di Kongres ini adalah memomokkan budaya pra-Islam. Untuk memahami poin ini, bolehlah merujuk dua karya ilmiah beliau iaitu pertamanya, “Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay Indonesian Archipelago” (1969) dan ucapan pengukuhan profesornya, “Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” (1971). 

Suka atau tidak suka, perletakan Melayu dan Islam sebagai batu asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan mengorbankan sebahagian dari sejarah dan produk budaya penting negara kita yang terdiri dari pelbagai kaum. Ia menjauhkan seniman bukan Melayu (Michelle sebagai contoh). Ia menghindarkan seniman Melayu yang menulis dalam bahasa bukan Melayu (Salleh Ben Joned sebagai misalan). Dasar ini juga ikut menyumbang kepada kejumudan minda Melayu yang ikut bergulung dalam iklim konservatisme agama Islam yang kita lihat hari ini.

Oleh sebab kita mejauhkan seniman bukan Melayu, mereka terpaksa berjuang sendiri dan akhirnya membawa diri atau karya mereka ke luar negara. Tiba-tiba berlakulah ledakan globalisasi. Pensejagatan menimpa seluruh dunia. Akibatnya seniman yang terkurung dalam bahasa Melayu dan tempurung Islam menjadi seniman yang terperuk, juara kampung, dan tercicir di persada antarabangsa. Sebagai contoh, hari ini sastera yang dianggap sukuan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu seperti sastera Mandarin dan sastera Inggeris tempatan nampaknya bertapak lebih jauh di peringkat antarabangsa sedangkan sastera Melayu dianggap sastera perasan dan syok sendiri. 

Tidak dapat dinafikan bahawa penjelmaan ramai Islamis dalam politik di tahun 1980-an menerusi  ‘gagasan luhur Angkatan Belia Islam Semalaysia’ (Abim) ke dalam kerajaan ikut menguatkan konservatisme ini dan memantapkan lagi Dasar Kebudayaan Kebangsaan menjadi acuan Melayu-Islam. Bahkan kalimah Allah, iman, dan lain-lain menjadi milik bangsa Melayu sahaja. Dalam tahun 1979, di Bangi, Anwar Ibrahim dalam ucapan muktamar Abim mencadangkan ‘Islam sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk’. Harus dinyatakan Syed Naguib Al-Attas yang menjadi suara dominan ketika pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 adalah rujukan penting Abim ketika itu.

Idea Melayu-Islam Naguib 

Apabila Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 dan bertanding pilihan raya umum; idea Melayu-Islam yang disaran oleh Naguib pada tahun 1971 itu menjadi komponen paling penting dalam dasar kerajaan. 

Menurut Chandra Muzaffar dalam ‘Islamic Resurgence in Malaysia’ (1987) kelas menengah Melayu pun menerima Islam sebagai anasir penting dalam kehidupan. Graduan Timur Tengah mulai kembali membawa sama pelbagai pendekatan Islami. Mereka juga menjadi kumpulan Melayu berpendidikan yang meminati idea Melayu-Islam. PAS pula sedang melebarkan sayapnya di Pantai Timur. 

Sastera Melayu spontan menjadi ‘Sastera Islam’ sejak tahun 1977. Gagasan ini malah menyerap masuk dalam setiap lapis sastera Melayu yang sudah dipantak sebagai Sastera Kebangsaan menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Entah bila tanpa disedari Sastera Islam itu sendiri adalah Sastera Kebangsaan, dan perlahan-lahan juga nama bukan Melayu apatah lagi bukan Islam yang menulis dalam bahasa Melayu menjadi terpencil. 

Orang seperti Tan Sri Michelle Yeoh menjadi sumbing, dan minda Tan Sri Abdul Hadi Awang meskipun banyak merapu menjadi suara siuman Melayu. Kerajaan perpaduan boleh membetulkan ini dengan penubuhan Kementerian Kesenian dan Kebudayaan yang khusus. Yang menggubal kembali Dasar Kebudayaan Kebangsaan baharu.

Kita banyak main politik, dan tidak ingin beriltizam dengan betul untuk memajukan negara ini. Selagi ini terjadi, selagi itulah seniman kita yang ingin ke hadapan terpaksa berjuang ditimpa piala dan pingat emas di negeri orang. 


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.