Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Politik kita yang belum matang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Selain Sany Hamzan menjerit-jerit di parlimen meskipun telah menjadi sebahagian dari kerajaan, politik kita yang hampir menjengah 70 tahun merdeka belum lagi benar-benar matang.

Sebelum ini kita boleh melihat perangai seorang demi seorang ahli parlimen yang menjerit dan melalak seperti sedang berada dalam sarkas dan menyangka itu ialah amalan politik matang.

Ketika Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menjadi pemerintah pun – kali pertama 2018 – perangai yang sama masih sukar dikikis.

Ini juga bukan sahaja berlaku di peringkat parlimen, tetapi juga turut berlaku di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). Yang paling terkenal ialah ketika seorang wakil rakyat yang pada ketika itu daripada DAP yang bekerja memburu babi, menjerit-jerit di dalam sidang DUN di Melaka. Ketika wakil rakyat tersebut keluar dari DAP pun, tabiat yang sama masih sukar dikikis.

Kita bukan sekadar ada huru-hara di parlimen, tetapi penyakit itu juga melimpah keluar dalam bentuk sabotaj terhadap kawasan yang diwakili oleh ahli parlimen pembangkang.

Dalam hal ini, nampaknya Sany Hamzan yang juga selaku Adun Templer lebih baik dan adil berbanding seorang Adun daripada PKR dalam sidang DUN Selangor, hujung tahun lepas yang mahu menyekat peruntukan pembangkang daripada PAS. Kita pun tidak faham, adakah ‘Keadilan’ itu hanya sekadar nama parti, dan tidak benar-benar menjadi suatu ‘geist’ dalam benak wakil rakyat itu?

Pada tahun 2020 – ketika era Covid-19 sedang mengganas– Bersih 2.0 mengutuk kerajaan PH Selangor yang mengekang peruntukan RM30,000 kepada sembilan Adun di negeri itu bagi menangani kesan wabak Covid-19. Kata Bersih 2.0 dalam hal ini, “Amalan keji, tidak beretika dan tidak bermaruah itu bukan sahaja pengkhianatan kepada pengundi, malah juga sikap mabuk kuasa yang berterusan di mana politikus daripada parti kerajaan membelanjakan dana awam seperti harta parti sendiri.”

Konteksnya pula, apabila kerajaan pusat pimpinan PH dijatuhkan oleh PN yang kemudian menarik balik peruntukan kawasan kepada ahli parlimen PH. Bersih 2.0 turut kesal apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor cuba untuk memberi justifikasi amalan diskriminatif mereka dengan mengatakan sebagaimana amalan biasa dalam DPK, peruntukan itu diberikan kepada semua kawasan, namun peruntukan kepada pembangkang akan diuruskan oleh penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Hak dinafikan

Nampaknya apa yang dikritik selama ini kepada pemerintah Umno BN yang memerintah berdekad-dekad lama terhadap kezaliman politik dan penindasan peruntukan terhadap pembangkang, apabila pihak yang selama ini membangkang menjadi kerajaan, politik balas dendam itu juga yang menjadi amalan perpolitikan mereka.

Manakala PAS pula – yang selalu dikritik dan disindir di mana-mana, di ruang nyata mahupun di ruang maya – di bawah Fadhil Saari ketika mereka sempat menjadi kerajaan buat seketika, tidak bersetuju dengan penindasan terhadap peruntukan terhadap PH yang ketika itu menjadi pembangkang. Meskipun ideologi Islamism PAS selalunya jumud dan konservatif dalam spektrum politik, tetapi dalam hal ini PAS lebih progresif dan wajar sahaja dipuji.

Penganalisis politik dari UUM, Prof Dr Rusdi Omar berkata, budaya politik membuli pembangkang dengan tidak diberikan peruntukan, tidak seharusnya dipraktikkan lagi. Katanya, “sepatutnya sebagai ahli parlimen, mereka perlu diberi hak masing-masing. Tidak boleh hanya kerana menjadi pembangkang, hak mereka dinafikan”.

Ahmad Zahid Hamidi selaku timbalan perdana menteri – buat kali kedua – pula mengatakan ketika isu banjir di Kedah, menggesa kerajaan negeri Kedah bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu rumah mangsa banjir di Baling.

Menurutnya kerajaan negeri (Kedah) harus menerjemahkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan memberi bantuan tanpa kerajaan persekutuan. Ini diucapkan ketika PH dan gabungan barunya bersama Umno kalah di kubu kuat PKR di Padang Serai, Kedah.

Tindakan ini menunjukkan betapa ‘koyak’nya pemerintah apabila kalah dengan musuh mereka dalam pilihan raya. Sikap angkuh dan takbur Zahid itu masih dibawanya ke dalam kerajaan baru, meskipun Umno telah mengalami kekalahan berkali-kali – paling teruk dalam sejarah Umno.

Tetapi PAS pun tidak terkecuali dari amalan politik tidak matang sebegini.

Politik kita tidak ada concede.

Zin Mahmud menulis di Facebooknya, “sebab itu dalam demokrasi berpilihan raya ada amalan “concede” atau menerima kekalahan dan mengiktiraf pemenang serta mengucap tahniah oleh pihak yang kalah kepada pihak yang menang.

Kalau tidak, tak jadi kerja. Negara tak stabil. Sampai habis penggal pun perubahan tak dapat dibuat. Asyik berpolitik. PAS tak “concede”. Hadi tak nak ucap tahniah pada Anwar..,”

Jadi apabila Anwar Ibrahim selaku perdana menteri datang ke Terengganu, beliau tidak disambut sebagaimana sepatutnya. Suatu politik yang tidak gentlemen. Jadi amalan politik kita ialah politik sepanjang masa yang merugikan rakyat terbanyak.

Waktu bangunkan semula negara

Anwar Ibrahim pula, yang kini dengan terma barunya ‘Madani’ dan pelbagai lagi seperti ‘cerakin’, meminta ahli parlimen yang tidak mendapat peruntukan kawasan mengutus surat kepadanya. Ini adalah suatu perkara feudal yang dibuat pada masa lalu, dan diteruskan pada era Kerajaan Perpaduan yang begitu banyak retorik.

Sepatutnya semua kawasan di Malaysia harus mendapatnya, kerana hasil mahsul dan cukai yang diperolehi dihantar ke pusat. Maka kenapa hendak mengutus surat kepada Anwar Ibrahim pula?

Amalan federalism harus dihormati. Setiap negeri harus dibangunkan. Bukan hanya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sahaja. Dan bukan hanya kawasan-kawasan yang pro pada agenda politik pemerintah pusat sahaja.

Jika tidak, tidak jauhlah beza pemerintahan Anwar Ibrahim dengan seterusnya Dr Mahathir Mohamad, yang menyekat royalti minyak terhadap kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mar sebelum ini.

Adalah memalukan sama sekali apabila mereka yang memekik-mekik reformasi, siang dan malam, pagi dan petang, selama 24 tahun sebelum ini tidak boleh menghormati negeri-negeri yang mempunyai perbezaan ideologi.

Peruntukan terhadap kawasan parlimen tidak seharusnya dianaktirikan. Semua kawasan – bukan individu ahli parlimen – itu harus mendapat sama banyak peruntukan. Kalau di Putrajaya mendapat RM1 juta setahun, di Sik juga harus mendapat RM1 juta setahun. Barulah sesebuah kawasan itu tidak kekal mundur.

Tetapi sesebuah kawasan itu juga akan kekal mundur, jika peruntukan itu hanya dinikmati oleh ahli parlimen tersebut dan mereka yang menyokongnya sahaja. Justeru itu harus ada jawatankuasa penyemak atau penilai peruntukan kawasan, supaya kawasan-kawasan yang mundur ada peningkatan. Bukan berterusan tiada jambatan, tiada kemudahan, tiada lampu jalan dan lain-lain.

Sepatutnya kita hanya bergaduh atau bertempur pada waktu ‘peperangan’ sahaja. Selepas habis waktu berperang itu, adalah waktu untuk membangunkan semula negara. Bukan mencetuskan ketidakstabilan dan huru hara kepada rakyat sepanjang masa.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.