Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pak Man, seni dan madani

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

"Engkau datang ya... Aku nak ucap terima kasih sebab tulis pasal aku di SeniKini," kata pelukis Osman Limat memberi pesan setelah dapat berhubung dengan kami.

Kami memang tidak menggunakan telefon. Oleh itu Pak Man terpaksa bertanya kepada orang itu dan orang ini sehingga berita dia mencari-cari akhirnya sampai kepada kami.

Terasa berdosa juga menyusahkan orang namun jiwa penjahat kami lebih mementingkan diri.

SeniKini ialah buletin bulanan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara. Makalah tersebut keluar untuk membawa cerita dan berita mengenai kegiatan seni di negara kita.

Ia diberikan percuma kepada semua, dan jika kamu rajin untuk mendaftar sebagai ahli, Balai Seni Negara akan menghantar makalah tersebut terus ke rumah kamu melalui pos setiap kali ada keluaran baru.

Mungkin ia boleh dibaca secara dalam talian di laman sesawang agensi itu, namun alangkah lebih baik jika Balai Seni Negara dapat mewujudkan satu laman sesawang khusus untuk SeniKini.

Itu tentu akan lebih memudahkan.

Memang ada satu dua kali dapat jemputan untuk menulis di SeniKini namun kami tidak ingat pernah menulis mengenai Pak Man dalam makalah tersebut.

Selain sudah dipesan - dan memang kami ada cadangan untuk menziarahi - tulisan di SeniKini itu membuatkan kami bersegera ke rumah beliau.

Yang lebih mengujakan kami adalah betapa lif untuk naik ke tingkat tujuh perumahan rakyat tempat Pak Man tinggal kini sudah dibaiki. Tidaklah perlu kami membawa perut semasa memanjat tangga dan melayan mengah di tingkat dua seperti lawatan lalu.

"Lif baru," kata kami kepada kakak yang bersama-sama menaiki lif tersebut.

"A-ah, baru dua bulan," kata beliau, "tapi tengoklah ni, dah dikoyak budak-budak." Memang pelekat plastik yang melindungi permukaan dinding tersebut telah dikopak namun lif berfungi baik.

Demi terbukanya pintu, kami dihiburkan oleh lukisan dan keratan akhbar mengenai kegiatan Pak Man yang ditampal penuh di dinding luar rumahnya.

Suka cerita lukisan, basikal

Kawasan perumahan itu memang agak tidak dijaga. Sampah berselerak dan tidak nampak penduduknya suka akan kebersihan. Namun rumah Pak Man agak kemas menurut piawaian penduduk kawasan tersebut.

Setelah memberi salam, kami mengintai melalui langsir pintu. Kami nampak Pak Man sedang berbaring di atas sofa di ruang tamu. Beliau bangun dan menghulurkan kunci pintu melalui jeriji.

"Engkau buka, tangan aku sakit," kata dia kepada kami.

Dalam perbualan kemudiannya kami diberitahu bahawa tangan kanan beliau bengkak akibat dicakar kucing. Ditambah dengan penyakit kencing manis yang dihidapinya, maka bengkak tersebut mengambil masa untuk sembuh.

"Bini aku kerja. Pukul empat pagi dah bangun cari rezeki tanggung suami," kata Pak Man bergurau. Selepas isterinya keluar rumah, Pak Mak akan berseorangan sehingga tengah hari.

Duduk dengan Pak Man bererti duduk mendengar cerita lukisan dan lumba basikal iaitu dua kecintaannya. Cerita yang sama itu akan diulang-ulangnya setiap ada waktu kami bertemu.

Tapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya kami tidak perlu mendengar perkataan 'madani' yang kerap disebut orang sekarang ini. Naik mual apabila setiap kali tukar perdana menteri, slogan untuk memajukan negara juga bertukar.

Padahal yang maju cuma pendukung slogan, pembuat lagu slogan dan tentu sekali pembodek pembawa slogan. Pak Man macam tu juga, terlentang menunggu kawan-kawan datang berziarah.

Terlanjur menyebut fasal madani, menteri dan wakil rakyat yang sudah menbentuk kerajaan diharap berlaku adillah. Kamu adalah pembikin polisi. Kerja-kerja popular mungkin akan menaikkan nama kamu di mata rakyat namun yang terlebih penting ialah bagaimana kamu berkerja untuk memajukan negara.

Kemajuan materi adalah penting namun kemajuan pemikiran pula teramat penting.

Usahakanlah supaya sikap mementingkan kaum dibuang terus, dan sudah-sudahlah makan suap. Kamu dan kaya-raya.

Sebut fasal sudah-sudah, Rafizi Ramli sudah boleh berhenti daripada berteori. Masanya sudah sampai untuk beliau buktikan kehandalannya dalam medan sebenar.

Kamu adalah menteri ekonomi, maka pergi cari pelabur dan pelaburan. Masalah ikan, telur dan kedai makan - ada menterinya sendiri. Kamu adalah anggota kerajaan, jangan sibuk bercakap macam pembangkang.

Dalam hal yang lain, para yang berhormat: sudah-sudahlah bertempik bagai monyet semasa di parlimen. Tidak kiralah kamu Hulu Langatkah atau Araukah, atau sesiapa pun jua.

Bangun dan bercakap elok-elok selayaknya orang yang dihormati. Tak payah terjerit-jerit kerana ia mendatangkan benci yang amat banyak daripada manusia.

Diambil Balai Seni Negara

Satu lagi, kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Motac, kalau kamu dah gila sangat mahu berbahasa Inggeris, mohon dikekalkan dana untuk industri kreatif seperti yang pernah diberikan oleh kerajaan sebelum ini, di samping memberi dana khas kepada Balai Seni Negara untuk perolehan karya seniman tempatan.

Lama sangat dah balai itu tak beli lukisan kami.

Berkenaan PMX yang katanya tidak mahu membina bangunan tinggi itu, kami mahu juga mencadangkan supaya pemaju perumahan tidak lagi dibenarkan menggunakan nama asing seperti Chesterfield, Ainsdale atau pun Kingdom Come. Letih nak meng-Google-map dibuatnya.

Rupa-rupanya bukan tulisan di SeniKini yang dimaksudkan Pak Man, sebaliknya tulisan lain mengenai dia yang kami tulis di portal ini, Malaysiakini, yakni 'surat khabar' yang giat mempromosi dakyah DAP - kata budak-budak pakai tanjak dan rakan-rakan mereka yang gemar memberi 'sedekah'.

Pihak Balai Seni Negara telah datang melawat Pak Man dan mengambil buku sketsa yang mengandungi berita serta gambar penglibatan beliau selama ini.

Pak Man menyimpan semua berita dan gambar serta sijil yang beliau perolehi selama berkecimpung dalam dunia seni lukis dan lumba basikal.

Buku itulah yang selalu beliau bawa ke mana-mana.

Pihak Balai Seni Negara telah berbesar hati untuk menyimpan buku berkenaan sebagai naskhah yang akan diarkibkan.

Sebagai gantinya, Balai Seni Negara menyalin kembali semua lembaran dan ditambah lagi dengan berita dan gambar yang tiada dalam simpanan Pak Man. Ia kemudian dicetak dan dijadikan sebuah buku yang kemas dan berkulit keras.

Didalam buku itulah tulisan kami di Malaysiakini dimuatkan. Mungkin Pak Man tersilap sangka dengan mengatakan bahawa kami menulis mengenai beliau di SeniKini.

Seperti mana kamu sering tersilap sangka dalam mengatakan kami ini barua DAP dan pencinta Anwar Ibrahim.

Binawe.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang selalu kagum dengan tatanan ahli politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.