KOLUM | Polemik antara ekstrem dan sederhana
Kedua-dua perkataan; ekstrem dan sederhana; sering diungkap oleh banyak pihak dengan pelbagai tujuan dan alasan.
Orang politik menggunakan istilah ini untuk meraih undi. Orang agama menggunakannya untuk menguatkan hujah mereka. Para peniaga menjadikannya isu yang akan menjejaskan perniagaan mereka. Para sosialis menjadikan ia sebagai faktor menjejaskan perpaduan kaum. Ada pula yang menggunakannya semata-mata untuk menidakkan keabsahan agama Islam.
Sehingga hari ini tidak ada siapa yang dapat menghuraikan secara tepat dan jelas tentang maksud 'ekstrem' dan 'sederhana'. Sebaliknya ia digunakan sekadar untuk melabel pihak-pihak tertentu dan dalam masa yang sama untuk menjustifikasi tindakan masing-masing.
Mungkin kerana ia terlalu sensitif sehingga tidak ada yang berani menulis dan memberikan takrif dan ciri-ciri kepada 'ekstrem' dan 'sederhana'. Ini kerana kedua-dua perkataan tersebut sentiasa dikaitkan dengan pengamalan agama khususnya agama Islam. Para ahli akademik juga sering bercakap tetapi gagal memberikan penjelasan yang tuntas kepada masyarakat umum.
Ini menjadikan rakyat semakin keliru dan tertanya-tanya;
i. Apa definisi ekstrem dan apa pula sederhana?
ii. Mana tindakan yang boleh dikatakan ekstrem dan mana pula yang sederhana?
iii. Apakah ia hanya satu polemik yang diwujudkan Barat untuk memecahkan rakyat di negara ini?
iv. Kenapa apabila sesuatu yang melibatkan orang Islam terus dianggap ekstrem tetapi jika dilakukan oleh bukan Islam ia dianggap sebagai kemanusiaan?
v. Siapa yang berhak atau berautoriti untuk mengatakan sesuatu tindakan itu ekstrem atau sederhana?
vi. Atau apakah sesiapa sahaja boleh melabelkan mana-mana individu atau kumpulan sehingga yang dilabelkan itu akan ditangkap dan di soal siasat pihak berkuasa?
Baru-baru ini sekali lagi isu ekstrim ini dilaporkan oleh pelbagai media apabila seorang wakil rakyat menegur sebuah pasar raya kerana menjual arak secara terbuka. Beliau telah dilabelkan sebagai ekstremis agama kerana membuat teguran demikian kerana dikatakan ini akan menakutkan pelancong dan akan menggugat keharmonian kaum.
Ini bukan kali pertama malah telah acap kali mana-mana pihak yang menghalang penjualan atau penggunaan arak secara terbuka akan dianggap sebagai ekstremis.
Masih ingatkah kita dengan isu Oktoberfest? Begitu juga isu di 7-Eleven? Begitu juga isu penyembelihan lembu korban di kawasan terbuka sebuah sekolah yang pernah dianggap salah? Ingatkah kita dengan video-video ucapan yang menghina orang Melayu dan Islam yang tular? Dan macam-macam lagi.
Yang lebih memeningkan ialah tindakan dari pihak berkuasa terhadap setiap insiden ini berbeza seolah-olah ada double standard.
Persoalannya; di manakah sempadan ekstremisme ini? Selagi ini tidak dijelaskan secara tuntas maka selagi itu ia akan digunakan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak bagi menidakkan tindakan pihak lain.
Sebagai seorang Muslim saya tidak nampak mana-mana ayat al-Quran mahupun Hadith yang menyatakan tentang ekstremisme. Saya tidak pasti dalam kitab agama-agama lain. Saya juga tidak pernah melihat mana-mana umat Islam yang memaksa penganut agama lain untuk mengikutinya.
Kalau ada pun tindakan yang dibuat, ia hanyalah sekadar untuk menjaga maslahat umat Islam yang mana ini memang dituntut dalam agama Islam. Apakah itu ekstrem?
Apa pula yang dikatakan “sederhana”? Mana contoh negara yang mengamalkan “sederhana” yang sebenar? Apakah “sederhana” ini sesuatu yang baik untuk rakyat dan agama di negara ini? Apakah sederhana itu ialah dengan membiarkan judi, arak, zina dan segala gejala songsang berlaku berleluasa dalam masyarakat?
Sudah sampai masanya dan amat kritikal untuk kedua-dua istilah ini diberikan penjelasan dan definisi supaya semua rakyat faham dan patuh dengan peraturannya.
Mungkin ini ia agak sensitif tetapi selagi kita tidak perjelaskan dan dipersetujui maka selagi itu ia akan terus menjadi polemik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
AMINUDDIN YAHAYA merupakan jurucakap jawatankuasa pemandu Gagasan Bangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai