Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bekerja dengan kerajaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Lama dulu kami pernah pergi temu duga untuk jawatan dalam kerajaan. Waktu itu semua orang tahu bahawa jika kamu datang kepada mana-mana temuduga untuk jawatan dalam kerajaan dan datang pula sekadar berbekalkan keyakinan, bersedialah untuk gagal.

Seeloknya jika kamu mahu berjaya dalam temu duga - pada waktu itu - maka harus dibawa bersama beberapa helai surat sokongan daripada orang tertentu.

Dan yang paling baik tentu daripada orang besar yang boleh mengangkat telefon dan bertanya khabar terus kepada panel penemu duga kamu itu.

Yang paling mudah ialah jika kamu memang sudah mempunyai saudara-mara yang sedang berkhidmat dalam kerajaan. Dengan sedikit bisik-bisik, kamu akan mendapat peluang yang lebih besar berbanding mereka yang hanya datang dengan keyakinan tadi.

Berhempas pulas kami menghafal nama-nama negeri di Malaya ini, nama menteri besarnya, dan berulang-ulang melaungkan Rukun Negara agar tidak lupa jika ditanya.

Kami juga memperkuatkan ilmu mengenai negara ini seolah-olah kami akan menghadapi peperiksaan untuk mendapatkan kerakyatan.

Bukan tidak ada keluarga yang sedang duduk dalam kerajaan yang boleh dijadikan kabel, namun mungkin kerana malu atau malas maka seperti yang dinyatakan, kami pergi dengan hanya berbekalkan sedikit kelulusan, keyakinan dan juga penyerahan kepada tuhan.

Hanya jadi tukang sorak

Seperti yang diketahui umum, untuk satu jawatan yang tawarkan biasanya yang dipanggil untuk temu duga adalah berpuluh orang. Satu perbuatan yang harus dihentikan apabila diketahui bahawa jawatan tersebut sebenarnya telah disediakan untuk anak si anu atau anak si itu.

Walaupun datang dengan rambut baru dipotong serta kemeja yang baru dibeli, kami gagal. Ia kemudian menjadi satu-satunya kenangan kami memohon jawatan dalam kerajaan.

P Ramasamy silap apabila mengatakan jawatan dalam sektor kerajaan sepertinya dikhususkan kepada orang Melayu sahaja.

Yang sebenarnya seperti apa pun di Malaya ini semuanya bergantung kepada siapa yang kamu kenal. Dan kamu akan hanya menjayakan mereka yang duduk di keliling kamu. Lihatlah politik, misalnya.

Selama turun-temurin politik kita dikuasai oleh keluarga itu dan keluarga ini. Mereka yang datang dari luar hanya akan kekal sebagai tukang sorak untuk memeriahkan suasana.

Gambar hiasan

Umno memulakan budaya itu dan kini ia diikuti oleh hampir semua partai politik yang ada.

Kepada Ramasamy ingin kami katakan bahawa masih ramai Melayu yang menginginkan jawatan dalam sektor kerajaan, namun yang mereka berjaya capai hanyalah kekal menjadi tukang sorak.

Bukan semudah yang disangka Ramasamy untuk orang Melayu menembusi tembok kekeluargaan yang dibina sejak sekian lama.

Memang lambat laun amalan mengutamakan kaum kerabat ini akan dihapuskan, tetapi ia memerlukan kerajinan banyak orang untuk berhenti daripada bermain kad perkauman, kemudian berusaha bersungguh-sungguh membina keadilan untuk semua.

Buka mata luas-luas

Berhentilah bercerita tentang malang sesuatu kaum lebih daripada kaum yang lain. Cerita derita mungkin mengundang simpati untuk sedikit masa  namun pada tempoh yang lebih panjang ia juga sedia menjemput rasa muak dan meluat serta dendam yang tidak berkesudahan.

Kami juga sudah muak apabila seperti terpaksa meminta maaf kerana ramainya Melayu di universiti, dalam angkatan tentera dan sebagainya.

Belum lagi dikira betapa kami dikatakan pemalas dan juga menjadi punca kepada semua kegagalan yang berlaku dalam negara ini.

Ditambah pula apabila tunggang-tonggek sembahyang kami juga dipersoal orang.

Jika Ramasamy membuka mata dengan luas, mungkin beliau akan dapat melihat betapa ramainya Melayu yang kerjanya menyelongkar sampah, hidup sebagai gelandangan dan bergelut dalam urusan meneruskan hidup.

Ia sama saja seperti sebahagian masyarakat dari mana-mana kaum pun.

Aturlah perkataan yang kamu ingin keluarkan dari mulut secara berhikmah. Katakan bahawa kamu akan berusaha memperkasakan penduduk yang terlepas peluang perkerjaan dalam kerajaan, misalnya.

Berhentilah bercakap seperti pembangkang. Kamu kini adalah kerajaan. Jangan bercakap seperti baghal. Bising, memekak dan tidak mendatangkan faedah.

Sebut fasal berebut pekerjaan, kami jadi bingung apabila mereka yang di atas dikatakan rela berkerja tanpa gaji.

Selain perdana menteri dan anaknya, kini seorang duta yang baru dilantik juga sanggup berkhidmat secara sukarela.

Kaya bagaimana agaknya mereka ini sehingga sanggup melepaskan tenaga untuk bekerja secara percuma. Atau sebenarnya mereka memang ikhlas dan sanggup berlapar demi kesejahteraan rakyat seperti yang mereka gembar gemburkan selama ini?


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang kadang-kadang bekerja secara probono.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.