Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bulan Rejab haram berperang, PAS hunus replika pedang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAS memang aneh. Di bulan Rejab yang terang-terang ada ayat suci al-Quran menegaskan kemuliaan bulan Rejab, Syabaan dan Ramadan dan terdapatnya desakan larangan berperang, maka ketika itulah mereka dengan pongah dan angkuhnya berarak membawa segala replika senjata. 

Padahal Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Khirul Muntanazar Ismail sendiri ada menulis di Harakah atas talian berkaitan kesucian bulan Rejab ini. 

Saya tidak tahu dalil apa pula akan digunakan untuk mendalih agar diperboleh perbuatan yang dilakukan oleh sekumpulan aktivis PAS di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023).

Untuk mewajarkan perbuatan segelintir ahli PAS ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menghujahkan, perarakan itu seumpama “opera Cina yang pelakonnya turut membawa pedang dan lembing.” 

Saya tidak tahu di mana beliau pernah menonton ‘perarakan’ opera Cina yang membawa pedang dan lembing? Di majlis anjuran parti Gerakan? Sayugia diingatkan opera Cina adalah opera, dan jika ada pun adegan pedang dan lembing ia adalah satu ‘pementasan’ (maka di atas pentas), dan bukannya perarakan di atas jalan raya.

Ada teman saya menghujahkan ia adalah satu perarakan umat Islam, sepertinya perarakan Maulud Nabi. Saya tidak tahu Perarakan Maulud mana yang ada membawa pedang dan lembing. Jika ada sila tunjukkan. 

Seorang teman lain mengatakan ia hanyalah satu cosplay dan menyamakan apa bezanya dengan anak-anak berpura-pura mengenakan pakaian hero Marvel dengan budak-budak PAS yang belum matang berarak dengan pedang?

Jawapan saya di sini, ada bezanya.

Saya ingin merujuk kepada apa yang dinamai oleh kami dalam disiplin sosiologi dan antropologi sebagai symbolic expressionism. Ia adalah perbuatan penuh perlambangan sebagai satu cara meluahkan rasa akan sesuatu. Selalunya ia dilakukan oleh para penganut agama dan sesuatu kepercayaan.

Sebagai contoh dalam perarakan liturgikal umat Kristian, mereka akan membawakan salib besar dari kota ke kota. Kadangkala mereka akan mengikat seorang ‘pelakon’ tertentu yang menyerupai ‘Jesus’ di salib besar tersebut. 

Perarakan liturgikal 

Tujuan perarakan liturgikal begini pada waktu ia mula-mula diperkenalkan ialah supaya segelintir umat Nasrani yang buta huruf dan tidak boleh membaca Injil akan mendapat pengetahuan mengenai peristiwa ‘penyaliban’ ini. 

Mereka akan dapat menghubungkan kepercayaan bahawa Jesus disalib, dengan adegan tersebut secara alamiah. Ia akan membibitkan emosi dan menanamkan ketahanan atau keimanan yang berganda dalam hati dan benak. 

Dalam masyarakat Syiah, terdapat perarakan Arbaen (hari 40) yang dihadiri oleh lebih 30 juta umat Islam mazhab tersebut yang mana mereka berjalan dari kota Najaf ke Karbala sambil mengingat semula payahnya perjalanan Zaynab al Kubra setelah kejadian saudaranya, Saidina Hussein, cucunda Rasulullah saw dibunuh tentera Yazid bin Muawiyah. 

Mereka juga kadangkala akan mengenakan busana tertentu. Merah misalnya akan menggambarkan tentera musuh manakala tentera Imam Hussein akan mengenakan baju perang berwarna hijau. Mereka akan ‘berpura-pura’ memukul badan tanda tangis dan sedih. Ia juga adalah satu bentuk symbolic expressionism.

Untuk kita orang Sunni, perbuatan mencium al-Quran sesudah membacanya juga adalah satu bentuk simbol atau luahan lambang penghormatan dan rasa kasih terhadap kitab suci ini. Justeru ia juga adalah symbolic expressionism.

Banyak contoh symbolic expressionism dalam beragama. Dalam agama Hindu ada misalnya perarakan Thaipusam, dan kumbh mela.

Oleh kerana ia mempunyai urusan tentang kepercayaan, maka secara rasionalnya segala makna itu juga membawa konotasi tertentu. Kesimpulannya, perarakan dengan lambang bukanlah cosplay biasa. Anak-anak yang mengenakan busana Marvel sebagai contoh juga apabila ditanya akan memberi pengertian tersendiri.

Makanya tidaklah menghairankan jika ada warganet tempatan yang heboh apabila ada pasukan kompang dianggotai belia Melayu beragama Islam berarak selepas perbarisan sekumpulan sami Kuil Tian Xi Zong dan muncul pasukan kedua terakhir sebelum ditutup dengan perarakan dewa ‘Datuk’ di Pulau Pinang.

Masyarakat LGBT di negara Barat akan juga berarak untuk menuntut hak mereka dihormati. Dalam hal ini mereka membawa bendera simbol identiti mereka iaitu ‘pelangi’, dan dalam sesetengah perarakan di negara Barat ada yang membawa replika zakar palsu. 

Ada individu LGBT mungkin akan berpakaian terdedah untuk menunjukkan tetek mereka. Ada yang berbogel malah. Itu semua ada lambang dan maksudnya. Apabila aktivis PAS membawa bendera dengan tulisan yang umat bukan Islam boleh kaitkan serta-merta dengan Isis atau Boko Haram (kumpulan militan gila di Timur Tengah itu), apakah yang PAS akan jangkakan? 

Atas nama simbol

Bahawa orang seperti P Ramasamy akan ketawa dan menanggapinya sebagai cosplay?

Dalam urusan bernegara, sehelai kain tentulah tidak membawa apa-apa makna. Akan tetapi sekali lagi, dalam urusan bernegara, jika sehelai kain itu adalah ‘Jalur Gemilang’ maka ia telah berubah makna dan itu terdapat pada lambangnya sebagai satu maruah nusa bangsa, yang juga merupakan satu symbolic expressionism. Jika ‘kain’ itu terdapat di tubir jalan kotor, kita serta merta akan ‘menyelamatkannya’.

Sebagai symbolic expressionism membawa pedang dan senjata, meskipun replika ia adalah membawa maksud tertentu. Dalam erti kata lain ada mesej yang ingin kita sampaikan. Misalnya pada tahun 1987, sekumpulan ahli Ku Klux Klansmen yang diketahui militan dan rasis di Amerika Syarikat telah berarak di Chapel Hill. Mereka terdiri dari 63 orang yang berjalan selama 20 minit dan memperagakan rifel, baton dan pisau. Mereka akhirnya ditahan dan didakwa.

Jika polis di Amerika amat mengambil berat, mengapa pihak berkuasa di Terengganu membiarkan perarakan dengan replika pedang?

Malaysia adalah negara majmuk dan kita semua telah pun dipesan oleh baginda Raja-raja Melayu agar semua rakyat ini menjaga keharmonian kaum selepas PRU15 yang lalu. Justeru saya masih tidak faham mengapa ada perarakan begini, meskipun atas nama simbol. 

Kita semua maklum apakah makna atau ekspresi simbol kepada pedang dan pisau. Ia tidak sama dengan anak-anak berarak dengan pakaian beragam membawa pistol mainan atau alat-alat olok-olokan dari siri Ultraman. Tidak sama. 

Senjata adiwira itu berkonotasi (sekali lagi symbolic expressionism) membawa maksud kebaikan, melawan untuk mengalahkan musuh sejagat secara fantasinya. Akan tetapi apakah makna cosplay segelintir aktivis PAS di Trengganu dengan pedang itu? Mereka ingin menghunus kepada siapa?

Jika ia sekadar untuk mengutus mesej jihad, maka soalan saya jihad terhadap siapa? Dan jika ia untuk memukul genderang perang, saya ingin tanyakan bukankah Rejab bulan haram berperang? Apakah mereka di dalam Kerajaan Perpaduan kini bukan Islam untuk diacu senjata? Jika ia diajukan (baca dihunuskan) secara simboliknya terhadap parti lawan kepada PAS, soalan saya seterusnya adakah PAS ‘secara simboliknya’ kini sudah tidak percaya kepada demokrasi?

Semua soalan ini relevan kerana perarakan dengan replika dan dihujahkan sebagai symbolic expressionism seperti yang telah saya huraikan di atas bukanlah aktiviti cosplay biasa. Ia membawa mesej. Kalaupun pihak berkuasa buat buta, setidak-tidaknya itulah perspektif kami para sosiologis.

Tidak, saya beri amaran kepada PAS, jangan kalihkan hujah falasi konon ketakutan terhadap perarakan itu sebagai Islamofobia. Bukan sahaja orang bukan Islam wajar takut, semua orang Islam yang cintakan kedamaian patut juga takut. Ini kerana Islam PAS bukanlah Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Tiga jilid Fiqh al Harakah Abdul Hadi Awang bukan kitab suci. Jangan jadikan agama kami tebusan.

Soalan kita kekal tertumpu kepada parti bermasalah ini, apakah mesej segelintir ahli PAS di Terengganu itu membawa replika pedang di kala bulan Rejab?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.