Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Rasuah dalam kitab tafsir klasik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Sebesar mana pun kain serban yang terlilit di kepalanya, sebersih manapun jubah, secantik mana pun kopiah, sewangi mana pun tubuh badan dan sefasih mana kata-kata sumpah atas nama Tuhan, atau semulia mana pun tempat berhimpun, selagi ia imbuhan timbal balik atas undi yang diberikan, maka ia adalah rasuah.

Ia tetap bukan sedekah. Sangat tidak bertanggungjawab untuk sesiapa pun mengaitkan rasuah yang jijik itu dengan ibadah.

Ia menjadi lebih malang jika kritikan terhadap ‘sedekah semasa pilihan raya’ dianggap sebagai usaha merendah-rendahkan amalan menderma yang memang mulia dalam agama.

Keadaan menjadi kebih mengelirukan apabila seorang bekas menteri bersandar kepada dalil "niat" kononnya untuk membezakan rasuah dengan sedekah.

Alangkah naifnya justifikasi tersebut dan semakin naif apabila ada orang yang mendukungnya.

Lebih ironi ada ulama dan cerdik pandai yang mendiamkan diri atau menyembunyikan kebenaran demi kesenangan hidup sendiri. Itu pun sejeni rasuah.

Dari segi bahasa, istilah rasuah melalui perubahan dari segi ejaan walaupun maknanya tidak banyak berbeza. Ada yang dieja dengan rashwah, risywah dan juga rasuah.

Ia adalah ungkapan yang mendapat pengaruh bahasa Arab. Pengaruh dari bahasa Inggeris pula menamakan amalan itu sebagai korupsi.

Makna perkataan yaksibun

Kamus A Malay English Dictionary susunan RJ Wilkinson (1903) menyatakan bahawa rashwah bermaksud: a present by way of a bribe to get thing put through. Untuk dijadikan contoh Wilkinson memberi ayat berikut: “Rashwah dan sorong jangan di-terima”.

Dalam bahasa Melayu, rasuah juga dikenali sebagai sorong, tumbuk rusuk, duit kopi, wang sogok, suapan, bawah meja dan sebagainya. Semua itu membawa maksud sama.

Hampir 100 tahun lalu seorang ulama Melayu, Sheikh Muhammad Said Umar Khatib, menulis maksud rasuah dalam kitabnya, Tafsir Nurul Ihsan, pada 1926-1927.

Kitab itu tersenarai dalam Ensiklopedia Naskhah Klasik susunan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah (Khazanah Fathaniyah, 2015).

Muhammad Said merupakan ulama yang berasal dari Kedah dan mendapat kepercayaan Sultan Abdul Hamid untuk menghasilkan kitab tafsir. Dia juga datuk kepada bekas ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Mahfuz Omar

Persoalan rasuah disentuh oleh Sheikh Muhammad Said ketika mentafsir ayat 79 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Maka celakalah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka, kemudian mereka katakan: Ini adalah dari sisi Allah, kerana mereka hendak menjualnya dengan harga yang sedikit. Celaka bagi mereka dari apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan celaka bagi mereka lantaran penghasilan mereka.”

Hamka mentafsir perkataan yaksibun sebagai “penghasilan”.

Tafsir Pimpinan ar-Rahman pula mentafsirkan perkataan itu sebagai “apa yang mereka usahakan” manakala tafsir lain memaknakannya sebagai “pendapatan”.

Pada hari ini yaksibun adalah perbuatan yang disebut sebagai “menunggang agama” atau menggunakan hujah-hujah bersalut keagamaan secara palsu, salah dan terpesong demi mendapat keuntungan.

Sheikh Muhammad Said mentafsir yaksibun - dari hasil ‘menjual agama’ dengan harga murah - sebagai rasuah agama. Ia merupakan perbuatan yang pernah dilakukan oleh kaum Yahudi suatu ketika dahulu.

Agak sukar difahami

Sebelum kita pergi membaca teks asal yang ditulis Sheikh Muhammad Said, ada baiknya kita semak penjelasan Hamka tentang ayat tersebut dalam Tafsir al-Azhar: “Akan berapalah lamanya penghasilan harga yang sedikit itu akan mereka rasai? Padahal mereka telah memutar balik kebenaran? Akan berapa lamakah kepalsuan bisa berlaku? Akan berapa lamakah manusia bisa diperbodoh? Pemeluk agama yang manapun yang memimpinnya sudah sampai kepada taraf jual-beli agama seperti ini, namun kutuk Tuhan mesti memakan mereka. Kecelakaan tidak dapat dielakkan”.

Pertanyaan demi pertanyaan Hamka adalah untuk menyentap kesedaran masyarakat tentang perbuatan memperbodoh-bodohkan umat atas nama agama.

Dalam teks asal tafsirnya, Sheikh Muhammad Said menulis: “Maka sangat-sangat azab bagi mereka itu daripada barang yang menyurat oleh tangan mereka yang tiada sebenar daripada Allah. Kemudian berkata mereka itu ini daripada Allah supaya membeli mereka itu dengannya dengan harga yang sedikit daripada dunia orang-orang jahil mereka itu Yahudi ubah mereka itu akan sifat nabi dan ayat rejam. Adalah sifat nabi dalam taurat husnul wajah elok rupa ja’dul sya’ri (ikal rambut) akhal ainaini (bercelak dua mata) asmar (putih merah) rib’ah (sederhana tubuh) ditukar dengan tinggi pucat terjulur rambut apabila akan mereka itu orang-orang jahil membaca mereka itu akan yang mereka itu surat maka mendapati menyalahi sifat nabi yang ia perlihat maka dusta mereka itu maka sangat-sangat azab bagi mereka itu daripada barang yang menyurat oleh tangan mereka itu yang tiada sebenar dan sangat azab bagi mereka itu daripada barang yang usaha mereka itu risywah ambil upah sembunyi hukum Taurat. (Tafsir Nurul Ihsan, Juzu 1 MS 25-26)”.

Hamka

Bahasa dalam teks klasik memang sukar difahami. Kitab-kitab klasik seperti itu kebanyakannya dibaca di pondok atau masjid tertentu sahaja dengan makna yang terpisah daripada situasi semasa.

Kadang-kadang perlu dibaca berulang kali untuk faham, tetapi ayat terakhir dalam teks tersebut jelas menyebut tentang amalan menyembunyikan hukum Taurat itu sebagai risywah (rasuah).

Taurat dalam ayat al-Quran itu perlu difahami sebagai wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT.

Meski Sheikh Muhammad Said memberikan definisi rasuah dalam beragama tetapi dia tidak menghuraikan lebih lanjut hal berkenaan dalam tafsirnya.

Perlu ada sarjana dan ulama menghuraikan lebih dekat dengan masyarakat. Ini kerana pengertian rasuah yang dibawa Sheikh Muhammad Said itu adalah perbuatan para sarjana jahat dan ulama su’ demi mendapatkan undi, kuasa dan pengaruh.

Jika sang ulama dan sarjana sendiri yang bergelumang dengan rasuah, maka siapa lagi yang harus bangkit menentang ulama atau sarjana yang sebegitu?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.