KOLUM | Bila Pramoedya diterjemah ke Bahasa Melayu
Berlaku sedikit kekecohan baru-baru ini, apabila penerbit Biblio Press, menerjemahkan buku Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer. Kekecohan itu antara lain, apabila ada nota kaki pada perkataan ‘minke’ yang ditulis sebagai ikan paus. Yang sebenarnya, ‘minke’ itu ialah panggilan rasis kolonial Belanda, terhadap anak jajahannya Indonesia, yang bermaksud monyet.
Penerbit bagaimanapun telah meminta maaf. Berbagai-bagai kritikan telah dilontarkan kepada penerbit tersebut supaya lebih berhati-hati, apatah lagi dalam menerbit dan menterjemahkan karya-karya besar.
Persoalan lain yang menyangkut persoalan di atas ialah, perlukah buku-buku Indonesia itu diterjemah ke dalam Bahasa Melayu?
Ada yang mengatakan ia perlu. Dihujahkan kerana ada perkataan Indonesia tidak cocok dengan budaya dan bahasa orang Melayu, antaranya “gampang” dan “butuh”. Kedua-duanya bukan perkataan yang kasar atau bermaksud tidak elok jika dituturkan di Indonesia. Tetapi membawa maksud kurang baik jika dituturkan di Malaysia. Gampang kalau di Indonesia bermaksud mudah. Sementara butuh di Indonesia bermaksud perlu.
Tetapi jika diterjemahkan buku-buku Indonesia ke dalam Bahasa Melayu, bukankah ia menghakis sendiri kekuatan permainan bahasa yang digunakan dalam karya seseorang penulis itu?
Dan jika perkataan itu disalah faham, maka terangkanlah konteksnya itu. Kerana maksud gampang dan butuh dalam Indonesia berbeza dengan Malaysia, maka haruslah dijelaskan. Dan sesebuah karya itu (dalam konteks ini, Indonesia) adakah hanya mengandungi dua perkataan itu sahaja, hingga ia memerlukan diterjemahkan?
Puisi “Nyanyian Akar Rumput” oleh Wiji Thukul berbunyi:
“..kami rumput,
Butuh tanah..,”
Adakah akal kita orang Melayu yang berdiam di Malaysia, sangat dangkal dan jengkel sehingga gagal memahami, maksud bait di atas hingga memerlukan bait puisi itu diterjemah?
Isu yang sama seperti perkataan “babi”. Di Korea, ada artis perempuannya bernama ‘Babi’. Artis Korea itu menerima kecaman yang teruk dari orang Malaysia (Melayu) kerana namanya itu. Dalam istilah Kedah, penyakit sebegini dipanggil cempera. Kerana kita menyangka kita berbudaya tinggi, hanya bahasa kita sahaja yang benar, yang pelik dan jelik dalam budaya kita, maka itu juga haruslah menjadi pelik dan jelik dalam budaya orang lain.
Dalam zaman internet ini, begitu melucukan, sekali gus mengharukan apabila Google tidak digunakan dengan baik dan menganggap budaya kita (Melayu) sahaja yang terbaik. Seperti perkataan “babi” tadi, selain artis Korea tersebut, “babi” juga adalah perkataan bagi sebuah aliran dalam Syiah. Ia disebut dalam terma akademik sebagai “babisme”.
Diambil dari perkataan “bab” dalam Bahasa Arab yang bermaksud ‘pintu’ (ingatkah anda dengan filem Ahmad Albab?). Betapa dangkal dan bebalnya kita dalam memahami bahasa dan budaya orang lain, hingga menganggapkan budaya dan bahasa orang lain rendah.
Perkataan lama
Tetapi jika perkataan Indonesia itu masih menggunakan perkataan-perkataan lama seperti “saja” untuk “saya”, “jang” untuk “yang”, maka haruslah dan eloklah diubah ke bentuk rasmi dan moden yang digunakan kita seharian ini.
Ia seperti menterjemah buku-buku puisi Chairil Anwar ke dalam Bahasa Melayu. Bunyinya jadi aneh. Meskipun harus diakui Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia ada perbezaan, tetapi adakah begitu ketara hingga memerlukan penterjemahan?
Ketertarikan kita yang menggemari buku-buku Indonesia itu, adakah dalam bentuk yang asal itu, atau dalam bentuk yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu? Misalnya kita tertarik dengan puisi-puisi Rendra, ataupun Tafsir Al-Azhar karangan Hamka. Adakah ia dalam bentuknya yang asal atau dalam bentuknya yang telah diterjemah? Ini seharusnya menjadi persoalan yang penting untuk difikirkan baik oleh pembaca, penerjemah, bahkan penerbit.
Bahasa Melayu sendiri bukan berasal dari perut DBP. Jika institusi bergengsi itu sendiri kaku, tidak diminati dan tidak sampai ke masyarakat serta generasi baru, itu bukan salah Bahasa Melayu. Bahasa Melayu sendiri telah berevolusi, dari tulisan Sanskrit, ke Jawi, ke Roman, sampai antaranya menjadi Bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia antara evolusi Bahasa Melayu.
Nuruddin Raniri, Hamzah Fansuri antara ulama besar Nusantara, yang buku-buku mereka dibaca meluas seluruh nusantara dan tidak memerlukan penterjemahan lain, menunjukkan kedekatan budaya antara senusantara. Ini antara contoh yang klasik.
Kalau dalam contoh yang lebih moden, debat agama kebelakangan ini, yang diwakili oleh ARG (Ahli Sunnah Research Group) yang sering membawa tetamu debat dari Indonesia, nampaknya tidak mempunyai masalah pun untuk menjadi panelis debat melawan panelis debat lain dari Malaysia dan Singapura.
Bukan sahaja panelis, bahkan penonton juga tidak memerlukan bantuan penerjemah. Menunjukkan budaya kita sangat akrab. Yang hanya menjadi berbeza dan janggal, bila budaya daerah atau dialek daerah/lokal menjadi dialek nasional.
Penterjemahan yang lari
Antaranya apabila ‘minke’ menjadi ikan paus. Dan bukan sekadar masalah ini. Buku-buku Indonesia juga apabila terlalu rancak menterjemah, dan mungkin tiada suatu badan pemantauan atau kolektif yang memantau kualiti penterjemahan mereka, maka banyak juga buku-buku Inggeris terjemahan ke dalam Bahasa Indonesia yang lari ataupun seperti Google Translate.
Apatah lagi apabila buku yang pengarangnya Indonesia, ditulis dalam Bahasa Indonesia, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, pastilah ada yang lari. Jika tidak banyak pun, sedikit. Kesedapan sesebuah karya itu, wajar cuba dihayati dalam bahasa asal, apatah lagi bahasa asal tidaklah begitu jauh dari bahasa yang hendak diterjemahkan.
Ia seperti menonton cerita di Netflix, yang cerita asalnya berbahasa Jepun, tetapi ditukar bahasa percakapan (dubbing) ke Bahasa Inggeris, maka nikmat bahasa asal itu telah terhapus. Ia seperti mendengar lagu dalam filem-filem Hindustan, tetapi lagu itu dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Ini adalah satu kehancuran yang fatal. Lebih baik hanya ada subtitle sahaja, dari dihilangkan terus bahasa yang dipertuturkan itu. Ini adalah satu bentuk keangkuhan hanya bahasa kita sahaja yang layak difahami, dibaca dan diperdengarkan.
Penterjemahan selalunya menterjemahkan dari bahasa asing ke bahasa sasar. Jadi kita tidaklah mendengar kitab-kitab Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Atau buku-buku Rusia diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Rusia. Ataupun buku-buku Bahasa Melayu di Malaysia, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu Singapura.
Pastinya ada sedikit sebanyak perbezaan di sana sini, tetapi harus ada usaha mendekatkan, yakni bukan menterjemahkan. Kerana Bahasa Indonesia itu juga ialah dalam rumpun Bahasa Melayu. Melainkan ada perkataan-perkataan di sana sini yang memerlukan penterjemahan, ataupun singkatan-singkatan mereka yang bagi kita asing. Kerana penterjemahan bukan sekadar menterjemah satu perkataan ke satu perkataan lain, tetapi juga mengolah sesebuah ayat itu. Untuk mengolah sesebuah ayat, bukan suatu kerja mudah dan cincai.
Dalam hal penterjemahan karya-karya besar ini, nampaknya yang harus dan lebih layak menerjemahkan bukanlah penerbit-penerbit kecil atau penerbit-penerbit baru nak up, yang kemampuan menerjemahkan dan menyunting sesebuah naskhah masih diragui dan mempunyai cela di sana sini.
Tetapi yang harus dan mesti menterjemahkan karya-karya besar ini, ialah pihak-pihak berwajib atau institusi yang telah dipam duit dalam jumlah yang berjuta, seperti yang telah diumumkan oleh PMX, iaitu seperti DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan. Mereka yang telah diberikan duit rakyat puluhan juta inilah yang harus menterjemahkan karya-karya besar, bukan sekadar hanya menerbitkan buku puisi yang syok sendiri dan buku kawan-kawan.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai