Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Khutbah berilmu tanpa sentimen kepartian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kelihatan tidak selesa dengan arahan Majlis Agama islam Terengganu berkenaan larangan ahli politik daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid dan surau.

Dalam kenyataannya beliau turut menyebut akan tetap menyampaikan ceramah dan kuliah seperti biasa yang kelihatan seperti tidak hiraukan arahan tersebut.

Berkenaan khutbah jumaat, kuliah dan ceramah di masjid dan surau dalam negara ini, sejak sekian lama masih lagi terdedah kepada seruan sentimen yang tidak sihat. Namun, semua itu dihalalkan atas nama melawan sekular; hindari daripada politik suku, agama suku.

Menghalang perpecahan dan permusuhan sesama warganegara adalah ajaran Islam. Ekoran itu, amat salah jika digambarkan bahawa Islam membenarkan sentimen yang membawa kepada permusuhan hanya kerana perbezaan parti dan aliran mazhab.

Dengan sebab itu, mendakwa halangan tersebut sebagai agenda sekular adalah tersasar, bahkan secara tidak langsung memfitnah islam yang menyeru kepada hindari permusuhan.

Ilmu

Pengalaman semasa menuntut di Mesir, saya dapati mendengar khutbah yang disampaikan oleh para ulama al-Azhar adalah medan memberi ilmu.

Ada sebuah masjid di Kaherah, pengkhutbah itu menyampaikan khutbah bersiri berkenaan kisah Nabi Ibrahim sehingga sampai di era Khulafa al-Rashidin.

Untuk menyelesaikan kisah Nabi Ibrahim, memerlukan kepada lebih 20 siri khutbah yang setiap khutbah disampaikan kurang lebih 20 minit sahaja.

Demikian juga, saya pernah mendengar khutbah yang disampaikan oleh ulama al-Azhar yang mereka membahaskan berkenaan kewajipan zakat serta kaedah kiraan zakat.

Memandangkan khutbah hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja, menyebabkan kandungan khutbah tersebut dipenuhi dengan fakta penting.

Dengan sebab itu, menghadiri khutbah adalah medan mendapat ilmu. Hadir lambat atau tidur semasa mendengar khutbah adalah kerugian.

Namun begitu, ada juga sebilangan masjid-masjid di sana yang khutbah disampaikan dengan menaikkan sentimen sepertimana yang kita lihat berlaku di beberapa buah masjid di negara kita.

Sentimen

Islam di negara ini tidak pernah tergugat. Tetapi, sering dipersepsikan oleh golongan tidak bertanggungjawab bahawa ia tergugat.

Persepsi yang dimainkan kononnya Islam tergugat melahirkan sentimen rakyat. Kesannya, wujud prejudis sesama warganegara.

Persepsi yang melahirkan sentimen dan prejudis ini, tidak wajar disandarkan kepada Islam.

Apatah lagi, atas mimbar-mimbar Jumaat yang diperdengarkan kepada umat yang sedang beribadat.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.