Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bende tadok pekdoh

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | "Aku bimbang bila tua, tuhan bagi sibuk ke bende tadok pekdoh," kata Ustaz Mohaimi. Mohaimi bukan nama sebenar sahabat kami itu.

Pernah sekali kami tuliskan nama sebenar beliau di sini, dan sesudah itu setiap kali berjumpa itulah diulangnya.

Dia mengajar di sebuah pusat tahfiz milik kerajaan, justeru agak tidak senonoh untuk pihak kami apabila menggunakan nama betul beliau di portal sejahat Malaysiakini.

Kami gemar duduk berbual dengan dia. Kecintaan dia adalah kepada al-Quran.

Walaupun sudah bekerja, Ustaz Mohaimi masih meneruskan kelas mengajar al-Quran secara percuma. Ia khidmat yang dimulakan sejak beliau habis belajar di universiti al-Azhar lama dulu.

Mungkin kerana dia tidak pernah marah apabila kami sangat tekun menghisap rokok kalau kami keluar minum, maka persahabatan kami berkekalan sehingga kini.

Bukan kami tidak pernah belajar membaca al-Quran dengan beliau, bahkan kami agak lama bertalaqqi. Namun kerana bimbang akan menjadi seorang hafiz seperti beliau, kami berhenti belajar.

Maklumlah, kata orang, kalau sudah jadi seorang huffaz makan dan minum perlu dijaga. Merokok tentu saja terlebih-lebih lagi dilarang.

Harapkan share, subscribe

Bagaimana pun, Ustaz Mohaimi tidak bersetuju. Menurut beliau untuk tidak lupa apa yang dihafal, para huffaz cuma perlu membaca al-Quran sekurang-kurangnya tiga juzuk setiap hari.

"Kalau tak makan budu, tak makan ikan jeruk, tapi dok bace Quran, dok gune jugok," kata beliau kepada kami.

Kepada orang yang mahu percaya, kami katakan bahawa kami berhenti dari menekuni media sosial kerana takut terjebak dengan TikTok. Sementelah pula kami ini duduk membumi di media sosial sejak dari awal lagi.

Sejak zaman internet menggunakan talian telefon.

Bermula sebagai pembaca, kemudian kami menjadi penulis blog lalu menjadi terlalu aktif di laman Facebook.

Maka kami fikir sudah agak lama kami ini disibukkan dengan 'bende tadok pekdoh'. Pun begitu, ada juga masanya kami singgah melihat-lihat dunia fitnah di hujung jari.

Kami pun bersetuju bahawa kita sudah tidak lagi dapat membezakan apa yang benar dan apa yang salah.

Semua yang dilakukan di media sosial - sama ada betul atau tidak - pasti ada pembelanya. Mahu terkangkang atau terlentang, boleh saja. Jangan bimbang dimaki orang kerana pasti akan yang akan membela.

Orang agama juga tidak terkecuali. Sambil-sambil mengajar al-Quran, sambil-sambil berpesan agar lebih ramai yang share dan subscribe.

Lupakan saja berkerja demi tuhan kerana harapan kita ini adalah untuk mengumpul seramai mungkin peminat dan pengikut. Malah ada yang kerjanya sembahyang dan berdoa secara live.

Barangkali dia terganggu mentalnya namun tidak banyak beza di antara dia dengan orang yang sihat dan sibuk meracau di media sosial.

Kadang-kadang terlihat kelibat kenalan yang sangat gila bertiktok, membuat liputan tentang semua hal. Parlimen bubar, dikupasnya; Anwar dikeji, dibelanya; Haji Hadi ugut mahu jatuhkan kerajaan, dia mengamuk.

Seolah-olah dalam hidup ini tidak ada yang lebih penting daripada melakukan aksi live di TikTok.

(Yang Haji Hadi pun satu hal - sibuk nak jadi kerajaan sekali lagi. Semua hal ada masanya, ‘ji. Enta sudah merasa gaji besar, bagilah peluang orang lain pula. Nanti PRU akan datang enta lawanlah lagi. Ada rezeki, enta bentuklah kerajaan yang lebih Islami daripada si Madani ini.)

Kemaruk nak jadi popular

Kalau yang sibuk itu ada barang yang diniagakan, tidak mengapalah juga.

Ini tidak, bercakap merapu dan mengharapkan gift daripada penonton. Kami katakan bahawa mereka itu tidak ada bezanya dengan peminta sedekah.

Dan mereka itu seolah-olah sudah menjadi gila. Lihat saja Adun yang sampai merayap di lantai untuk mengharapkan gelak ketawa orang.

Sesudah itu, dia juga yang menghina makanan yang kemudian mensakralkan aksi itu dengan berkata kononnya memang resmi orang Terengganu mengaul nasi dengan air minuman kalau kekurangan kuah.

Kami tinggal dengan orang Terengganu sejak lahir dan sayugia kami katakan bahawa tidak pernah lagi kami bertemu dengan orang Teganu yang bodo gitumer.

Kalau yang sibuk berjoget, merapu dan berjelobeh itu adalah budak-budak, tidak apalah juga. Ini yang dah nak meninggal esok lusa pun masih sibuk terkinja-kinja hanya untuk menjadi tular dan popular.

Ini agaknya yang dikatakan oleh Ustaz Mohaimi bahawa kita ini sedang disibukkan dengan bende tadok pekdoh semasa dah tua.

Ketahuilah bahawa gelak ketawa orang atas kenakalan kita, pandangan politik yang kita pegang, flawless atau tidak wajah kita, dan besar atau kecilnya buah dada kita akan segera dilupa orang sejurus kita dijemput kematian.

Sebut fasal benda tidak berfaedah, Ustaz Mohaimin meminta kami memberitahu semua orang agar menghafal surah al-Mulk.

Menurut beliau cara paling mudah untuk menghafal adalah dengan melihat ayat yang mahu dihafal itu sambil memerhatikan betul-betul huruf-huruf yang membentuk ayat berkenaan.

Lihat ayat berkenaan sehingga ia terbayang di fikiran, dan ulang membaca ayat berkenaan sambil melihat sebanyak 15 kali.

Teknik ini juga boleh digunakan untuk menghafal apa-apa saja. Bukan terhad kepada ayat al-Quran semata-mata.

"Al-Mulk tu 30 ayat je. Sehari hafal satu ayat, 30 hari boleh dah hafal semua," kata beliau kepada kami. "Bila dah hafal, akhirat esok mu kabo ke tuhan, aku yang ajor mu."


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang pernah didenda kerana merokok di tempat awam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.