Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | SPRM best

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Baguslah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tunduk kepada mana-mana pihak, khusus dalam mensabitkan ahli politik.

Memang best. SPRM best. Untuk rekod semua, pihak SPRM telah menyiasat, menahan dan mendakwa ramai politikus dan pemimpin merentasi parti termasuklah dari pihak kerajaan, mahupun pembangkang.

Di pihak kerajaan, antara lain yang sudah mengalami proses pendakwaan ini adalah Timbalan Perdana Menteri, pemimpin kanan DAP seperti Lim Guan Eng dan juga Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Manakala di pihak pembangkang, antara nama yang tersenarai sudah didakwa di Mahkamah adalah Wan Saifulruddin bin Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor; dan kini bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Ini bukanlah kali pertama seorang mantan Perdana Menteri disiasat, ditahan dan kemudian didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malaysia mencipta keunggulan tersendiri kerana menghantar Najib Razak, Perdana Menteri keenam ke penjara.

Beberapa minggu lalu, saya ada menulis bahawa mana-mana menteri yang tiris perlu diburu dan didakwa . Negara kita memerlukan ketegasan untuk memerangi korupsi. Sesiapa sahaja hatta Perdana Menteri sedang bertugas, atau bekas Perdana Menteri yang berpengaruh mestilah dibawa ke muka pengadilan. Kita pernah mendakwa dan memenjarakan mantan PM dengan jayanya dan itu harus menjadi panduan agar tidak ada pemimpin yang boleh main-main.

Untuk itu kita harus memuji SPRM. Maka SPRM best.

Salah seorang raja yang amat prihatin dengan masalah dan isu rasuah ini ialah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dari Perak yang berkali-kali mengingatkan celaka dan petakanya rasuah, korupsi, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa.

Baginda mengingatkan perihal rasuah di negara ini berada pada skala bahaya termasuk memandang serius penemuan perihal ketirisan seperti terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai kepincangan lain yang boleh dibaca dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Baginda yang bijaksana, arif menjelaskan betapa wabak rasuah di negara ini mengakibatkan rakyat gagal beroleh perkhidmatan yang terbaik. Rasuah dan korupsi juga mengheret kita kepada, bak kata Tuanku Sultan Nazrin, ‘pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.’

Sudah berkali-kali SPRM menjelaskan yang agensi ini tidak memilih bulu. Bahawa SPRM bukan buat-buat best. Ketika Barisan Nasional di puncak kuasa, SPRM telah memfokuskan kes membabitkan jumlah besar dana awam, seperti isu 1MDB dan skandal air Sabah. Dakwaan kononnya SPRM adalah alat parti yang menjadi kerajaan sesungguhnya tidak dapat dihujahkan.

Oleh itu dakwaan Muhyiddin Yassin, bahawa partinya menjadi mangsa “pendakwaan terpilih” selepas bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah sukar untuk diterima pakai.

Mengambil kira semangat yang dikemukakan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam hal membasmi habis-habisan korupsi dan rasuah, kita perlu melindungi maruah dan kemerdekaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini.

Ada paling kurang lima langkah untuk melindungi SPRM agar kekal best dan bertindak untuk kepentingan rakyat. Pergi mampus dengan ahli politik yang korup dan merasuah.

Untuk itu SPRM perlu kekal merdeka. Langkah yang perlu dilakukan untuk melindungi SPRM itu ada lima:

Pertamanya, meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan ini termasuklah semua yang berkait seperti pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya.

Rakyat yang anti rasuah membayangkan SPRM yang sukar untuk dipengaruhi operasinya jika diletakkan di bawah Parlimen.

Keduanya, SPRM mestilah mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan tersendiri agar tidak boleh diperkotak-katik kelak. Kita bimbang dendam ahli politik tertentu akan membantutkan SPRM, seterusnya menggagalkan usaha membersihkan negara ini dari kebejatan rasuah dan korupsi.

Ketiga, peruntukan SPRM tidak wajar bergantung kepada Jabatan Perdana Menteri. Sekarang, penggajian staf SPRM dibayar oleh Kementerian Kewangan dan dibidak Akauntan Negara. Sepertinya lapangan kehakiman, SPRM harus punya sumber dana tersendiri yang terpisah.

Ini akan memastikan peruntukan SPRM ini tidak bercampur baur. Rakyat tidak mahu operasi SPRM terjejas untuk menangkap mana-mana ahli politik termasuklah

mantan Perdana Menteri lantaran kesuntukan wang, atau katakan pertambahan jawatan SPRM menjadi rumit kerana tidak bebas. Kita perlu ramaikan penguatkuasa SPRM yang boleh menangkap dan mendakwa politikus yang menggerigit wang negara.

Pendek kata kita perlu melindungi SPRM agar dapat kekal best.

Keempat, kuasa pendakwaan sudah mesti diberi kepada SPRM. Ini bukanlah aneh kerana ia misalnya diamalkan di Indonesia oleh Komisi Pemberantasan Korupsi Republik Indonesia atau KPK yang mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa.

Kita maklum terdapat hujah kontra mengenai hal ini, akan tetapi buat masa ini, model KPK ini lebih rasional khusus di negara yang rasuah berleluasa seperti Malaysia.

Kelima, staf SPRM perlu ditambah sehingga 10,000 orang anggota, atau lebih. Rakyat perlu faham yang setakat ini jumlah kakitangan dan pegawai SPRM amatlah kecil sedangkan perasuah dan pengkorup sangat ramai.

Negara kita memerlukan kestabilan dan kebersihan untuk terus maju dan kembali ke takuk sebelumnya, bahkan mungkin memancut ke klimaks mengatasi negara-negara maju. Untuk itu berlaku kita sangat memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berani, tidak berpihak, dan komited menangani wabak rasuah-korupsi.

Jika lima langkah di atas dapat dilunasi, saya memang yakin bukan sahaja SPRM best malah negara ini juga akan kembali menjadi negara terbaik di mata dunia Islam, rantau Asia Tenggara, dan mendunia.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.