Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Suara dari bawah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Pertama kali saya mendeklamasikan puisi di pentas parti politik ialah pada 2003 di Nikko Hotel, Kuala Lumpur. Ia diadakan sempena makan malam meraikan 50 tahun Dewan Pemuda PAS.

Kini nama hotel itu sudah tiada. Saya pun sudah meninggalkan parti itu.

Sebelum itu, program politik PAS lebih bersifat ceramah atau himpunan, demonstrasi atau - jika untuk program kerohanian - qiamulail, liqa’, bacaan ma'thsurat dan sebagainya.

Beberapa lama kemudian, kami dalam Pemuda PAS menyelitkan ceramah politik dengan acara persembahan nyanyian termasuk ‘live band’.

Selain itu kerap juga saya mendeklamasikan sajak semasa muktamar PAS. Sajak-sajak saya telah dikumpulkan dalam antologi bertajuk ‘Himpunan Sajak-Sajak Terlarang’ yang diterbitkan pada 2014.

Antaranya sajak yang pernah dideklamasikan ialah ‘Salam Syair Perjuangan’, ‘Kaum Yang Terbunuh’, dan ‘Memali Yang Memanggil’.

Pernah saya mendeklamasikan sajak ‘Jangan Ucap Selamat Tinggal’ di Muktamar Pemuda PAS Markaz Tarbiyah Taman Melewar. Tok Guru Nik Abdul Aziz menjadi tetamu utama majlis tersebut.

Melalui rakaman video yang saya tonton kemudian, nampak dia memberikan fokus pada deklamasi saya. Tok Guru kelihatan menongkat dagunya sambil memerhatikan dengan serius.

Sewaktu sesi rehat, Tok Guru memaklumkan kepada saya bahawa dia tidak selesa dengan bunyi muzik latar kerana mengganggu fokusnya pada bait-bait sajak tersebut.

Pandangan Tok Guru itu membuatkan saya lebih berhati-hati mendeklamasikan sajak jika ada muzik latar. Biasanya saya memilih muzik Kitaro atau muzik tema filem Godfather.

Tiada wang ringgit

Dua puluh tahun kemudian saya mendeklamasi lagi. Kali ini saya pilih irama instrumental dari lagu ‘Doaku’ dendangan Haddad Alwi.

Awalnya dalam mesyuarat pimpinan Amanah Nasional, saya mencadangkan agar konvensyen memberi ruang untuk persembahan nyanyian artis tanah air. Sebaliknya mesyuarat meminta saya mendeklamasikan sajak untuk menyuntik semangat kepada para perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Puas saya mencari idea menulis sajak untuk dideklamasikan dalam temu rapat khas Amanah yang berlangsung di IDCC Shah Alam itu. Malangnya ilham tidak turun semudah hujan pada musim tengkujuh.

Akhirnya saya membelek-belek komputer riba mencari koleksi tulisan sendiri. Ada yang ditulis lebih 10 tahun dulu, ada yang baru dua atau tiga tahun lalu dan ada yang baru simpan beberapa bulan lalu.

Saya akhirnya memilih sajak yang tercipta beberapa hari menjelang PRU ke-15 tahun lalu.

Ada sebuah karangan yang saya tulis ketika itu. Tulisan itu menjadi latar kepada pengkaryaan sajak tersebut. Ia ditulis pada suatu tengah malam selepas saya pulang daripada berkempen di Pasir Salak.

Malam itu saya bertemu dengan petugas dan penyokong yang bersemangat di pondok mereka berhimpun.

Tiada wang ringgit yang mampu kami berikan kepada mereka untuk kerja-kerja pilihan raya. Bahkan mereka terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk membiayai sebarang perbelanjaan.

Sambil menghirup kopi panas dan berbual-bual, mereka memberi cadangan kepada pimpinan parti untuk menang PRU. Tidak kurang juga ada menyuarakan kekesalan, marah dan sesekali menyalahkan si polan dan si polan.

Saya hanya menjadi pendengar setia untuk meraikan pandangan akar umbi.

Sebahagian daripada kata-kata dan semangat mereka itu saya cerakinkan dengan perjalanan politik peribadi untuk dijadikan bahan dalam pembikinan sajak.

Meski sajak itu ringkas tetapi bukan sehari dua dapat disiapkan. Hatta setelah siap, banyak kali dipinda.

Pindaan terakhir dibuat menjelang konvensyen khas Amanah. Ungkapan asal "Malaysia yang kucintai" ditukar kepada "Malaysia yang rahmah". Sepatutnya saya kekalkan sahaja ungkapan asal.

Ungkapan asal lebih sejati, kuat dan tepat berbanding ungkapan baru yang seakan membodek. Itu satu kesesalan yang amat.

Fitrah manusia

Puisi itu bertajuk Sumpahku. Memang ringkas. Ia mengandung 33 patah perkataan, lima perenggan dan 13 baris. Jika ditulis di atas kertas, tidak sampai sejengkal jari. Tapi bagi saya ia mempunyai makna yang mendalam.

Puisi - termasuk sajak - adalah cerminan peribadi dan suasana semasa. Sememangnya saya akan menulis sewaktu perasaan yang sangat menekan hingga mencetuskan ilham.

Ketika sedih atau suka, saya menulis. Saat marah atau gembira, saya menulis. Tatkala kecewa, pasrah atau yakin, saya menulis.

Biasanya itulah yang saya lakukan, sama ada membuat catatan dalam media sosial, komputer atau buku. Kerana tiada harta untuk saya tinggalkan buat pewaris zaman, justeru hanya kata-kata yang barangkali boleh dijadikan azimat dan kenangan akan sebuah kewujudan.

Kekecewaan itu adalah fitrah manusia biasa yang hidup, bergerak dan melangkah ke hadapan. Apatah lagi dalam politik. Politik adalah dunia liar yang penuh campuran dosa-pahala, kawan-musuh.

Dosa dalam politik yang sukar dimaafkan pula adalah dikhianati.

Namun rasa kecewa adalah tenaga yang boleh membuat seseorang kembali muda.

Saya turun dari pentas apabila nama dipanggil oleh pengerusi majlis. Saya menuju ke bawah dan berdiri selantai dengan para perwakilan. Ada mesej yang ingin saya sampaikan apabila memilih mendeklamasi dari bawah.

Bersuara di atas pentas ibarat bercakap dari kayangan. Biasanya hanya retorik.

Sebelum mendeklamasi, saya sebutkan bahawa sajak itu bukannya satu persembahan sebaliknya suatu pendirian. Dari hujung telinga, kedengaran suara Salahudin Ayub dari atas pentas mengiakan sambil mengarahkah muzik latar dimainkan.

Mendeklamasikan sajak memerlukan suasana tenang dan ruang saling berinteraksi dengan pendengar, selain medan luahan rasa. Namun yang paling penting ialah kebersamaan menghayati.

Puisi yang baik tidak boleh bersifat terlalu peribadi, abstrak, kabur dan terpisah daripada denyut masyarakat.

Seusai mendeklamasi, Dr Dzulkefly Ahmad menghantar video yang dirakamnya dari atas pentas bersama pesanan: "Mabruk!!! Amat Syahdu!"

Inilah puisinya:

Sumpahku
Terbaring, jatuh, perit,
sakit, luka nan dalam
pada ibu pertiwi
tanah watan ini.

Engkau perjuangan
pegangan selagi bernafas.

Terus jalan
jiwa besar
tulus, ikhlas.

Membawaku padamu

Malaysia yang
rahmah (kucintai).

Sesekali tidak kan berhenti.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.