Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Surat-surat Mustapha kepada Boestamam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Tidak begitu ramai yang mengenali susuk tokoh besar bernama Mustapha Hussain berbanding Ahmad Boestamam. Selepas pengunduran Onn Jaafar dari Umno pada 1951 Mustapha adalah calon mengisi kekosongan tersebut.

Dalam keadaan itu Mustapha pun bersaing dengan Tunku Abdul Rahman Putra.

Ditakdirkan Mustapha kalah satu undi. Kemudian para perwakilan mencadangkan namanya untuk jawatan timbalan bagi berhadapan dengan Abdul Razak Hussein.

Selepas kedua-dua calon mendapat undi yang sama, undi Noah Omar sebagai pengerusi tetap Umno menjadi undi penentu. Noah kemudian memilih Abdul Razak.

Barangkali kerana selisih satu undi itulah menyebabkan Mustapha tenggelam dalam pensejarahan politik Umno dan tanah air. Mungkin kerana masalah sejarah itu selalu dimaknakan dengan ungkapan history is written by victors atau mungkin juga kerana kita hanya sering memberi fokus kepada tokoh besar yang berjawatan dan di hadapan.

Kita sering mengabaikan tokoh-tokoh pinggiran dan kecil walaupun sebenarnya mereka tetap signifikan dalam pembentukan jiwa dan rupa negara.

Mustapha itu pernah bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Dr Burhanuddin al-Helmy semasa zaman sebelum perang.

Berpecah ditekan British

Sebelum menyertai Umno, Mustapha adalah pemimpin nombor dua dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sewaktu ia dipimpin Ibrahim Yaakob. Jiwa dan pemikiran kirinya dibawa ke dalam organ Umno yang bersifat kanan, konservatif dan pro-British.

KMM ialah parti Melayu pertama dan membawa gagasan kemerdekaan negara pada 1938. Penubuhan KMM dicetuskan oleh para pemuda Melayu lepasan pelajar Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim dan Sekolah Pertanian Serdang, Selangor.

Mereka dipimpin oleh Ibrahim dan Mustapa, masing-masing lepasan SITC dan Sekolah Pertanian Serdang.

Kemudian KMM diharamkan oleh British sebelum kedatangan Jepun. Melalui Ibrahim, KMM memainkan peranan penting sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dalam tempoh itulah politik tanah air mengalami perubahan besar. Keadaan politik dalamannya juga sangat kontradik dan rencam. Kawan jadi lawan, di dalam selimut ada musuh.

Selepas pengunduran Jepun dan kemunculan British Military Administration (BMA), undang-undang darurat diisytiharkan.

Tekanan British memaksa para pemimpin politik kiri berpecah mencari haluan masing-masing untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan. Sebahagian daripadanya memilih jalan keras - atau bersenjata - seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Mat Indera melalui Parti Komunis Malaya.

Mustapha Hussain

Sebahagian yang lain mengambil jalan politik demokrasi seperti dilakukan PAS, Parti Negara, Parti Rakyat dan sebagainya. Mereka menganjurkan hartal, pidato, rapat umum dan menyertai pilihan raya bagi mendapatkan sokongan.

Ada juga yang terpaksa merengkuk dalam tahahan tanpa bicara, dihukum dan ditekan dengan pelbagai cabaran. Mustapha sendiri ditahan oleh British di penjara Batu Gajah dari 1945 hingga 1946.

Surat-surat Mustapha kepada Boestamam disimpan di Arkib Negara Malaysia Cawangan Perak. Ia merupakan koleksi peribadi yang diserah oleh keluarga Mustapha untuk tatapan dan kajian generasi kemudian.

Koleksi surat peribadi Mustapha adalah sebahagian daripada bahan penting dalam kajian sejarah gerakan nasionalisme tanah air.

Terdapat lebih 10 kategori dalam koleksi mengandungi lebih 1,500 bahan tersebut, termasuklah keratan akhbar, surat, dokumen, skrip, transkrip, majalah, dan novel. Himpunan surat-suratnya yang berjumlah hampir 1,000 itu merupakan komunikasi Mustapha dengan rakan-rakan yang pernah mewarnai liku-liku perjuangan awal kemerdekaan tanah air.

Saya belum memeriksa semuanya.

Bekerjasama dengan Jepun

Dalam surat Mustapha kepada Boestamam, dia membahasakan tokoh tersebut dengan sebutan ‘Saudara Boes’. Sebaliknya, Boestamam membahasa dirinya dengan ganti nama adinda dan kekanda pula untuk Mustapha.

Mereka menulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Antara kandungan surat itu ialah mengenai perjuangan mereka menuntut kemerdekaan dan menentang penjajah. Ketika itu, Mustapha mahu menulis memoirnya selepas memberi ceramah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ironinya, dia menulis memoir sejak 1976 tetapi hanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1999 iaitu lebih sedekad selepas dia meninggal dunia.

Buku tersebut diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada 2004 oleh anaknya, Insun Sony Mustapha, dan disunting oleh Jomo K Sundram bertajuk Malay Nationalism Before Umno: The Memoirs of Mustapha Hussain.

Di dalam surat-menyurat itu ada beberapa pertanyaan Mustapha yang tidak dapat dijawab kerana Boestamam sendiri tidak pasti atau lupa.

Ahmad Boestamam

Dalam menyiapkan memoirnya, Mustapha mendapatkan maklumat terus daripada pihak yang berkenaan melalui surat. Dia juga mendapatkan kenyataan bertulis tentang sejarah konflik KMM daripada Ibrahim yang tinggal di Indonesia.

Mustapha juga menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Ibrahim - yang dianggap mengkhianati perjuangan KMM - kerana mengadakan kerjasama dengan Jepun tanpa pengetahuan pimpinan parti, dan kemudian melarikan diri ke Indonesia bersama sejumlah wang dan emas.

Mustapha menulis dengan nada sinis "[…] membongkar kesah Ibrahim Yaakub yang telah menggelarkan dirinya Pemimpin National Terutama. Aduh !!"

Ada surat lain lagi

Mustapha menjadikan karya Boestamam seperti Merintis Jalan ke Puncak sebagai panduan dia menulis. Baginya buku tersebut sangat baik dan mempunyai kualiti tinggi.

Boestamam sememangnya seorang penulis, tokoh politik yang kental dan seorang sasterawan sekali gus. Tidak salahlah Mustapha terinspirasi dengan cara Boestamam menulis.

Seperti Boestamam, Mustapha menganggap menulis memoir adalah menulis sejarah nasionalisme Melayu dari kaca mata orang yang terlibat sendiri dalam perjuangan.

Pada waktu itu, Boestamam menyatakan kepada Mustapha bahawa dia sedang menulis buku yang berjudul Tujuh Tahun Malam Memanjang bagi merakam suka duka dirinya dalam tahanan penjajah.

Semua salinan surat Mustapha kepada Boestaman yang ada pada saya adalah bertaip dan bertarikh antara Nov 1975 hingga Dis 1978.

Ketika itu Mustapha tinggal di Jalan Menteri, Taiping, manakala Boestamam di Greenwood Park, Batu Caves.

Mungkin ada lagi surat-surat lain yang belum saya temui. Tambahan pula terdapat simpanan hampir 1,000 pucuk surat Mustapha di Arkib Perak.

Tanpa biaya, masa, tenaga adalah sukar untuk melengkapkan kerja nasional ini dengan hanya berbekalkan semangat dan minat saja.

Mungkin ada pihak yang berminat untuk menyelidik sejarah yang terpendam, terpinggir dan tenggelam?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.