Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tauliah dan progresif dakwah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya percaya, ramai tidak suka dengan budaya ustaz berceramah politik dalam masjid dan surau, malah atas mimbar Jumaat.

Sebelum penubuhan Amanah, Ahmad Awang menawarkan diri untuk melawan Abdul Hadi awang untuk jawatan presiden PAS. Semasa sibuk dengan kempen pemilihan parti, ada seorang ustaz berkhutbah Jumaat di salah sebuah masjid di Selangor, yang secara terang-terangan berkempen untuk Abdul Hadi dengan memburuk-burukkan Ahmad Awang.

Pada masa itu, tidak ada sebarang tindakan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Mungkin kerana tidak ada sebarang laporan. Apatah lagi, masjid tersebut terkenal dengan ceramah dan kuliah ustaz PAS, sehingga ustaz yang tidak sealiran dengan mereka tidak ada dalam senarai penceramah di masjid tersebut.

Pada masa itu, isu tauliah tidak kedengaran sangat. Namun, ada sebilangan ustaz yang menjadi mangsa, dihalang memberi kuliah dengan alasan tauliah. Ini berlaku walaupun ustaz-ustaz tersebut; kalau kita mendengar ceramah dan kuliah mereka, kandungannya lebih bernas dan berilmu, serta tidak kedengaran langsung bicara soal politik kepartian.

Namun, selepas hampir 10 tahun, isu tauliah mula kedengaran. Para ustaz yang suka bercakap politik kepartian serta caci maki mula dihalang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah. Ia sudah menjadi isu nasional sehingga dibicarakan di media awam. 

Kebebasan berdakwah

Orang sering berkata Malaysia mengamalkan prinsip Islam bebas disebarkan, sedangkan agama selain Islam tidak dibenar disebarkan kepada Muslim.

Namun, jika dilihat dari konteks rumah ibadat di Malaysia pula, konsep tauliah itu sendiri sudah menggambarkan sebaliknya; iaitu agama Islam juga tidak bebas disampaikan di masjid dan surau. Ia dibenar untuk disebarkan apabila mendapat keizinan dari pihak berkuasa terlebih dahulu. 

Hal ini berbeza dengan penganut agama lain. Para paderi bebas menyampaikan ajaran kristian dalam gereja tanpa mendapat keizinan dari pihak berkuasa. 

Tauliah

Konsep tauliah mengajar agama itu ada pro dan kontra. Kalau tauliah berorientasi kemampuan ilmu, sudah pasti mufti Perlis sudah diberikan tauliah khas untuk menyampaikan kuliah agama di Selangor pada tahun 2009 yang lalu. Namun yang berlaku adalah beliau pernah dihadapkan ke mahkamah syariah atas kesalahan tauliah. Bagaimana seseorang yang sudah diiktiraf keilmuannya oleh pihak istana Perlis boleh dianggap tidak layak diberikan tauliah khas?

Pro-kontra

Tauliah mengajar agama menjadi wacana awam. Apatah lagi, baru-baru ini teks khutbah Jais secara jelas membicarakan berkenaan tauliah.

Saya kadangkala terfikir: apa perlunya tauliah untuk berdakwah? 

Kalau mahu melawan ajaran sesat, negara ini sudah ada undang-undang untuk mengatasi ajaran sesat, seperti Seksyen 3 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berkenaan pemujaan salah; dan akta doktrin palsu iaitu seksyen 4; dan akta dalam mengatasi dari dikembangkan doktrin agama iaitu seksyen 5; dan dakwaan palsu iaitu seksyen 6; pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu sesyen 12.

Justeru, konsep tauliah ini perlu diberikan penjelasan tuntas terhadap fungsinya. Jika tidak, sudah pasti tauliah akan dianggap sebagai mekanisme menghalang kebebasan berdakwah sedangkan dakwah adalah tuntutan agama. 

Saya berpendapat, kalau mahu mengekang pendakwah daripada bercakap politik atau caci maki, atau bercakap di masjid dan surau atas kepentingan peribadi mereka, pendekatan tauliah perlu dilihat dari sudut yang lebih progresif, bukan sebagai penghalang dakwah. 

Jika pendekatan sekarang, seseorang ustaz tidak dibenarkan menyampaikan kuliah kecuali ada tauliah terlebih dahulu, saya mencadangkan agar pendekatan yang sebaliknya; iaitu semua ustaz dibenarkan menyampaikan ceramah agama kecuali dia melakukan perkara larangan yang ditetapkan oleh majlis agama Islam. ketika itu, majlis agama Islam boleh keluarkan pekeliling menghalang ustaz yang sudah melakukan kesalahan tersebut dari menyampaikan ceramah atau kuliah.

Saya kira, tugasan berdakwah bukan seperti makanan. Kalau makanan, perlu kepada cop halal, maka tidak munasabah kerja dakwah juga perlu kepada cop halal. Justeru, pendakwah yang ada kemampuan menyeru manusia kepada agama, bakal dianggap sama seperti hukum khinzir hanya kerana dia tidak mempunyai tauliah. 

Sepatutnya, tugasan agama perlu dipermudahkan, bukan dipersusah. Kalau dipersusah tugas agama, dibimbangi agama semakin ditinggalkan sedikit demi sedikit.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.