KOLUM | Bila kerajaan reformasi anti-demonstrasi
Demo lah ni tok supo mulo,
tak berani kawe nok tego.
Selain “Hoi-hoi-ya-hoi, siapa sokong penyamun” nyanyian dan rekaan Altimet, mungkin Dikir Rambong dari kumpulan Kapilla menggambarkan ciri rejim yang memerintah kita tatkala ini.
Bukan sedikit yang dijanjikan oleh kerajaan reformasi pimpinan Pakatan Harapan (PH) ini. Dan ini bukan kali pertama kerajaan PH terbentuk.
Malahan dari sudut semangat pilihan raya ini adalah kali kedua secara berturut-turut melalui pilihan raya umum (bukan lompat parti) PH memenangi suara majoriti. Pertama pada 2018. Dan kali kedua ialah pilihan raya umum 2022.
Mereka yang kritikal mencari-cari apa reformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan reformasi ini. Jika dulunya, jika orang tidak percaya kepada PH, penyokong PH boleh berhujah bahawa yang memerintah ialah Mahathir Mohamad, seorang yang dari raut mukanya sahaja pun sudah boleh nampak autoritarian.
Mahathir batuk pun sudah keluar kuku dan besi. Belum lagi dikirakan dari sudut tindakan-tindakan politik semasa beliau berkuasa penuh melalui Umno-BN selama 22 tahun. Jadi Mahathir menjadi benteng atau sandaran pada kegagalan reformasi PH ketika 22 bulan memerintah.
Pada masa itu Anwar Ibrahim belum lagi menjadi perdana menteri. Beliau hanya selalu hadir ke pejabat perdana menteri sahaja waktu itu, yang kita pun tidak tahu apa yang Anwar bualkan ketika kerap kali keluar masuk ke sana.
Selain tindakan membawa masuk Zahid Hamidi ke kabinet yang menyebabkan orang ramai jadi canggung, tidaklah banyak yang boleh dikatakan berubah, dari rejim lama ke rejim baru. Ketika Adam Adli sudah menjadi timbalan menteri, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih ada.
Pendidikan juga masih belum percuma. Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih begitu berkuasa. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) belum dihapuskan.
Begitu juga berbagai-bagai lagi akta draconian yang masih dikekalkan, ketika Anwar dan menteri-menteri barunya (termasuk yang kalah dalam pilihan raya) sibuk membuang tali leher.
Selain itu benda baru atau asli dari otak atau fikiran menteri. Yang nampak hanyalah mengulang-ngulang atau mengitar semula idea Najib Razak dengan nama dan jenama baru.
Misalnya yang masih lagi dipraktikkan melewati empat rejim ialah BRIM (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) yang sehingga ke hari ini diteruskan, dengan bermacam-macam nama, walaupun bendanya sama.
Ini adalah projek asli dari zaman Najib. Juga Menu Rahmah yang juga diciplak dari era Najib. Pendek kata pepatah moden, lembu punya susu babi dapat nama.
Naik melalui demo tapi kini takut demo
Terbaru kita dikejutkan dengan kandungan surat edaran ketua pengarah perkhidmatan awam yang dikeluarkan semula oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) di Facebook.
Pekeliling yang sangat ketara ciri draconian dan tidak mempedulikan kebajikan pekerja, bertarikh 30 Jun 2011, masih diteruskan dan dipakai oleh kerajaan bernama madani ini.
Surat edaran itu dikeluarkan ketika ada khabar mengatakan doktor-doktor kontrak hendak mengadakan mogok selama tiga hari. Dan ini bukanlah kali pertama doktor-doktor kontrak mengadakan protes menuntut hak mereka.
Sebelum kerajaan madani pun, doktor-doktor ini telah mengadakan protes. Ini adalah lanjutan dari aksi mereka yang sebelum ini.
Dr Zaliha Mustafa, menteri kesihatan hari ini, bahkan Nurul Izzah Anwar sendiri sebelum parti mereka menjadi kerajaan turut memperlihatkan sokongan, dukungan dan simpati terhadap doktor-doktor kontrak ini. Tetapi bila mereka menjadi kerajaan, sikap mereka secara automatik bertukar.
Jika diteliti pada surat edaran tersebut, ia dengan jelas menyebutkan larangan penglibatan pegawai awam dalam perhimpunan haram.
Jika ini dibaca berkali-kali pun, sama ada sebelum berbuka puasa atau selepas berbuka puasa, jelas menunjukkan perkataan yang digunakan ialah perhimpunan haram. Ini ialah kontradiksi yang sangat ironi bagi sebuah kerajaan madani, yang sebelum ini sangat bergiat aktif dalam kegiatan demonstrasi.
Demonstrasi seperti sukan bulanan bagi penggiat atau aktivis parti. Tetapi apabila menjadi kerajaan, nama demonstrasi yang mereka selalu gunakan sudah kembali ke nama perhimpunan haram.
Sedangkan Najib yang dibenci ramai orang yang kononnya berintegriti, pun pada eranya menukar nama demonstrasi ke nama perhimpunan aman bawah Akta Perhimpunan Aman. Sama ada kita membaca sebelum berbuka puasa atau selepas berbuka puasa, bunyi perhimpunan aman dan perhimpunan haram, masih terlalu jauh bezanya.
Najib yang masih lagi dibenci ramai orang itu terutamanya mereka yang tidak naik MRT dan tren-tren baru, pada zamannya pernah memberikan keizinan untuk demonstran berhimpun di Stadium Merdeka dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat. Mohamad Sabu, pasti tidak boleh menafikan hal ini.
Gas-gas pemedih mata pada era Najib kebanyakannya telah pencen, tidak seperti era Mahathir.
Dalam surat edaran tersebut juga menyatakan bahawa penglibatan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4(1) dan 4(2), PU(A) 395/1993.
Persoalannya, apa reformasi yang dilaung-laungkan, dan diacung-acungkan ke langit selama 24 tahun? Adakah reformasi itu hanyalah teriakan untuk menaikkan Anwar bin Ibrahim menjadi perdana menteri? Dan hal-hal lain tidak perlu pun dipedulikan?
Dalam surat edaran itu juga, turut diletakkan tanda X (pangkah) pada penglibatan aktif di luar masa bekerja. Adakah di luar masa bekerja pun seseorang itu masih harus tertakluk pada majikannya dan tidak ada kebebasan untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti politik, ideologi dan perhimpunan yang tidak berunsurkan jenayah?
Tetapi harus diingat, demonstrasi, atau mogok, atau hartal, niatnya sememangnya bukan untuk berpesta, menjual cendol, menjual vuvuzela, atau kemeja-T, tetapi untuk melumpuhkan. Dalam bahasa Indonesia disebutkan sebagai ‘unjuk rasa’. Dalam bahasa kita ialah tunjuk perasaan.
Maka sememangnya jika dilakukan selepas habis waktu kerja, maka nak tunjuk perasaan pada siapa? Adakah nak tunjuk perasaan pada isteri, anak-anak atau ibu bapa? Inilah masalah jahiliyahnya apabila penggiat parti hanya menjadi walaun (dalam kes ini, ‘walanon’) kepada parti dan ketua tanpa mempedulikan fikiran dan perasaan orang lain.
Mereka tidak memikirkan bahawa doktor-doktor kontrak (malahan pekerja-pekerja kontrak lain, antaranya yang bernaung di bawah Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang harus diserap menjadi doktor dan pekerja tetap.
Jika berjaya dilakukan, maka ini akan menjadi perubahan atau reformasi lebih besar berbanding sekadar menjadikan Anwar bin Ibrahim sebagai perdana menteri.
Kerana kerajaan atau sesebuah negara lebih perlukan doktor-doktor tetap dalam skala yang banyak berbanding sekadar mempunyai perdana menteri yang suka bercakap dan bercakap.
Jadi bukan sahaja aktif dalam waktu bekerja tidak dibenarkan, malahan aktif di luar masa bekerja pun juga tidak dibenarkan. Bawah dari surat edaran itu juga disebutkan, sekiranya cukup bukti menunjukkan pegawai terlibat dalam kegiatan tersebut, maka pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras peraturan-peraturan pegawai awam.
Di sini sahaja menunjukkan Anwar nampak manis menanam jargon di bibir, tetapi dari sudut tindakan dan perhatiannya masih jauh panggang dari api.
Mahathir, nemesis Anwar nombor satu pernah mengatakan: “Mereka yang naik melalui demonstrasi, akan dijatuhkan juga dengan demonstrasi”.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai