Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sibuk raya, nak tukar kerajaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | "Di Mesir, setelah habis sembahyang raya, orang Arab akan pergi main bola," kata ustaz di TV. Ia mengingatkan kami kepada pengalaman berhari raya dengan masyarakat Arab di bumi Inggeris suatu ketika dulu.

Setelah selesai sembahyang sunat, kami semua akan bergerak ke dewan dan di sana, selain sedikit makanan, juga akan ada seorang ahli silap mata dan pembantunya.

Sambil menjamu selera, kami akan dihiburkan dengan pertunjukan silap mata dan setelah itu tamatlah sambutan hari raya kami untuk tahun itu.

Kami akan sentiasa tergelak apabila teringat betapa kami menonton silap mata pada pagi raya.

Jika masyarakat Arab menyewa dewan untuk sembahyang dan jamuan, masyarakat dari benua Hindi pula lebih gemar menggunakan padang bola atau mana-mana kawasan lapang sebagai tapak mengerjakan sembahyang hari raya.

Bergantung kepada musim, jika cuaca sejuk maka sebuah khemah besar akan didirikan untuk menampung para jemaah, manakala jika waktu itu adalah musim panas maka sembahyang akan diadakan di kawasan terbuka.

Daripada dua keadaan itu, kami lebih gemar bersembahyang di kawasan terbuka berbanding di dalam dewan. Mungkin kerana ia lebih meriah.

Harus diingat bahawa jumlah masyarakat Arab yang ada di situ adalah lebih kecil berbanding masyarakat dari benua Hindi. Kerana itu sambutan hari raya masyarakat yang ramai tentu saja kelihatan lebih meriah berbanding komuniti yang lebih kecil.

Sibuk rancang juadah

Tambahan pula orang Arab itu majlisnya bersifat lebih formal.

Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain, semasa hari raya mereka lebih gemar berkumpul dalam kumpulan kecil dari negara masing-masing. Yang 'tidak tahu malu' adalah kita orang Melayu.

Dalam semua sambutan hari raya di luar negara, pasti akan ada satu dua muka Melayu yang menempel dalam acara orang lain. Kita memang dilahirkan sebagai 'bangsa pengaman' yang boleh diterima oleh semua orang.

Kehadiran kita tidak pernah memberi ancaman kepada sesiapa. Di mana pun tempatnya jika di luar negara, belum pernah kita dengar orang takut dengan kehadiran bangsa Melayu atau - kalau kita suka - bangsa Malaya.

Sila tepuk bahu sendiri atas baiknya kita semua di mata orang luar.

Apa yang membezakan Melayu ini dengan orang lain ialah cara bagaimana kita menyambut hari raya. Orang luar selesai bergembira menyambut hari kemenangan dalam masa 24 jam setelah anak bulan dilihat, manakala kita pula menjadikan hari tersebut sebagai hari permulaan suatu sambutan yang akan berterusan selama sebulan.

Kita berhabisan membeli beberapa pasang pakaian untuk digayakan selama bulan pesta tersebut. Kita juga sibuk merangka juadah yang akan kita sediakan apabila nanti tiba giliran untuk menjadi host rumah terbuka hari raya.

'Tradisi' bergilir rumah terbuka sepanjang Syawal ini tidak dapat dipastikan bila bermulanya. Sepanjang yang kami ingat, semasa masih kanak-kanak, hari raya disambut maksimum tiga hari saja.

Setelah itu hidup kembali normal.

Mungkin kita mula benar-benar beraya setelah ekonomi rakyat negara ini bertambah maju.

Baik tidaknya budaya berhari raya sehingga sebulan itu tergantung kepada siapa yang kamu tanya. Yang menyokong ada walaunnya, manakala yang membangkang juga ada walanonnya.

Tugas kita pula adalah jika dijemput, kita pergi. Jika tidak, kita duduk saja diam-diam di rumah sambil makan serdak kuih tat nanas air tangan adik kita yang paling bongsu itu.

Sebut fasal kerajaan, semasa mula memerintah, rasanya antara penjimatan yang dicadangkan ialah tiadanya acara rumah terbuka negara.

Namun baru-baru ini diumumkan bahawa tiga buah negeri akan terlibat dengan sambutan hari raya perdana anjuran kerajaan.

Mungkin itu kerana kerajaan merasakan masih perlu sebenarnya diadakan acara sebegitu sebagai alat perpaduan, atau mungkin juga ia merupakan strategi untuk memenangi pilihan raya negeri yang akan diadakan sedikit hari lagi.

Terima ketentuan tuhan

Kami selalu percaya bahawa salah satu jalan untuk menyatukan kita semua adalah melalui jalan bahasa, yakni semua orang menggunakan satu bahasa.

Dan dalam hal ini mungkin sedikit pujian harus diberikan kepada kerajaan. Bukan maksud kami dengan gaya bahasa PMX yang selalunya kelihatan amat dibuat-buat itu, sebaliknya bagaimana menteri dan wakil rakyat kita kini kelihatan sangat santai dalam berbahasa Melayu.

Malah di media sosial juga dapat kita lihat bagaimana para pempengaruh dari kalangan bangsa Cina dan India misalnya seronok menggunakan bahasa Melayu.

Ditambah pula dengan cerita perpaduan Mira dan View Chin yang hangat itu, kita menjadi 'kembang' tidak tentu fasal kerana betapa kini bahasa Melayu menjadi bahasa utama untuk mereka yang mahu mencari pengaruh - dan juga yang mahu meledakkan skandal.

Dalam semangat pesta raya sebulan ini, kami ingin mengucapkan selamat hari raya, memohon maaf  dan batin kepada semua.

Semoga kita semua mudah menerima ketentuan tuhan dan tidak sibuk sangat mahu segera menukar kerajaan. Kita bimbang bahawa kita inilah sebenarnya bala tentera Ahzab yang diceritakan itu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.