Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sembang tentang seni

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

"Good luck," kata seorang sahabat mengenai hasrat kami untuk menerbitkan sebuah majalah yang menumpukan kepada kegiatan seni di negara kita.

Tumpuan utama majalah itu ialah seni visual tetapi pada masa sama tetap tidak meninggalkan ke sisi apa-apa bentuk kesenian yang lain.

Dia berkata demikian dalam nada bercampur yang membayangkan antara situasi "semoga berjaya" dan juga "engkau buat kerja gila".

Buku atau majalah kini bukan lagi sesuatu yang bagus untuk diterbitkan jika kita memikirkan tentang pulangan hasil daripada pelaburan menerbitkannya. Ia memang "kerja gila" kerana hanya dilakukan oleh orang yang mempunyai kasih sayang.

Dan kami masuk ke kumpulan orang yang mempunyai rasa kasih sayang yang banyak terhadap apa-apa saja bentuk penulisan di bahan bercetak.

Bukan kerana kami pandai, tetapi kerana kami memang bodoh begitu.

Semasa menulis artikel ini, kami baru mendapat berita mengenai pemergian pelukis terkenal, Fatimah Chik. Takziah kami ucapkan kepada keluarga beliau.

Yang sedikit mengharukan adalah bilamana amat kurang penulisan mengenai Fatimah, baik dalam dunia akademik mahupun berita santai akan hal penglibatan serta sumbangannya kepada dunia seni visual tempatan.

Walhal Fatimah itu merupakan seorang pelukis batik yang membawa seni kraf tersebut ke dalam dunia seni halus dengan amat bergaya.

Tak salahkan sesiapa

Karya-karya beliau yang kelihatan 'kasar' membezakannya dengan kraf batik yang selalu bergelut mahu diiktiraf sebagai seni halus.

Atas kesedaran begini - yakni betapa kita amat kurang menerbitkan, membincangkan serta berusaha untuk memertabatkan seni tempatan khususnya kepada orang kita sendiri dan kemudiannya kepada orang luar - maka kami bersama Tuk Kura, Raduan Norudin dan Ahmad Shukeri berpakat untuk menerbitkan majalah Kolompo Art.

Hasil dorongan daripada pengarca terkenal, Rosli Zakaria, kami mula mengumpul bahan sejak beberapa bulan yang lalu.

Halangan terbesar kami adalah untuk mendapatkan artikel yang kritis. Kebanyakan bahan yang dihantar kepada kami sekadar laporan atau berita kegiatan seni.

Kami tidak menyalahkan mereka kerana menulis kritikan seni bukanlah sesuatu yang popular.

Kita belum sampai pada tahap apabila kita suka menerima kritikan, hatta kritikan yang membina.

Yang dimahukan semua orang adalah seribu pujian.

Secara peribadi kami beranggapan hal ini adalah kerana semua mereka yang terlibat memandang sesebuah karya hanya sebagai komoditi. Sesuatu yang dihasilkan hanya untuk diperdagangkan.

Kerana itu semua yang terlibat menjadi amat sensitif bilamana karya mereka diperkatakan di luar dari kawasan lingkaran pujian.

Jika ini yang diharapkan maka bersedialah kita untuk menjadi sebuah negara yang mengeluarkan karya seni cantik tapi tanpa ada jati diri.

China sudah melakukan hal ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Mereka menghasilkan kembali karya-karya popular untuk pasaran seluruh dunia.

Mereka berjaya melakukannya dengan bergaya.

Jika karyawan seni kita hanya berkarya untuk wang maka adalah lebih baik kiranya mereka mengambil jalan yang dilalui oleh artisan di negara tersebut.

Kolompo Art edisi pertama mungkin memerlukan lebih banyak penambahbaikan sebelum ia menjadi sebuah makalah yang dihormati ramai.

Namun kami bersyukur kerana hasil kerja kuat semua yang terlibat ia kini mejadi satu-satunya majalah yang memperjuangkan seni di negara kita.

Kita semua bertanggungjawab terhadap hasil seni negara kita, dan dengan berbiacara lebih terbuka terhadapnya diharapkan kita mampu mengangkat bidang tersebut ke tempat lebih tinggi.

Kita sudah terlalu lama tenggelam dan lemas dalam dunia seni yang syok sendiri.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.