Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tanpa perlu memaksa simpati

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Semua cerita dalam buku ni 100 persen cerita betul," kata Sinaganaga tentang bukunya The Real Stingarden, "err... ada laa tambah sikit-sikit sebab nak bagi pembaca ghairah.”

Siapakah yang tidak ghairah apabila mendapat tahu yang Nenek Munah Leper digelar sedemikian rupa kerana susunya yang pipis.

Jarang sebenarnya untuk kamu membuat ulasan mengenai sebuah buku di kolum ini. Namun buku The Real Stingarden memang sebenarnya sebuah buku yang amat ikhlas dan lucu.

Ia menceritakan pengalaman sebenar Sinaganaga sewaktu dia tinggal di petempatan setinggan di Kuala Lumpur.

Kepada yang tidak tahu, rumah setinggan adalah kediaman yang dibina tanpa kebenaran di tanah-tanah milik kerajaan. Suatu waktu dulu, rumah-rumah setinggan itu adalah permandangan yang biasa di kota raya Kuala Lumpur.

Penduduknya adalah mereka yang datang berhijrah ke situ untuk mencari penghidupan baru. Bersama harapan melangit, mereka tinggal di kampung-kampung 'segera' yang tidak mempunyai keperluan asas seperti elektrik dan paip air.

Secara peribadi kami mengenali dua orang budak setinggan yang teramat bangga dengan asal usul mereka. Pertama ialah penulis buku The Real Stingarden tadi, dan keduan adalah Cikgu Amir Hazlin Lin.

Yang menariknya ialah, kedua-dua sahabat kami itu amat terlibat dalam dunia penulisan. Sinaganaga menjadi pernerbit dan juga penulis buku, sementara Amir menjadi seorang guru subjek Bahasa Melayu yang sangat dihormati.

Sinaganaga juga adalah tokoh yang disebut-sebut apabila kita mahu berbicara mengenai penernitan buku-buku mandiri.  

Entah apa air yang Sinaganaga dan Amir minum di kampung setinggan berkenaan sehingga yang membuatkan mereka jadi begitu.

Membaca buku The Real Stingarden seolah-olah kamu sedang menonton sebuah drama Melayu yang kamu suka. Kamu seperti kenal benar dengan penduduk kampung berkenaan.

Kemeja berpintal di hujung

Nenek Munah Leper ialah si tukang sihir tidak rasmi kampung berkenaan.

Selain bertugas sebagai bidan, dia juga tukang membuat tepung tawar apabila ada sebarang rumah baru hendak dibina.

"Biasalah, pada akhir 1970-an animisme masih bersisa,” Kata Sinaganaga mengenai hal tersebut, manakala Haji Dua Kupang yang pergi ke Mekah berbekalkan duit duit kupang itu pula adalah rakan sesihir Nenek Munah.

Jika Nenek Munah hanya menumpukan kepada hal perbidanan dan kerja-kerja mistik Melayu lama, Haji Dua Kupang pula tidak memilih bulu. Sama ada yang datang kepada dia itu lelaki atau perempuan yang sakit demam, atau kanak-kanak yang giat menangis, semua dijampinya.

Hatta jika orang datang untuk meminta nombor ekor juga akan dilayannya.

Sebelum itu kita diperkenalkan kepada Bibah Smokey Eyes, gadis paling steady di kampung berkenaan kerana memiliki basikal Chopper.

“Apabila petang dia akan ‘pasang badan’ dan pusing-pusing di sekeliling Stingarden dengan basikal Chopper. Dengan pembayang mata warna abu-abu, dengan pemerah pipi warna merah teluki, dengan gincu warna merah pulasan - Bibah Smokey Eyes paling groovy!

“Dengan jeans biru senteng dan kemeja berpintal di hujung, adakalanya Mail dan Aziz Hail Amir boleh nampak pusat Bibah Smokey Eyes yang terjojol itu.”

Kamu akan tersenyum sepanjang membaca buku Sinaganaga dan merasakan yang penulisnya mengambil semua kepayahan yang dialami semasa tinggal di kampung berkenaan sebagai sebuah pengalaman yang indah.

Dia menceritakan segala kesusahan itu dalam nada yang tidak mengeluh.

Lihat bagaimana santainya dia bercerita mengenai hari-hari pertama keluarga mereka di kampung berkenaan:

“Disebabkan dapur pun tak ada, Emak tak boleh masak apa-apa. Dan setelah hujan reda, Abah terpaksa membeli mi hailam di restoran Cina di Taman Kok Doh untuk mengisi perut kami yang berkeroncong. Dia kata mi tu halal. Entah ya, entahkan tak.”

Selain menceritakan penduduknya, Sinaganaga juga menulis tentang sejarah awal beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Melalui buku itu kita dapat lebih memahami letak keadaan Kuala Lumpur pada zaman membangunnya.

Dia menceritakan hal sebenar Kuala Lumpur dan penduduknya tanpa perlu meraih simpati, dan tentu saja tidak memaksa-maksa orang untuk mempercayai kisah yang digambarkannya.

Sinaganaga juga tidak mempunyai sekumpulan pembodek yang sanggup membeli berlambak-lambak tiket wayang untuk diedarkan secara percuma kepada orang ramai supaya menonton filim mengenai penderitaannya sebelum menjadi perdana menteri. Sedangkan filim itu tidak laku kerana tidak sedap.

Eh! Maaf, tersasul.

Jika kamu suka buku, maka buku The Real Stingarden mesti kamu miliki. Dan jika kamu tidak suka buku, buku Sinaganaga itu akan membuatkan kamu jatuh cinta kepada amalan membaca.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.