Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sewaktu Hamka ke Dungun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Kisah Hamka datang melawat Dungun sering diceritakan oleh arwah mak mentua apabila dia mengenang sejarah silamnya dengan kami. Dia bercerita tentang meriah dan ramainya orang datang mendengar ceramah ulama tersohor itu.

Begitu juga tentang aura karismatik Hamka berpidato. Kata-katanya indah membaluti pelbagai nasihat berguna untuk semua.

Sayang benar apabila inti pati ceramah Hamka itu kebanyakannya sudah luput dari ingatan mak mentua. Tiada banyak yang boleh dikongsikannya dengan kami.

Namun ada jalan lain untuk memperingati atau mendapatkan kembali pesanan-pesanan bermakna daripada Hamka. Antaranya adalah menyemak tulisan, buku, foto, surat, dokumen arkib dan sebagainya.

Pertama kali Hamka menjejak kakinya ke Tanah Melayu ialah pada 1943 iaitu sewaktu zaman pendudukan Jepun. Dia datang sempena perjumpaan ulama Tanah Melayu - Sumatera yang dianjurkan oleh pemerintah.

Setelah itu, dia kerap datang ke Tanah Melayu dalam rangka hubungan dakwah dan budaya.

Hamka adalah antara ulama yang pada awalnya menyokong pemerintahan Jepun di Indonesia. Bahkan Hamka pernah berpidato memberi sokongan terbuka terhadap Jepun dalam rapat umum di Indonesia.

Hal itu kerana janji Jepun yang mahu memberikan kemerdekaan kepada Indonesia di bawah slogan Asia untuk Asia.

Ia tidaklah menghairankan kerana di Tanah Melayu pun terdapat ulama dan pemimpin yang memberikan sokongan kepada Jepun. Mereka juga menjawat jabatan penting dalam kerajaan negara matahari terbit itu.

Nama Hamka mulai dikenali di Tanah Melayu melalui karya-karyanya seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijc (1937), Falsafah Hidup (1939), Sejarah Umat Islam (1955) dan sebagainya.

Baru bebas dari penjara

Hamka berkenalan dengan tokoh-tokoh besar Tanah Melayu sama ada orang istana hingga kepada pejuang rakyat biasa. Dia bukan sahaja dianggap sebagai ulama bahkan akhbar Berita Harian (20 Jun 1967) menganggap dia sebagai pujangga.

Hamka pernah menjadi tetamu di Istana Seri Menanti, istana Johor dan bertukar-tukar fikiran dengan Za’ba, Pak Sako, Cikgu Abdul Hadi, Burhanudin al-Helmy, Zulkifli Muhamad dan lain-lain.

Hamka menulis buku Kenangan-kenanganku di Malaya yang diterbitkan pada 1957 bersempena kemerdekaan negara ini. Dalam buku itu diceritakan tentang eratnya hubungan dia dengan Tanah Melayu (Malaya) sama ada secara peribadi atau kerana persamaan rumpun bangsa.

Membaca tulisan Hamka seolah-olah kita sedang mendengar dia berceramah di hadapan mata.

Di dalam buku itu, Hamka menyatakan cita-citanya untuk berkunjung ke Tanah Melayu sejak awal lagi. Ayahnya pernah ke Tanah Melayu pada 1915 dan berkongsi cerita dengannya.

Cerita arwah ibu mentua saya tentang Hamka datang ke Dungun sebenarnya merujuk lawatan ulama itu pada 12 Jun 1967. Itu merupakan lawatan pertama Hamka ke luar negara selepas dibebaskan dari penjara.

Hamka pernah memimpin Masyumi (Majlis Syura Muslimin) dan Muhamadiah yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan Islam. Pandangan dan pegangannya mempunyai implikasi besar terhadap pendekatan dan dasar kerajaan.

Hamka dipenjarakan oleh Sukarno pada 1964 atas dakwaan kononnya mahu menggulingkan presiden pertama Indonesia itu dengan menyokong Malaysia semasa konfrontasi.

Tegur ulama semasa

Sebahagian daripada kitab Tafsir al-Azhar ditulis sewaktu Hamka dipenjara itulah. Tidak pernah Hamka kesalkan dirinya mendekam dalam tahanan.

Bahkan lantaran itu karya hebatnya dapat disiapkan.

Dia dibebaskan dari penjara pada Mei 1966.

Lawatan Hamka ke Malaysia pada 1967 itu berlangsung selama dua minggu dengan diiringi isterinya, Siti Raham.

Selain berceramah, lawatan Hamka itu adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Akhbar Berita Harian melaporkan Hamka ke Singapura selama tiga hari selepas tamat programnya di Malaysia. Di Singapura, Hamka berkhutbah Jumaat di Masjid Sultan dan berceramah di Universiti Kebangsaan Singapura, Sekolah Sang Nila Utama dan Masjid Al Kaff di Kampung Melayu.

Di mana-mana juga, kehadiran Hamka disambut hangat oleh masyarakat yang sedang meraikan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW.

Semasa di Dungun, Hamka berceramah di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah di Kampung Molek. Ia merupakan masjid daerah yang dibina pada 1964.

Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah

Sementara itu, akhbar Berita Harian bertarikh 20 Jun 1967 melaporkan di Kuala Lumpur diadakan perarakan besar-besaran bersempena sambutan Maulidur Rasul. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman juga hadir dan memberi ucapan.

Hamka dan Imam Besar Masjid Negara, Ghazali Abdulah memberikan ceramah.

Berita Harian 21 Jun pula melaporkan seramai 10,000 orang hadir dalam rapat umum sempena majlis yang sama di Johor Bharu.

Dalam ceramahnya di Stadium Merdeka, Hamka menegur golongan ulama yang kurang memberi pandangan yang baik terhadap generasi muda.

Karya-karya Hamka juga banyak menyentuh peranan dan cabaran anak muda.

Justeru tidak hairanlah jika dalam ceramahnya hal yang sama juga diungkapkan oleh Hamka.

Bagi Hamka, ulama bertanggungjawab jika agama Islam menjadi muram. Hal itu kerana ulama ibarat pelita yang menyuluh kegelapan. Kata-kata Hamka itu sebenarnya dipetik dari tulisannya di dalam buku Kenangan-kenanganku di Malaya.

Selepas konfrantasi, semangat nasionalisme etnik tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ia adalah persoalan berkaitan dengan identiti bangsa, bahasa, budaya, perekonomian dan sebagainya.

Parti-parti politik telah menggunakan pendekatan itu untuk meraih sokongan. Mereka juga menggunakan pendekatan rapat umum bagi mempamerkan kekuatan dan pengaruh masing-masing.

Perarakan dan rapat umum bersempena Maulidur Rasul juga digunakan sebagai serampang dua mata: politik dan agama (termasuk kaum).

Tak pakai tudung

Kesan jangka pendek daripada gelombang nasionalisme etnik ialah terjadinya tragedi 13 Mei 1969. Kesan jangka panjang pula dapat dirasakan pada hari ini apabila kita masih lagi terkial-kial membina sebuah negara bangsa.

Dalam kunjungan Hamka ke Dungun, dia melawat ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail. ‘Sekolah Arab’ itu ditubuhkan pada 1958 dan menjadi antara sekolah menengah agama yang awal di Terengganu.

Kedatangan Hamka disambut oleh pegawai daerah Dungun, pengetua dan warga sekolah tersebut.

Yang menariknya, Adun Hulu Dungun, Ustaz Abdul Wahab Yunus, yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Terengganu pada masa itu turut bergambar bersama dengan Hamka serta dif-dif utama.

Walaupun dia dari parti pembangkang, peristiwa tersebut memberi makna yang sangat dalam kepada mereka yang mahu berfikir.

Pada kesempatan itu, Hamka - sambil duduk di atas kerusi - memberikan ucapan kepada warga sekolah tersebut. Hamka sememangnya seorang ulama yang menekankan peri pentingnya pendidikan.

Walaupun ‘sekolah Arab’ itu aliran agama tetapi sebahagian pelajar perempuannya tidak memakai tudung. Tidakkah Hamka menyentuh soal aurat ketika itu?

* Terima kasih atas kerjasama daripada Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Dungun, Cikgu Adnan Ibrahim, Pengetua Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun, Ustaz Sabri Ali dan Alip Moose, si penjual buku langka.


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.