Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kemeriahan beragama di Province Wellesley

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sebenarnya agak mujur juga terjadi dalam sejarah - sudah sebab dan akibatnya demikian - yang Province Wellesley ditadbir British ketika tahun 1832 itu. Kamek tidak dapat membayangkan jika wilayah tersebut bawah takluk Siam. Tentu berbeza jadinya.

Kamek ada membaca catatan atau buku susunan Kapten James Low, dari Madras yang terbit sekitar tahun 1836 dengan judul ‘A Dissertation of the Soil and Agriculture of the British Settlement of Penang or Prince of Wales Island in the Straits of Malacca Including Province Wellesley on the Malayan Peninsula With Brief References to the Settlements of Singapore and Malacca and Accompanied by Incidental Observation on Various Subjects of Local Interest in These Straits’. 

Kamek mendapati Pulau Prince of Wales dan Province Wellesley ketika itu amat meriah dengan kemajmukan agama dan kaum. Ia menjadi satu identiti yang kuat; segulai sejalai. 

Kapten James, seorang pegawai tentera dari Madras, India mendedikasikan kariernya untuk mencatat apa yang terjadi di wilayah-wilayah jajahan British. Beliau berusaha belajar bahasa Melayu, dan Thai. Yang mana sengau dan ritma lenggok bahasa Thai itu pun ikut dikuasainya. 

Oleh bakat dan kekuatan tersebut, Kapten James malah ditugaskan di Indo-China. Salah satu sumbangan besar James Low ialah merakamkan metod pertanian masyarakat Melayu kampung ketika berkhidmat di Tanah Melayu, di mana beliau dikatakan bergaul dengan orang Melayu.

Apa yang kamek maksudkan dengan kemeriahan beragama dan kaum di Province Wellesley? Atau apa yang Kapten James Low catatkan ketika itu?

Kapten James merekodkan pelbagai kepercayaan di Province Wellesley yang antara lain adalah Roman Katolik, Islam, Buddha Siam, dan Hindu. 

Tatkala itu sudah ada kira-kira 759 orang Cina menganut agama Kristian Katolik. Terdapat juga dua buah chapel. Selain agama Kristian, tentu sahaja Kapten James mendokumentasikan penganut agama Islam yang terdiri dalam kalangan orang Melayu. 

Menurutnya, tidak ada orang Melayu menganut agama Kristian; ‘there is hardly an instance of one being converted to Christianity - i mean a conversion that is sincere.’ 

Pun, Kapten James menjelaskan orang Melayu sangat terbuka dan berani membaca Bible apabila disuguhkan, ‘…they accept with pleasure Malayan versions of the Bible [the Dutch translation] read the same in a respectable manner, and are quite alive at the coincidences these exhibit with their own Koran...’. 

Tentu sahaja terjemahan Belanda ke bahasa Melayu itu memuatkan kalimah Allah. Harus dicatatkan ini tidak bermakna Melayu pada waktu itu bodoh dan tidak mengetahui beza Bible dan al-Quran. Kapten James malah menghuraikan yang orang Melayu sedar akan kelainan kepercayaan dan kitab-kitab suci ini tetapi memilih secara sedar untuk mengimani al-Quran, atau dalam erti kata lain agama Islam.

Seperti mana pada hari ini, meskipun beragama Islam, sesetengah Melayu bangsawan termasuk dari keturunan Syed juga minum bir dan wain, tetapi tidak melakukannya secara terbuka; ‘…some of the rich Malays, Saids, and others, will drink beer and even wine; but they seldom do it publicly.’

Kapten James juga menyatakan terdapat dua buah masjid yang paling meriah dikunjungi, sebuahnya lebih ditumpui oleh masyarakat Chuliah (India Muslim). Sebuah lagi lebih menjadi pusat orang Melayu. 

Juga terdapat dua buah kuil Hindu, yang menurut James Low salah satunya bertempat berhampiran Suffolk House untuk kasta India lebih tinggi. 

Kamek percaya James Low sempat tinggal lama untuk melihat upacara Thaipusam yang digambarkan sebagai ‘riuh’, tulis James begini: 

‘…the Hindoos perform here all the absurd and often monstrous rites of their religion, with exception of widow burning and dragging the car. The usual swinging on tenter-hooks is a public and disgusting exhibition - and in a civilized colony, is a nuisance and an offence against public decency and feeling.’ 

Tentu sahaja kamek membaca perenggan ini dengan waspada kerana ia adalah rakaman peribadi seorang pegawai kolonial. Iyalah, mana tidaknya Province Wellesley disifatkan sebagai koloni yang bertamadun. Tentunya yang diluar sana dianggap kurang bertamadun.

Selain Thaipusam, Kapten James Low nampaknya tinggal cukup lama untuk menyaksikan perarakan asyura ketika bulan Muharram yang diadakan oleh komuniti Syiah tempatan. 

Perarakan asyura itu adalah upacara ta’ziyeh yang menjadi amalan masyarakat Syiah tetapi diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996. James berpendapat perarakan itu ‘mahal’ dan ‘luar biasa’. 

Lebih menarik, penganut Islam bukan Syiah iaitu masyarakat Sunni menyaksikannya dengan aman dan tidak mengganggu. 

Perarakan ini merupakan penyataan kehibaan dan kesedihan terhadap apa yang menimpa cucunda Rasulullah SAW, Imam Hasan dan Hussein. Imam Hussein dibunuh di Karbala oleh Yazid dan tentera Bani Umaiyyah:

‘The processions of the mussalman tazias, or representations of the tombs of Hassan and Hoosseen, are costly and splendid, as observed from a distance; and were it not for the collision which takes place sometimes at them betwixt the rival tazia-bearers and their parties in the streets, when shillelahs, and even more dangerous weapons, are employed, they would be wholesome enough moral safety-valves. The Malays never enter into any of these heterodox practices. Their religious ceremonials are of a grave and respectable character, and they hold the Mussulman of India to be little better than a Hindoo.’

Terdapat juga kuil atau wat Siam yang James nyatakan sebagai agak cantik khusus yang berlokasi di Pulau Tikus. Beliau juga nampaknya terhimbau oleh pagoda yang lebih kecil di Batu Lanchang. 

James turut merakamkan perarakan Hari Wesak yang menurutnya berbeza dari ‘apa yang dibuat oleh penganut Hindu’. Terdapat seorang sami Siam yang berpengaruh di Province Wellesley tatkala itu. 

James juga menukilkan gambaran Tahun Baru Cina di Province Wellesley dan Pulau Prince of Wales yang jatuh pada 17 Februari 1836. Kata Kapten James perayaan itu amat bising kerana mercun, dan orang Cina pula melaram berpakaian ala orang Perancis seraya melawat sanak saudara dan kawan-kawan. 

Perayaan ini menganjur selama tiga hari. Makan-makan berkait perayaan ini pula katanya begitu mahal dengan banyak minuman memabukkan seperti samsu terhidang.

Dalam banyak-banyak gambaran mengenai Province Wellesley ketika itu, fenomena kemeriahan beragama dan kaum amat dihargai oleh Kapten James. Di beberapa tempat, dia menuliskan apa yang beliau lihat dan fikirkan sekiranya wilayah itu kekal di bawah penguasaan Kedah, dan tentunya naungan Siam. Kamek tidak ingin menurunkan pendapat kolonial tersebut.

Memang betul, kamek tahu yang Kedah telah diperdayakan pada tahun 1786 mengakibatkan “Province Wellesley” terlepas ke tangan British. Akan tetapi kamek juga belajar sejarah yang Sarawak Sabah, termasuklah Pulau Prince of Wales dan Province Wellesley telah menyertai Malaysia dalam Perjanjian 1963 sebagai sebuah negeri yang memiliki identiti tersendiri. 

Kamek tidak mempertikaikan Perjanjian 1963 itu. Kamek tahu siapa yang mempertikaikannya patut dianggap penderhaka negara.

Hari ini Pulau Putera Wales itu dikenal sebagai Pulau Pinang, manakala Province Wellesley adalah Seberang Perai.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.