KOLUM | Belasungkawa: Profesor Mahmood Zuhdi
Saya pernah menjadi pelajar Allahyarham Profesor Mahmood Zuhdi Abdul Majid dalam tahun-tahun 1994-1998 ketika masih menuntut sebagai siswa Syariah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Apabila Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim menghubungi saya pada malam 17 Jun 2023, segala-galanya kembali ke ingatan saya. Tiada duka cita yang dapat menggambarkan perasaan ini.
Ustaz Mahmood seorang yang tegas dan mementingkan disiplin. Belajar di bawah asuhannya memang menjadikan kami siswa di Fakulti Syariah tatkala itu beroleh satu suasana baru. Ketika saya di situ, Ustaz Mahmood adalah Pengarah APIUM. Kuliah dengan beliau memang mendebarkan. Bukan sangat kerana beliau lagak seorang pengetua yang langsung memarahi pelajar Syariah yang datang selekeh ke kelas, tetapi lebih kerana beliau tidak ada tolak ansur buat kami dalam menguasai bahasa Arab, dan satu ‘tuntutan baru’ ketika itu - bahasa Inggeris.
Cendekiawan agama dan pendakwah serta pakar rujukan syariah terkemuka tanah air, Prof Emeritus Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 78 tahun, yang meninggal dunia pada jam 10.20 malam 17 Jun itu memang berhasrat menjadikan siswa APIUM dihormati. Maka beliau menuntut kami agar ‘senonoh’, tidak main-main, sentiasa ‘presentable’, gigih, cekal dan anjal.
Perihal anjal itulah yang menjadi kata kunci buat saya. Tidak ramai orang mengerti kecuali arwah ustaz. Hanyalah beliau yang memahami. Kerana, beliau yang membuka kunci ruang tertutup itu.
Satu ketika beliau pernah memberitahu saya - jika mahu menyusup, maka masuklah ke dalam liang-liang seni sedia ada - yang mana tentulah liang seni yang beliau maksudkan itu adalah liang halus atau kecil. Biar meresap dalam ruang seni. Demikian kata almarhum. Saya terganggu benar dengan kata-kata itu. Yang saya tanggapi tatkala itu, ‘ruang seni’ adalah ruang budaya, kerana saya makin berjinak-jinak dengan dunia sastera dan teater. Saya menjadi krew teater Lantai T. Pinkie selain menulis novel. Akan tetapi yang Ustaz maknakan adalah lebih dari itu, seni yang dimaksudkan adalah liang atau ruang kecil yang boleh dimanfaatkan. Seni, ibarat zarah halus.
Ketika ramai orang menjarakkan diri daripada saya kerana pelbagai fitnah dan tuduhan yang dilemparkan daripada khemah seorang mufti dari utara, Ustaz Mahmood memberitahu beberapa orang yang datang menemui beliau begini; “…luaskan pembacaan. Baca semua benda, teroka semua benda. Anak murid saya, Faisal Tehrani pun saya tak suruh jadi ustaz. Saya suruh dia jadi sasterawan”.
Saya terkesima membaca status media sosial orang itu, bahawa Ustaz masih mengiktiraf saya anak muridnya.
Makanya memang tidak mengejutkan setelah bersara di Universiti Malaya, beliau malah pernah berkhidmat di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pesuruhajaya. Itu kerana ‘ruang seni’ harus diterokai. Dan tatkala kes-kes tekanan terhadap komuniti Syiah meledak dalam tahun-tahun 2010-2014, beliau menelefon saya dan menyatakan; ‘Kami di Suhakam memerlukan bantuan enta.’
Ia membawa saya keluar dari zon selesa, ke medan terbuka sehingga ke Geneva. Dia penyokong dalam senyap. Hubungan seni seorang guru dan murid tidak kalian tahu. Tidak perlu dikongsikan.
Salah satu ilmu yang amat saya hargai daripada almarhum tidak lain tidak bukan adalah Fiqh Nusantara. Tatkala itu, serasa apa yang beliau sarankan semacam menggagau. Bahkan mengelirukan. Mengapa Fiqh Nusantara? Mengapa tidak ikutkan sahaja ajaran turun-temurun dari ulama Arab? Mengapa perlu ada acuan sendiri? Adakah itu bermakna kita harus mengetepikan mazhab Syafie ikutan kita selama ini?
Kata arwah Ustaz, “…terokai ruang seni untuk mengangkat Islam. Ini kerana syariah itu bukan hanyalah satu dan fiqh itu boleh berbilang”. Dalam syarah-syarah beliau, Ustaz Mahmood menjejerkan aneka pelajaran dari sirah lalu. Termasuk ijtihad para sahabat yang menurutnya ada banyak angkubah. Beliau memesan lagi kepada saya; “…dalam Islam kita ini ada Fiqh qaul qadim, ada Fiqh qaul jaded”.
Tambahnya, fatwa-fatwa Imam Syafie berbeza di Iraq dan Mesir kerana ada angkubah itu. Maka kami diyakinkan bahawa angkubah para fuqaha itu ada macam-macam seperti sikap peribadi, nilai intelektual, tahap keilmuan, tetapi yang paling mustahak; persekitaran ilmu, masyarakat, budaya dan macam-macam lagi yang melingkungi ahli fikah. Kata Ustaz, jadilah graduan Syariah yang mengerti semua ini dan masuk ke ruang-ruang seni sedia ada. Yang saya tahu elok mengekor jejak Fiqh Nusantara ini tentulah sahabat yang menghubungi saya; Ustaz Rahimin Affandi.
Ustaz Mahmood amat menekankan pengaruh persekitaran yang akan membentuk fikah sedia ada. Dalam hal ini Ustaz percaya jika ada fikah Hijaz di zaman setelah Nabi Muhammad saw dan para sahabat; maka ada pula Fikah Nusantara. Adat tempatan, dan konteks tempatan perlu diraikan.
Beberapa tahun kemudian, Ustaz Mahmood memberitahu saya, “…agar menggali lagi - apa mazhab pun tidak mengapa agar dapat dimanfaatkan; tetapi kerana kita di Nusantara makanya mesti ada tunjangnya, iaitu Syafie. Datangkan yang lain untuk mengukuhkan di saat hampa tidak apa-apa…”.
Jadi, Ustaz Mahmood berani mengemukakan nikah misyar. Gegak gempita negara pada tahun 2006. Dek permintaan beliau agar meresap ke liang seni, maka saya menulis darihal nikah misyar itu dalam drama televisyen ‘Pelangi Ada Tujuh Warna’, juga ‘Maryam Pagi Ke Malam’. Tetapi tak ramai orang tahu misi kami. Tak ramai mengerti.
Almarhum menterjemahkan gagasan ‘memanfaatkan semua’ dalam sebuah makalahnya yang bermakna. Judulnya ‘Fiqh Nusantara’ yang dibentangkan dalam Seminar Islam dan Tajdid anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Universiti Selangor (Unisel) pada tahun 2014. Ustaz Mahmood menyatakan begini:
“Satu persoalan semasa yang hangat sekarang ialah tentang kehadiran berbagai aliran dan mazhab di rantau ini sekarang, termasuk Wahabi, Salafi, Syiah dan berbagai lagi, termasuk apa yang disebut sebagai aliran liberal. Berasaskan kepada fakta sejarah aliran-aliran ini hanya akan menjadi persoalan semasa dalam beberapa waktu sahaja dan akan melahirkan ‘ribut dalam cawan’ dalam beberapa ketika sahaja. Lazimnya masyarakat Islam di Nusantara akan melakukan sedikit sebanyak penyesuaian secara tertib dan teratur sepertimana pernah berlaku di sebalik pertikaian antara Kaum Tua dan Kaum Muda pada suatu waktu dahulu. Maksudnya, ‘tajdid’ akan berlaku secara dalaman dan mazhab Syafi'i tetap menjadi panduan utama juga. Dengan demikian apa yang dimaksudkan dengan ‘Ahl al-Sunnah Wal-Jamaah’ di rantau ini konsepnya lebih luas daripada pentafsiran secara ortodoks yang dilakukan di Timur Tengah sehingga membangkitkan permusuhan bersenjata antara satu mazhab dan aliran dengan yang lain.”
Dalam kefahaman saya, Ustaz mahu mengukuhkan kefahaman dan keberagaman Islam agar apa yang sedia ada membumi dan melangit dapat menjadi satu ciri khas milik kita umat Islam di sebelah rantau sini. Islam Syafie yang memanfaatkan faham lain, yang menerobos ‘ruang seni’.
Sesungguhnya apabila saya menulis ‘Perempuan Nan Bercinta’ (2012) yang diharamkan kerajaan Malaysia itu, dorongannya tidak lain tidak bukan adalah ‘untuk meneroka dan merai segala ruang seni yang mungkin.’ Yang beria-ia menyorakkan saya dan karya itu tentulah golongan Wahabi. Ini kerana mereka paling tidak mengerti Fiqh Nusantara.
Apakah penerokaan saya di atas itu ‘terlebih’ atau ‘menjalar’ lantas ‘gone wrong’? Itu masa akan menentukan. Saya ada rujukan sendiri. Dan dukana sekali, rujukan saya itu telah pergi. Innalillahi wa innailaihi rajiun. Al-Fatihah untuk pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), profesor emeritus di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya; yang juga guru saya.
Selamat berangkat ke negeri abadi, Ustaz. Jumpa nanti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai