Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Malaysia di mata pelarian Syria

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu pelarian yang melibatkan mangsa perang mahupun bencana alam seringkali disantuni oleh rakyat Malaysia. Pelbagai krisis yang berlaku di negara-negara konflik seperti Yemen, Afghanistan, Syria, Palestin dan Afrika memerlukan bantuan dari pelbagai aspek termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, bekalan air bersih, pendidikan dan lain-lain.

Status pelarian menjadikan mereka melalui kehidupan yang sukar dan penuh penderitaan yang boleh membawa kepada kebuluran dan kematian serta penyebaran pelbagai jenis penyakit.

Data UNHCR menganggarkan sekitar 89.3 juta pelarian wujud di seluruh dunia dengan sebahagian besarkan adalah wanita dan kanak-kanak.

Sekitar 41 peratus berumur di bawah 18 tahun. Di Syria sendiri dianggarkan 12 juta pelarian berlaku akibat dari konflik yang bermula sejak tahun 2013 hingga kini. Seramai 6.8 juta merupakan pelarian di dalam negara atau dikenali sebagai ‘Internal Displaced People’ (IDPs) manakala bakinya 5.4 juta adalah pelarian di pelbagai negara di seluruh dunia.

Kebanyakan pelarian ini masuk ke negara-negara seperti Turki, Jordan, Jerman dan Lubnan.

Turki menerima jumlah pelarian terbesar sekitar 3.5 juta orang dengan lebih 100,000 daripada mereka memiliki status penduduk tetap. Jumlah pelarian terbesar bagi negara bukan jiran dianggarkan sekitar satu juta orang berada di Jerman.

Walaupun berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah pelarian ini, akan tetapi jumlahnya boleh bertambah pada bila-bila masa mengikut suasana konflik di Syria. Mereka lebih memilih untuk berada di negara baru yang lebih aman walaupun terpaksa menempuhi kehidupan yang penuh ranjau dan berliku.

Keadaan ini lebih baik dari tinggal di kawasan konflik seperti Aleppo, Idlib, Der Al-Zour, Al-Tanf dan banyak lagi yang tidak pernah menjanjikan keselamatan dan keamanan. Tidur malam berbantalkan refal AK-47 dan AKM adalah perkara biasa terutamanya jika diserang dan perlu mempertahankan diri dari sebarang bentuk ancaman.

Sementara itu, ajal hidup dan mati mereka semuanya diserahkan kepada Tuhan Maha Esa, bila-bila masa mereka boleh menjadi ‘syahid’ jika kediaman atau ditempat keberadaan mereka itu diserang oleh pesawat pejuang dan lain-lainnya.

Situasi kritikal konflik perang saudara di Syria melibatkan sekurang-kurangnya enam penjuru di antara pelbagai kelompok pejuang, ianya menjadi sangat rumit dan sukar diselesaikan.

Peranan kuasa besar Amerika dan Russia menjadikan situasi lebih meruncing. Sementara itu, suasana geopolitik serantau yang melibatkan Turki, Saudi, UAE dan Iran pula menjadikan Syria umpama padang catur sesama mereka.

Peranan oleh askar upahan yang menjaga kepentingan minyak dan projek ketenteraan oleh kontraktor Amerika di beberapa wilayah yang dikawal mereka juga menjadi penyumbang kepada permasalahan ini. Ditambah pula dengan ancaman pengganas yang didanai oleh Barat untuk memastikan keadaan terus bergolak di wilayah tersebut.

Akibatnya, jumlah pelarian menjadi semakin besar dan meningkat dari masa ke semasa.

Presiden Bashar Al-Asad yang ingin terus berkuasa, mengambil pendekatan bersahabat dengan Rusia dan Iran untuk menghapuskan pemberontakkan yang berlaku ini.

Maka berlakulah siri-siri pengeboman oleh pesawat pejuang dari negara tersebut ke atas wilayah-wilayah yang dikawal oleh kelompok-kelompok kecil yang disokong oleh pelbagai negara ini.

Setiap kali berlakunya serangan atau pengeboman, maka berlakulah pergerakan besar-besaran penduduk ke luar dari kawasan yang diserang tersebut sama ada dengan menggunakan kenderaan sendiri mahupun menumpang kenderaan sesiapa sahaja ataupun melakukan perjalanan dengan memanjat pergunungan menuju ke kawasan-kawasan selamat.

Pengalaman sendiri

Situasi yang dijelaskan di atas ini adalah sebahagian daripada senario benar yang berlaku di Syria hasil pengalaman saya di Idlib dalam misi kemanusiaan dan membantu golongan yang tertindas dan menderita akibat permainan politik kotor oleh rejim pemerintah dan kelicikan kuasa-kuasa besar.

Di sinilah kita dapat merasai bahawa sebuah negara yang hebat dan penuh dengan ketamadunan serta mempunyai pelbagai sejarah sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran telah menjadi musnah dan dipecah belah oleh dasar ‘divide and rule’ oleh kuasa-kuasa barat dan serantau yang mempunyai kepentingan masing-masing.

Nyawa rakyat Syria menjadi taruhan dan tiada nilai di sisi kelompok kejam dan penuh khianat ini.

Pada saat mereka melalui kehidupan yang penuh kesukaran ini, dapat dilihat dengan jelas bagaimana peranan NGO dalam membantu mereka melalui penderitaan. Pelbagai bantuan dan pertolongan disalurkan walaupun terpaksa menempuhi pelbagai kesukaran dan penderitaan.

NGO Malaysia seperti Muslim Care Malaysia (MCM) antara kelompok yang aktif dan cekal menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria ini.

Kecekalan MCM dan lain-lain NGO tidak dapat dinafikan, ajal maut mereka juga adalah atas ketentuan Allah, istiqamah dalam perjuangan dan bantuan merentasi sempadan di kawasan bergolak terutamanya di Syria/Turki ini jelas menjadi lambang kekuatan dan ketabahan rakyat Malaysia.

Pada ketika inilah saya melihat dan merasai betapa hebatnya Malaysia pada pandangan rakyat Syria. Bagi pelarian, mereka jelas menyokong dan menghargai negara atau NGO yang membantu mereka.

NGO atas nama Malaysia telah menjadi duta tidak rasmi yang membawa mesej keamanan dan kesejahteraan. Rata-rata rakyat Syria menghargai Malaysia, mencintai Malaysia dan ingin hadir ke bumi Malaysia.

Diharapkan krisis yang mereka lalui akan tamat segera, Syria kembali pulih seperti sediakala dan kemakmuran dapat dikecapi sebagaimana sebelum ini.

Sekalung tahniah kepada NGO Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di Syria dan menjadi wadah untuk membantu mereka dalam jangka masa pendek dan panjang.

Pendidikan dilihat sebagai platform paling penting untuk mengangkat semula wilayah Syam yang sarat dengan kehebatan dan sejarah yang disebut oleh Rasulullah dan termaktub dalam Al-Quran.

Malah Syam juga bakal menjadi tapak kebangkitan semula Islam yang akan mendepani segala permasalahan yang dialami oleh umat manusia seluruhnya.


MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian strategi, keselamatan dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.