Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sakti seorang bapa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Ini catatan sempena Hari Bapa yang tidak terlalu lama sudah berlalu. Ia mungkin agak peribadi, tetapi yang lebih utama ini adalah soal saktinya manusia yang bergelar bapa.

Dari kisah bapa bernama Adam, Ibrahim dan juga Abdullah hinggalah kepada cerita kita yang pernah mempunyai bapa dan kemudian menjadi bapa.

Sejujurnya saya mungkin tidak pernah memberi ucapan Hari Bapa kepada bapa saya seperti generasi sekarang. Ia mungkin ada kaitannya dengan soal budaya dalam hidup kami dalam berkeluarga.

Sering bapa ceritakan pahit getir hidupnya sebagai santri yang mencari ilmu di pondok, dan pesawah yang menampung kehidupan kami sekeluarga. Memiliki anak seramai tujuh orang dan membesarkannya sebaik bukanlah tugas mudah.

Oleh kerana saya anak sulung, sebahagian kesusahan hidup bapa dan mak dapat saya rasai. Ingatan yang terpahat sedari kecil seperti helaian-helaian kesedaran yang menginsafkan.

Itulah yang dilalui oleh kelaziman pasangan suami isteri yang baru membina institusi terkecil dalam masyarakat - keluarga.

Waktu bapa membesarkan kami adik-beradik terutamanya pada pertengahan 1960-an hingga pertengahan 1970-an, rumah kami tiada bekalan elektrik dan air paip.

Selain faktor kemiskinan, ia juga disebabkan pembangunan yang lambat.

Ketika itu bapa hanya ada basikal. Jika perlu balik kampung mak di Bagan Datuk, kami menaiki dua bas yang berbeza. Satu bas Kenderaan Sungai Manik ke pekan Teluk Anson, diikuti bas syarikat Lower Perak dari stesen bas ke Bagan Datuk.

Sampai di kampung Sungai Batang, kami menumpang basikal atau motosikal ke rumah datuk yang terletak lebih kurang 2km masuk ke baruh.

Kemudian bapa membeli motosikal Yamaha pada 1973. Apabila bapa balik kampung, saya membonceng, manakala mak dan adik-adik yang lain menaiki bas.

Apabila keadaan ekonomi bapa agak mengizinkan, bapa membeli kereta terpakai Opel Kadett. Bagaimanapun kenangan saya dengan kereta itu tidak banyak. Mungkin sebab selalu rosak.

Kemudian bapa membeli Fiat 124 terpakai. Agak lama juga bapa menggunakan kereta itu. Kemudian pemilikan kereta tersebut berpindah kepada saya pada 1990. Itulah kereta pertama saya sesudah berkahwin.

Susun semula kenangan

Untuk menampung hidup, bapa mengambil upah menebas, mengait kelapa dan segala macam kerja kampung termasuklah bersawah padi semasa di Sungai Manik.

Pun begitu kesukaran hidup akan menjadikan manusia cekal, teguh dan berkualiti. Pendidikan dan pengalaman hidup membentuk watak, sikap dan falsafah hidup.

Sebaliknya kesenangan hidup akan melahirkan manusia yang lemah, malas dan tidak mandiri.

Bapa saya telah kembali kepada Maha Pencipta pada 2008. Manuskrip buku biografi bapa pula hanya siap beberapa bulan lalu. Naskhah Ustaz Sulam - Sebuah Potret Ulama Kampung itu berada di pasaran semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu. Ia diterbitkan oleh Gerakbudaya.

Saya mula mencatatnya sejak beberapa tahun lalu. Setiap kali merinduinya, saya tulis apa sahaja tentang dia. Ketika perintah perintah kawalan pergerakan (PKP) ruang masa yang ada menjadi kesempatan untuk saya menyusun kembali semua catatan itu hingga menjadi sebuah manuskrip lengkap.

Dalam proses menulis itu, saya menyedari ada sesuatu yang hilang dalam hidup, iaitu mutiara kata dan pesanan berupa nasihat, pandangan, luahan dan teguran daripada bapa.

Justeru hargailah setiap kata-kata daripada seorang bapa yang masih ada. Jika sudah tiada hanya kenangan yang mampu mengingatkan kita.

Ketika saya di sekolah menengah, tidak pernah bapa marah atau meninggikan suara untuk menegur kesalahan. Dari riak wajahnya saja saya sudah memahami kesal dan marahnya.

Sebagai anak muda, saya ada keinginan dan kebebasan. Banyak juga perkara antara kami berbeza pandangan. Mungkin kerana kami berbeza zaman, latar belakang pendidikan dan sosial. Setiap anak dibesarkan dengan keperluan zamannya.

Jika ada sesuatu yang bertentangan, biasanya saya diam, mengalah atau mengelakkan menyentuh hal itu. Dari situlah sentuhan jiwa seorang bapa akan berinteraksi dengan jiwa seorang anak.

Bahasa jiwa seorang bapa lebih bertenaga menyentuh jiwa anak. Itu adalah kuasa daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kita sebagai anak memberi keyakinan bahawa seorang bapa tidak akan membiarkan anak-anaknya sakit, derita atau tercari-cari dalam hidupnya.

Meski bapa itu sudah tiada lagi di dunia ini seluruh kenangan dan sejarahnya akan tetap bersama selama-lamanya. Sebab itu, saya menulis buku tentang bapa.

Setiap kali bersembahyang, adalah detik untuk kita doakan kesejahteraan buat ibu dan bapa.

Jarang tadah kitab

Sewaktu majlis penganugerahan bapa sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak pada 2006 oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah, bapa diberikan kesempatan memberi syarahan dalam majlis itu.

Tentu sahaja syarahan itu bukan saja mempunyai kandungan bermakna tetapi mempunyai laras bahasa dan protokol rasmi.

Biasanya bapa minta saya sediakan teks ucapan, khutbah atau syarahan. Tetapi ketika itu, saya berada di luar negara. Kemungkinan besar bapa yang tulis sendiri dengan panduan daripada pihak berkuasa agama.

Antara ucapannya, bapa memetik maksud sebuah hadis, pemberian terbaik daripada seorang bapa kepada anak adalah akhlak. Jika dalam majlis umum, ceramah bapa lebih berkisar soal pendidikan, akhlak dan adab bermasyarakat.

Dalam pengajian di masjid pula, bapa buka kitab Tafsir Bimbingan ar-Rahman, Mustika Hadis dan disiplin akhlak melalui Nasihat Agama dan Wasiat Iman.

Bapa juga mengajar kitab turas dan kitab Jawa Pegon. Sayangnya saya jarang menadah kitab di hadapannya.

Pernah bapa datang melawat rumah sewa semasa saya belajar di Universiti Malaya. Di mana saja tempat anak-anaknya belajar, bapa pasti menziarahi kami. Bapa ingin tahu siapa rakan-rakan serumah atau seasrama.

Pada kesempatan itu, bapa beri tazkirah kepada kami apabila melihat kawan-kawan saya duduk keliling bapa. Sekali gus sebenarnya bapa ingin memberi pesanan kepada saya sendiri.

Setelah selesai memberi tazkirah, bapa dan mak tinggalkan bekalan makanan buat kami. Hari itu kami dapat jamuan rohani dan jasmani.

Kini sudah hampir 15 tahun bapa menemui Rabbul Jalil tetapi semangat dan roh bapa terus hidup dalam diri ini. Itulah saktinya seorang bapa yang telah tiada.


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.