Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Minta maaf hari-hari

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

"Ko jangan bertumbuk pulok!" kami memberi kepada kepada Paul dengan tegas.

Kami mengajak beberapa orang sahabat lama untuk bertemu. Kami sudah berpuluh tahun kenal. Cuma seperti mana mana lazimnya sesebuah ikatan, hubungan Paul dan Kirby sedikit renggang.

Puncanya bukan masalah besar pun, tapi pada zaman semua orang mahu tunjuk gagah, Paul dan Kirby berselisih faham.

Hal itu dibawa hingga zaman berzaman dan tidak diselesaikan.

Kami tidak tahu di antara kedua mereka, mana yang lebih panas. Cuma kami tahu yang kami boleh 'handle' Paul. Kerana itu kami hanya memberitahu Paul akan kehadiran Kirby untuk perjumpaan kali ini.

Paul seperti biasa berlagak macho dengan mengatakan bahawa dia OK saja dan berjanji tidak akan menimbulkan huru-hara.

Kirby yang cool itu dengan bersahaja menyambut tangan Paul bila dihulur minta bersalaman. Kami yang berlapan orang yang hadir - yang tahu akan sejarah mereka berdua - pun berasa lega.

"Dia kata sorry," bisik Paul kepada kami setelah semua orang pulang. Paul paling lewat pulang.

Meminta maaf dan melakukannya tanpa sebarang syarat memerlukan satu macam kekuatan yang luar biasa.

Cahaya nan cerah

Kita semua adalah orang yang berada di pihak yang benar tanpa kita peduli apa pun pandangan orang lain.

Kerana itu mengaku bersalah sekalipun kita memang bersalah ada sesuatu yang sangat payah dilakukan.

Tengoklah ahli politik sebagai contoh. Belum pernah terjadi dalam sejarah negara kita ada walau seorang daripada mereka yang meminta maaf kerana gagal melaksanakan tanggunjawab.

Juga tidak pernah ada dalam kalangan mereka yang dibuktikan makan suap - misalnya - kemudian mengaku dan meminta maaf.

Pada masa yang lain, seorang kawan tiba-tiba menghantar pesanan melalui Facebook. Dia meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya pada masa yang lebih terdesak.

Katanya, dia tidak berfikir panjang pada waktu itu.

Semasa dan selepas kejadian tersebut tentu saja kami berasa teramat marah. Namun setelah bertenang, kami mengambil peristiwa itu sebagai suatu macam tanda kebodohan diri sendiri.

"Cerita lama..." jawab kami atas permohonan maaf itu.

Semasa pertemuan yang diceritakan tadi, Paul mencadangkan agar kami mengajak juga kawan yang meminta maaf melalui Facebook itu.

Kami katakan bahawa kami OK saja namun atas banyaknya urusan yang dihadapi, kawan itu tidak dapat hadir sama. Paul kemudian membuat panggilan telefon kepada dia semasa pertemuan sahabat-sahabat lama kami tadi.

Sepatutnya orang politik mengambil tindakan yang sama yakni segera meminta maaf apabila sedar sudah melakukan kesilapan.

Sementelah pula kita ini memang sentiasa berbuat silap.

Salah yang segera dipohon maaf bukan saja disukai manusia, malah lebih penting Tuhan juga akan mengampunkan. Bukan sekali bahkan berkali-kali kita dianjurkan untuk bertaubat demi sesudah melakukan kesalahan.

Seberapa segera kita kembali ke jalan yang benar, pantas lagi Tuhan membawa kita kepada cahaya nan cerah.

Kamu mungkin menganggap barisan terakhir tulisan ini berbau politik.

Dan kamu juga mungkin mengatakan bahawa ini adalah kerana kami ini penyokong PMX yang 'tergatal' berjenaka meminta nombor telefon budak U.

Namun dalam memperkatakan perihal meminta maaf, tidak salah rasanya jika kami katakan bahawa portal berita partai yang selalu meminta maaf atau memadamkan laporannya wajar mengambil nama baru.

HarapMaafDaily, misalnya. Sementelah jika mereka dilihat rajin menyiarkan permohonan maaf sehari dua ini.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang pemaaf.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.