KOLUM | Siapa pertahan kerajaan Anwar jika tumbang?
Untuk melanjutkan talian hayat Kerajaan Madani, Anwar Ibrahim perlu mengimbangi antara pihak yang cenderung menyokong dengan pihak yang cenderung memusuhi dirinya. Anwar perlu memastikan mereka yang bersikap skeptikal terhadap dirinya tidak berasa terdesak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sebelum penggalnya tamat, dan mereka yang menaruh harapan terhadapnya masih bersabar dengan kerajaan berusia lebih 200 hari ini.
Dalam konteks ini, politik adalah pengurusan sentimen. Jikalau diimbas kerajaan Pakatan Harapan 1.0 sejurus selepas PRU14 pada tahun 2018, ia gagal meredakan keresahan yang dibangkitkan pembangkang, sementara gagal mengendalikan kekecewaan penyokongnya.
Pertikaian demi pertikaian tercetus, misalnya ratifikasi Icerd, pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan dan sebagainya. Isu-isu ini tidak terungkai dalam masa tersingkat, dibiarkan meleret tanpa penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak. Kebuntuan ini memberi gambaran seolah-olah PH gagal mara lebih jauh ke depan. Kemuraman sedemikian menjelaskan mengapa tidak ramai penyokong yang terpanggil untuk mempertahankan PH ketika ia dijatuhkan.
Selepas kejadian Langkah Sheraton, terdapat suara muhasabah yang mencadangkan bahawa PH sepatutnya menunaikan beberapa janjinya dalam manifesto sebaik sahaja menawan Putrajaya, sebelum cubaan mengambil hati pengundi di sebelah sana. Perhitungannya, penyokong PH akan berasa berbaloi dengan sokongan yang dicurahkan, lantas menghargai kemenangan itu. Maka mereka akan lebih bertimbang rasa andainya PH terpaksa berkompromi kemudian untuk memikat pengundi di sebelah sana.
Kesabaran penyokong ada batasnya
Berdasarkan perhitungan sebegini, adakah penyokong PH kini berasa berbaloi dengan kemenangan PRU15? Apakah prestasi Kerajaan Madani yang paling terserlah selepas lebih setengah tahun Anwar membentuk kabinetnya? Biar lebih berterus terang, andainya kerajaan Anwar dijatuhkan dalam masa terdekat, apakah isu yang boleh membuatkan penyokongnya rasa terpanggil untuk bangkit mempertahankannya?
Saya kurang pasti. Pengamatan saya mendapati sesetengah penyokong PH mungkin tidak berpuas hati dengan prestasi kabinet Anwar setakat ini, cuma mereka khuatir situasi menjadi lebih buruk andainya Perikatan Nasional menebuk atap di Putrajaya.
Antara alasan yang disandarkan: Pertama, tiada reformasi tuntas dan mendadak kerana PH tidak menubuhkan kerajaan persekutuan secara bersendirian, sebaliknya membentuk kerajaan campuran dengan blok politik lain, terutamanya BN yang ditunjangi Umno; Kedua, kesan pemulihan dan penambahbaikan ekonomi kurang dirasai, kerana krisis ini berpunca daripada faktor struktur, yang memakan masa untuk diperbetulkan, apatah lagi diperlihatkan hasilnya.
Namun demikian, kesabaran penyokong tetap ada batasnya, lebih-lebih lagi apabila dicabar dengan aksi-aksi menteri yang tidak masuk akal. Bayangkan, apakah reaksi yang mampu diberikan penyokong PH apabila ditunjukkan video menteri berbasikal dalam pejabat, atau menunggang lembu sado? Adakah mereka harus terikut-ikut untuk ketawa berdekah-dekah bersama kelompok manusia yang memeriahkan ceramah PN, agar tersorok segala kemarahan dan rasa malu, atau mereka harus memberanikan diri untuk menegakkan benang basah, dan dimalukan sekali lagi sebagai macai PH?
6PRN = PRK Tanjung Piai?
Bukan mahu menghukum hanya kerana beberapa kesilapan yang nampak remeh, tetapi ia harus dielakkan kerana boleh dijadikan bahan untuk memperlihatkan ketidakmatangan anggota kabinet sedia ada. Itupun belum diambil kira siasatan kes rasuah yang melibatkan Kementerian Sumber Manusia, kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebagainya, yang belum terungkai, dan boleh jadi besar impaknya.
Anwar, atau kerajaannya harus sedar, bahawa PH1.0 juga pernah menikmati bulan madunya, sebelum orang ramai dikerah untuk turun ke jalan raya lantaran kontroversi Icerd. Ketidakpuasan itu datang bergolek, dengan kematian anggota bomba Adib, isu tulisan Jawi, disusuli kemudian dengan Kongres Maruah Melayu, pertikaian Zakir Naik yang mengheret isu Tamil Tiger seterusnya dan lain-lain.
Situasi semakin tidak terkawal apabila suasana ruang wacana tidak memihak kepada kerajaan PH1.0, yang gagal menyeimbangi dirinya di tengah-tengah dua pihak yang bertentangan. Akhirnya keputusan PRK Tanjung Piai pada November 2019 digunakan untuk menoktahkan kerajaan PH1.0 pada Februari 2020.
Kronologi pergelutan politik ini sudah tentu masih segar dalam ingatan mereka yang tidak mudah lupa. Dari segi strateginya, jelas sasaran PN sekarang tertumpu untuk menafikan keabsahan “kerajaan perpaduan” dalam kalangan pengundi Melayu-Muslim. PN tidak perlu merampas Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dari tangan PH, cukup sekadar membuktikan dirinya memperolehi sokongan majoriti Melayu. Maka enam PRN akan datang bakal menjadi ulangan PRK Tanjung Piai, mengikut perhitungan atas kertas.
Di mana penyokong Anwar?
Tiada mustahil dalam politik, sungguhpun kebarangkalian Langkah Sheraton 2.0 berlaku agak rendah buat setakat ini. Namun jikalau senario ini berlaku, di manakah asas kekuatan Anwar Ibrahim, yang boleh dikerah untuk mempertahankan kedudukan PH?
Hakikatnya, kerjaya politik Anwar dan rakyat akar umbi berpisah tiada – sama ada ketika Anwar memimpin gerakan siswa pada zaman 1970-an, mahupun Reformasi pada akhir tahun 1990-an. Malah setelah dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, Anwar meminjam kekuatan gelombang Bersih, gerakan anti-Lynas sepanjang cubaannya untuk dilambung ke puncak kuasa.
Tepuk dada tanya selera, berapa tuntutan Bersih yang telah ditunaikan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim? Apakah keputusan kerajaan dalam isu Lynas membuatkan penyokongnya berasa berbaloi untuk tampil mempertahankannya jikalau ia ditumbangkan? Itu pun belum mengambil kira penantian tanpa penghujung oleh keluarga mendiang Teoh Beng Hock, yang anaknya kini sudah memasuki sekolah menengah, dengan punca kematian bapanya kekal sebagai tanda tanya.
Saya tidak pasti sama ada Anwar dan PH masih ingat dari mana mereka datang, jikalau mereka belum pasti ke mana mereka akan pergi. Hakikatnya, kesabaran penyokong terhadap PH dipupuk lantaran amalan politik sempit PN. Setelah mengambil iktibar daripada Langkah Sheraton 1.0, penyokong PH kini lebih lunak terhadap pemimpinnya. Mereka tidak menuntut agar segala manifesto ditunaikan dengan kadar segera, tetapi mereka mahu melihat apakah agenda reformasi yang boleh terlaksana di bawah kerangka Kerajaan Madani, dan garis masanya. Bukankah itu tuntutan yang adil?
Jangan sesekali PN dipandang remeh. Setelah sekian lama membina naratif berdasarkan sentimen perkauman dan agama, mereka kini mula mengasak dengan dasar pemerintahan. Mereka menyerang PH kerana “bersekongkol dengan parti korup, Umno”; meratib DAP di depan Melayu konservatif, dan menawarkan dasar seperti skim perubatan (di Selangor) untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan bermain isu 3R (kaum, agama dan monarki).
Dengan pengolahan naratif yang lebih halus (perkauman secara tersirat), persembahan yang lebih kreatif dalam ceramah dan media sosial, ditambah dengan akar umbi yang luas, tidak mudah untuk kerajaan Anwar bertahan, sekadar dengan slogan Madani yang masih kabur konsepnya.
Anwar mengharungi liku-liku hampir suku abad sebelum sampai ke mana dirinya berada sekarang. Jikapun dijatuhkan dalam tempoh yang singkat, Anwar masih sempat memilih bagaimana dirinya mahu dikenang rakyat. Sudah tentu Anwar tidak berada pada taraf serendah untuk merebut gelaran PM terpendek tempoh perkhidmatannya daripada Ismail Sabri. Cuma, bagaimana Anwar Ibrahim mahu namanya dipahat dalam sejarah Malaysia?
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai