Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Salahuddin yang kenal erti derita

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Semasa Konvesyen Khas Amanah yang berlangsung di Shah Alam pada pada Mac lalu, buku saya Ustaz Sulam - Sebuah Potret Ulama Kampung mula dijual kepada umum.

"Buku aku bila nak siap?" tiba-tiba Salahuddin Ayub bertanya, "diam-diam buku bapa dia pula yang siap!"

Saya tak menjawab. Salahuddin memang begitu. Tapi pada masa sama tidak menjawab juga adalah suatu jawapan.

Sebenarnya Salahuddin sudah meminta saya menulis biografi dia sejak 2018 lagi.

Asalnya saya bersama sahabat kami, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakub, mengusulkan agar Salahuddin membuat buku tentang sejarah perjuangannya. Sebarang sejarah yang tidak ditulis akan hilang ditelan zaman.

Ketika itu, kami berdua bertugas di Universiti Teknologi Petronas dan menawarkan diri untuk projek tersebut. Ia bukan sebagai biografi tetapi lebih kepada penyelidikan pendekatan politik Salahuddin.

Kami berdua lama bersama Salahuddin dalam perjuangan PAS. Dia setuju, tetapi Raja Ahmad pula meninggal dunia kerana kanser pada Sept 2019.

Salahuddin kata, ada dua penulis yang dia nak minta buat tugasan tersebut. Pertama, Ahmad Lutfi Othman, tetapi bekas Ketua Pengarang Harakah itu sudah meninggal dunia.

Seorang lagi ialah saya, tetapi saya ini jenis ‘sering terlewat’.

Pernah saya bergurau dengan Salahuddin dengan berkata, biasanya orang mula menulis biografi selepas orang yang berkenaan sudah tiada.

Tanya perkembangan projek buku

Salahudin tidak memaksa tulisan itu disiapkan segera. Apa yang penting, katanya, dia mahukan sebuah buku yang berkualiti dan memberi makna kepada pembaca.

Ia seperti memberi alasan untuk saya menangguhkan permintaan Salahudin lagi. Namun draf pertama telah saya serahkan kepada dia.

Selepas dilantik kali kedua sebagai menteri, Salahudin suruh tambah isi lagi, namun saya berhasrat mahu menyiapkan buku Mat Indera dulu.

"Anta ini banyak sangat alasan," kata Salahudin. Dia faham benar cara saya bekerja.

Sebenarnya saya merancang untuk menulis biografi datuk saya, Kiai Haji Yasin yang lama tertangguh. Bukan buku tentang Salahuddin, pada waktu itu, bukan keutamaan.

Salahuddin membeli buku Ustaz Sulam sebanyak tiga naskhah. Dua daripadanya diberikan Salahuddin kepada orang yang ada di sekeliling kami.

Salahuddin hadir di pemukiman Amanah Perak di Pulau Pangkor

Itulah kali terakhir kami bersembang mengenai buku biografi Salahudin.

Pada pertemuan terakhir kami di Pangkor bulan lalu, dia hanya sepintas lalu bertanyakan perkembangan projek tulisan saya.

Kini Salahuddin sudah tiada. Salahudin sudah pergi yang tidak lagi kembali. Kita pasti merinduinya. Ia adalah saat paling pahit, detik paling sakit.

Namun pahit dan sakit itulah yang kini menjadi tenaga baru untuk saya menyambung kerja yang tertangguh sekian lama.

Kami akan teruskan jalan yang dia tinggalkan. Jasadnya sahaja yang pergi, 'rohnya' tetap berdiri dalam jasad kami.

Tetap reda, bangga

Salahuddin meninggalkan jalan perjuangan bersama nilai dan pendekatan politik yang tersendiri. Nilai kesungguhan bekerja, ikhlas, berintegriti itu harus kita diteruskan.

Salahuddin ialah watak yang tetap menjaga hubungan persahabatan hatta dengan sesiapa yang memusuhinya dari dalam parti lama.

Ahli Parlimen Pulai itu pergi sewaktu pencapaian kerja kementerian yang dipimpinnya berada pada tahap cemerlang. Di kementerian itu fikiran Salahudin mudah terganggu apabila mendengar rungutan kenaikan harga barang keperluan di pasaran.

Dia bertindak tanpa tangguh meski isu yang didepani itu kebanyakannya hanyalah fitnah murahan daripada mereka yang miskin jiwa dan menangguk di air keruh.

Salahuddin meninggalkan ibu, suri rumahnya dan ahli keluarga. Merekalah watak-watak penting di belakang kepimpinan dan kehebatan insan terindah itu.

Mereka yang di belakang tabir ialah ibunya, Siti Aminah Abdullah, yang berusia 80-an dan sering merindui anak lelaki sulongnya itu. Kesibukan jadual berjuang dalam kerajaan dan parti sering menghambat detik pertemuan mereka.

Bersama Joe Wings bertanya khabar Siti Aminah

Kami menziarahi ibu dan keluarga Salahudin di Serkat selepas upacara pengebumian Salahuddin selesai. Terketar-ketar bibir kering Siti Aminah menyebutkan kisah anak sulungnya yang pergi lebih awal itu daripadanya.

Pun begitu ada nada reda dan terselit rasa bangga anaknya wafat dalam perjuangan membela rakyat.

Pada awal Salahuddin berada dalam sangkar PAS, ibunya sentiasa berasa serba salah. Ketika itu, Salahuddin menyongsang arus. Sebahagian besar penduduk Kampung Serkat adalah penyokong Umno. Mereka juga adalah rakan-rakan bapanya di masjid dan di kedai kopi.

Tetapi doa dan restu ibu bapa tetap mengiringi  perjuangan Salahudin.

Isterinya, Fatimah Taha berasal dari desa yang sama. Rumah pertama Salahudin selepas berumahtangga terletak di Kampung Serong, tidak jauh daripada rumah orang tua mereka.

Rumah itu hanya sebuah pondok kecil. Bahkan ia sangat sederhana untuk disebut sebuah rumah. Letaknya juga jauh dari jiran tetangga. Siangnya sunyi, dan apabila malam, sunyi itu semakin sepi.

Rumah pertama Salahuddin di Kampung Serong

Hanya bunyi cengkerik yang menyanyi keriangan atau suara katak meminta hujan sering kedengaran. Namun bagi pasangan muda dari Serkat, itulah mahligai mereka, itulah istana kebahagiaan.

Fatimah bersama dua anak mereka, Iskandar dan Amir Murthada, ketika itu sering ditinggalkan jika Salahudin bermusafir demi meluaskan sokongan PAS.

Salahudin adalah ayam tambatan Pas Johor pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an. Pidatonya awalnya seakan-akan gaya Abdul Hadi Awang yang lantunan iramanya boleh mengamit burung terbang.

Wakaf diri untuk perjuangan

Ketika itu, masing-masing 'panglima PAS' meniru gaya idola mereka. Salahuddin tidak terkecuali.

Dia ke merata tempat, dari pelusuk Johor hingga ke pelusuk tanah air. Kadangkala dia pergi dengan wang saku yang hanya cukup-cukup atau perbelanjaan kembali semula ke rumah yang setia itu.

Tiada berbaki duit untuk dijadikan 'upah' kerana biasanya wang sagu hati yang dihulurkan hanya cukup untuk mengisi minyak dan menampung keperluan makan minum dalam perjalanan.

Kadang-kadang Salahuddin dapat hanya RM30 untuk menampung perbelanjaan perjalanan. Kadangkala dapat lebih. Dia tetap pasrah dan tawakalnya, hanya dia saja yang tahu.

Pada era itu, jika PAS Johor berjaya mengekalkan deposit selepas keputusan pilihan raya diumumkan pun sudah dianggap sebagai suatu kejayaan besar.

Johor adalah tanah yang kurang subur pada dekad-dekad tersebut.

Untuk meneruskan gerak kerja parti, ahli-ahli PAS yang bekerja dengan kerajaan atau berniaga akan menghulurkan sumbangan kepada Salahuddin.

Aktivis yang bekerja dengan parti dikenali sebagai al-murabitun. Mereka dianggap mewakafkan diri demi perjuangan agama.

Pada penghujung 1980-an apabila Salahuddin aktif dalam parti, dia menerima wang infak sebanyak RM300 sebulan daripada PAS Johor.

Kemudian dia bekerja di pejabat PAS Johor di Batu Pahat. Pada peringkat awal, pejabat itulah juga yang menjadi tempat tidur Salahudin.

Setiap hujung minggu dia akan balik ke kampungnya di Serkat. Tapi ada masanya hujung minggu Salahudin diisi dengan program parti yang memaksanya 'memungkiri' jadual pulang tersebut.

Banyak kisah lain

Rutinnya jadi tidak menentu. Kemudian Salahuddin membawa keluarganya berpindah ke Taman Tanjung di Batu Pahat pada 1989.

Bagi menampung kos sara hidup sekeluarga, Fatimah cuba meringankan beban Salahudin dengan mengambil upah menjahit pakaian.

Pernah juga dia membuka kedai makan bersebelahan dengan Maybank di Jalan Rahmat, Batu Pahat, tetapi tidak mampu diteruskan kerana keuntungan yang diperolehi tidak sepadan dengan kesibukan yang dilalui.

Nama kedainya Restoran Bakti.

Asal dapur boleh berasap, susu anak cukup dan segala bayaran utiliti bulanan selesai, perjuangan tetap diteruskan. Kadangkala Salahudin terpaksa berhutang di kedai Tok Ha di Jalan Tanjung Labuh.

Sampan nelayan di Tanjung Piai

Sebab itu Salahudin memahami benar erti lapar dan derita rakyat bawahan.

Di sebalik kejayaan seorang suami, ada suri hati dan anak-anak yang berdiri di samping. Watak-watak di belakang tabir biasanya hilang dan tenggelam dalam peredaran waktu.

Ada banyak lagi cerita yang disimpan insan seistimewa Salahudin yang belum terungkap lagi. Itulah yang ditinggalkan Salahuddin buat kita semua. 


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional dan pernah mengetuai Jabatan Seni, Budaya dan Sukan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.