Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Apabila politik ‘dimediasosialkan’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Sudah tentu ramai yang memperoleh manfaat sejak Menu Rahmah diperkenalkan kementerian allahyarham. Pada masa yang sama, tidak kurang juga yang melontarkan sindiran. Ada yang merungut di media sosial, bahawa Menu Rahmah yang ditawarkan sesetengah kedai makanan segera lebih indah dari rupanya.

“Maaf kerana berterus-terang, tiada sesiapa pun yang memaksa semua orang untuk mengambil makanan berharga RM5 ini. Biar lebih jujur, hakikatnya ramai yang sengaja memperlekehkan ini dan itu semata-mata untuk menonjolkan dirinya agar kelihatan lebih ‘atas’ (kayangan). 

“Seorang staf yang gajinya tidaklah tinggi memaklumkan kepada saya, sekurang-kurangnya dia mampu untuk membeli Menu Rahmah yang ditawarkan kedai makanan segera, untuk menggembirakan anaknya di rumah.

“Ramai dalam kalangan kita yang berasal dari latar belakang keluarga yang tidak kaya mempunyai pengalaman sebegini. Ada kalanya ibu bapa kita pulang ke rumah dengan makanan yang kita mengidam, dan ia menjadi detik saat yang amat gembira buat kita sekeluarga pada hari itu.

“Lebih penting, perasaan muram yang sukar dipadam dari hati apabila kawan kita memiliki sesuatu yang kita tidak miliki, meskipun kita tidak menyalahkan ibu bapa. Terdapat statistik sains yang menunjukkan bahawa ‘rasa (diri kita) miskin’ ini memberi kesan yang agak mendalam kepada seseorang yang sedang mendewasa. Di samping itu, mendapat kepuasan ada kalanya boleh “memberangsangkan” anak-anak yang sedang membesar. Saya tidak tahu-menahu tentang perkara ini pada masa dahulu, tetapi saya rasa saya semakin menyedarinya sekarang.

“Barangkali allahyarham Salahuddin Ayub sendiri tidak sedar, bahawa Menu Rahmah yang diinisiatifkannya membantu ramai kanak-kanak secara tidak langsung. Malah, kesannya boleh jadi amat mendalam dan berkekalan.”

Saya terbaca catatan seorang doktor, Ong Tee Chuan, yang saya petik dan terjemahkan sebagaimana di atas. Secara jujur, saya bukan penyokong tegar Menu Rahmah, sungguhpun saya juga bersetuju bahawa ia salah satu pilihan yang ditawarkan tanpa paksaan, yang mungkin meredakan tekanan kos sara hidup sesetengah golongan.

Bukan penyokong tegar dasar tertentu

Tidak “tegar” kerana saya berpandangan bahawa setiap dasar mahupun program yang diperkenalkan, bakal memberi impak yang berbeza terhadap kelompok yang berlainan dalam masyarakat. Sudah tentu ada penjual burger, pemilik warung atau gerai makanan yang merungut bisnes mereka terkesan dengan program itu, sementara akan ada golongan lain yang dimanfaatkan dari dasar tersebut.

Saya perlu jujur juga bahawa saya tidak terfikir kesan sampingan yang dicatatkan Dr Ong Tee Chuan. Itupun dia mencatatkan pengalaman stafnya, terbuka untuk dibaca rakan Facebooknya sahaja. Bayangkan, jikalau stafnya tidak menceritakan pengalaman ini kepadanya, atau Dr Ong tidak mencatatkan kisah ini, atau saya bukan rakan Facebooknya, maka impak program Rahmah dari dimensi ini mungkin tersorok dari pengetahuan umum. Lantas saya memohon kebenarannya untuk disisipkan dalam tulisan pojok saya, cuma yang kesalnya allahyarham Salahuddin Ayub tidak sempat untuk mengetahui kesan sampingan daripada program yang diinisiatifkan dirinya ini. 

Tidak sedikit pun saya tersinggung andainya masih ada yang tetap menolak program Menu Rahmah. Alasan masing-masing berasas, misalnya ia bukan penyelesaian jangka panjang dari segi ekonomi, kerana kuncinya bukan untuk menurunkan harga makanan, tetapi mempertingkatkan pendapatan rakyat. Pakar ekonomi boleh memetik teori dan membentangkan statistik untuk menyokong pendiriannya, dan kemudian mencari penyelesaian yang dianggap lebih sesuai.

Asal heboh dan gempar?

Cuma saya agak terkesan apabila perbahasan dasar sedemikian hampir tidak mendapat ruang di media untuk memberi gambaran yang lebih menyeluruh kepada rakyat. Sebaliknya, perbincangan sering dialih tumpuannya dengan hujah-hujah yang tidak memperlihatkan tahap intelektual yang tinggi. Malah terdapat wakil rakyat yang mengeluarkan hujah yang langsung tidak berasas, misalnya mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme, dan ia berlaku di tengah-tengah Dewan Rakyat!

Tidak cukup dengan itu, terdapat pula Adun yang menuang air oren ke dalam makanan Menu Rahmah, supaya “ada rasa”. Aksi-aksi yang bangang sedemikian ditularkan di media sosial, mencetus pertikaian dan mendapat liputan media tradisional. Netizen memberi reaksi yang pelbagai. Ada yang menyunting videonya untuk menambah kesan hiburan, ada yang mengecam, sama ada mempersendakan Menu Rahmah mahupun mempersendakan orang yang mempersendakan Menu Rahmah. Puji atau maki, janji ia menjadi heboh dan gempar.

Maka saban hari aplikasi WhatsApp dalam telefon pintar kita dilambakkan dengan mesej dan kandungan yang kurang pintar. Dunia kita disempitkan kerana sarat dengan maklumat sampah yang berlonggok, dan kita pula menganggap itulah segala-galanya dunia kita. Umpama makanan ringan yang tidak henti-henti dimasukkan ke dalam mulut sehingga kembung perut, tetapi lapar dua jam kemudian. Lebih-lebih lagi, ia sememangnya tidak berkhasiat!

Di sebalik fenomena ini, harus kita menyedari bahawa ada suara-suara yang ditenggelamkan, misalnya pengalaman staf doktor ini. Maklumlah, manusia memiliki ego sendiri, jarang-jarang ada yang sudi mendedahkan masalah kesempitan dalam hidupnya, atau meluahkan suara hatinya secara terbuka, untuk ditularkan dan dihebohkan.

Zon buta

Saya teringat satu catatan netizen ketika zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), mengisahkan bagaimana seorang lelaki membayar barangan yang dibelinya dengan duit syiling, yang disyaki duit dari tabung yang dipecahkan. Pelanggan yang beratur di belakang cuba menghulurkan tangan, menawarkan diri untuk membayarkan apa sahaja yang dibelinya, tetapi ditolak.

Bayangkan, apakah lelaki ini akan mengisahkan apa yang dilaluinya di media sosial? Semestinya tidak. Dan apabila orang lain menceritakan apa yang berlaku kepada lelaki ini, kita pula ragu-ragu, apakah ini kisah yang sengaja ditokok tambah, kalau bukan diada-adakan untuk menipu “like”, sungguhpun ia nampak terlalu “real”? Kemudian kita pula keberatan untuk menularkannya, kerana mustahil kita mampu menyemak sama ada ianya benar atau tidak.

Berbalik kepada Menu Rahmah. Sudah tentu mereka yang akhirnya mampu membeli makanan segera pada RM5 untuk membawa pulang kegembiraan kepada anak-anak, tidak membuat heboh di media sosial. Dan mustahil perasaan ini difahami pempengaruh yang mungkin tidak pandang pun makanan segera – apalah sangat untuk dihebohkan dengan makanan segera, kan?

Maka pempengaruh tidak membuat content dari sisi ini. Media tradisional tidak mengundang bapa ini ke ruang udara untuk menceritakan pengalamannya. Tiada kamera yang menghala ke arah itu melainkan bapa ini melakukan sesuatu yang lebih bangang berbanding mencurahkan air oren ke dalam makanan Menu Rahmah.

Dan akhirnya kita hanya tahu satu lagi sisi kebaikan sesuatu program, setelah menteri yang menginisiatifkan program ini meninggal dunia. Baru kita sedar bahawa kita kehilangan seorang menteri yang rendah diri, tidak lebih-lebih ketika mempromosi programnya, tetapi sekadar berkhidmat dengan niat yang ikhlas – asalkan rakyat memperoleh manfaat daripada program tersebut.

Allahyarham tidak dipuja pempengaruh, dan hanya diperingati rakan-rakan di sekelilingnya dengan kisah-kisah yang begitu dekat dengan hati. Dari catatan-catatan mereka yang pernah bergaul dengan allahyarham, baru kita kenali seorang pemimpin politik yang jujur, tidak angkuh, lembut dan bersopan ketika melaksanakan tugas. Kemudian barulah ada yang berkata, “Inilah pemimpin yang kita perlukan!”

Cuma saya terfikir-fikir, untuk apa kita tangisi kehilangannya jikalau kita tidak menghargainya sebermulanya? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.