Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Jiwa yang baik dikenang orang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

"Aik! Tak pakai baju jeans ke? Tu dah jadi identiti abang," kata seorang sahabat yang selalu menegur kami di masjid. Hari itu kami pakai baju kemeja bunga-bunga, yakni sejenis pakaian yang sedang melalui musimnya bersama kami sekarang.

Bukan hari-hari kami mengutu dengan jeans dari kaki ke kepala, tetapi itulah yang diingat orang.

Kalau Salleh Hamzah - sahabat kiri kami pula - akan mengingati kami sebagai seorang yang sentiasa berpakaian hitam. Konon indie namun hakikat sebenarnya ialah pakaian hitam lebih sesuai untuk mereka yang berperut besar.

Ia menyembunyikan keboroian dan ini amat kami senangi.

Kami ingin menulis mengenai Pak Hassan, petition writer paling terkenal di Kuantan. Sayang sedikit kami tidak mempunyai foto dia untuk dikongsi kecuali satu gambar yang dikirim Ading semasa dia sedang sakit.

Maksud kami, gambar Pak Hassan sedang sakit, bukannya gambar Ading sepupu kami itu. Ading jarang sakit... macam Firaun. Sihat saja dia ke mana-mana.

Yang hairan sedikit ialah tenaga Ading itu tidak setara umurnya. Sudah dekat 60 rasanya tapi loyar buruk dia macam budak 17 tahun.

Nak kata dia pakai ilmu macam ayah kawan hang yang loqlaq itu, tidak juga rasanya sebab keluarga kami semuanya orang yang biasa-biasa. Yakni kuat semasa muda dan semakin melemah bila meniti hari tua.

Sentiasa kelihatan cool

Lalu kami andaikan Ading itu sentiasa bertenaga kerana masih banyak cita-citanya belum dicapai. Alahhh, macam bekas perdana menteri awak yang apanama itulah.

Dan macam bekas perdana menteri awak itu, Ading orang kaya. Seumur hidup tidak pernah bekerja kecuali satu atau dua tahun. Lalu kami pun hairan apa lagi yang dimahukannya.

Sepatutnya Ading berehatlah. Cukup-cukuplah buat macam-macam skim.

Gambar hiasan

Pak Hassan ialah penulis petisyen yang paling dikenali di Kuantan. Memang sejak di sekolah rendah kami dapati beliau tekun menaip surat di kaki lima kedai gunting rambut perempuan yang sering dilanggani oleh Mok setiap kali Mok mahu melaram.

Sambil menunggu Mok dihias, kami yang sedang mabuk bau bahan kimia entah apa yang digunakan di kedai gunting itu akan ralit melihat Pak Hassan menaip surat.  

Beratur orang menunggu giliran. Ada yang minta dibuatkan surat mohon biasiswa sekolah, mengisi borang tender, surat kepada anak-anak dan segala macam makneka surat yang kamu boleh bayangkan.

Yang menarik mengenai Pak Hassan ialah dia akan sentiasa cool. Sentiasa berkarisma. Tidak membongkak dan membongak. Dia menaip dengan belakang yang tegap dan tidak berbuat lawak apa-apa hanya kerana mahu menarik orang untuk menempah surat dengan dia.

Kenangan tak terabaikan

Pak Hassan tahu kerjanya adalah bukti kredibilitinya. Tak payah susah-susah dia berloyar buruk hanya untuk menarik perhatian. Tak macam kawan hang: sikit-sikit melawak, kemudian buat cerita sedih sebab dulu pernah miskin.

Tak payah ceritalah fasal susah zaman dulu. Seluruh Malaya tahu orang sebelah sana dulu ramai yang susah pada masa tu. Satu Malaya ingat peristiwa budak-budak universiti berarak bagi menceritakan hal itu.

Sudah-sudahlah berpolitik bersandarkan simpati. Awak sudah berjaya, jadi orang nombor satu negeri. Buatlah sesuatu agar tidak ada lagi mereka yang mengalami nasib yang sama seperti awak itu.

Di sebelah tempat Pak Hassan menaip surat ada sebuah kedai makan. Dan yang paling menarik mengenai kedai itu ialah apabila mereka menjual sate pada awal pagi dan berhenti apabila tengah hari.

Kami yang mabuk menunggu Mok itu tadi tahu bahawa setelah Mok siap dihias, kami akan dijamu dengan sate tersebut. Aroma arang dan daging terbakar itu memang membangkitkan selera.

Ia menjadi kenangan yang tidak dapat diabaikan.

Setelah lama tiada, kini sate pagi kembali semula ke bandar Kuantan ihsan dari kedai Ah Lee dan Rakan-Rakan di Jalan Wong Ah Jang. Selain sate kedai Ah Lee juga terkenal dengan mi rebus bodo.

Gambar hiasan

Bodo kerana dengan rencah yang minimum, mi rebus tersebut sangat laris terjual. Biasalah, orang Kuantan - kalau kamu rajin mengoreng Aji-no-moto celup tepung sekalipun, menggelupurlah mereka mengerjakannya.

Jenis kemaruk hiburan.

Kami tidak kenal Pak Hassan secara peribadi kecuali melalui adik lelakinya yang mengambil alih tugas setelah Pak Hassan tidak lagi menaip.

Adik lelaki dia merupakan senior kami di sekolah menengah. Seperti Pak Hassan, adiknya juga bukanlah seorang yang suka bercakap banyak. Dia bercakap hanya apabila perlu dan mengotakan apa yang dia kata.

Tampan dan tinggi

Tidak ada janji manis memujuk namun jarang hasil kerjanya mengecewakan. Bukannya seperti semua ahli politik kesukaan kamu.

Apabila pilihan raya semua bekerja untuk rakyat. Selepas itu pandai-pandai kamulah mahu jadi apa pun.

Yang membezakan Pak Hassan dengan adiknya adalah cara mereka berpakaian. Pak Hassan akan sentiasa dengan seluar jeans dan but koboi. Kemejanya juga adalah jenis koboi.

Kadang berbaju jeans dan kadangkala berbaju kotak-kotak. Dia adalah kutu nombor satu Kuantan.  

Janggut dan misainya ada iras-iras Ito Blues Gang. Cuma Pak Hassan lebih tinggi dan semestinya lebih kacak daripada  penyanyi itu.

Gambar hiasan

Pak Hassan adalah Ito kami sebelum Ito Blues Gang. Dia nampak blues tanpa perlu bernyanyi.

Mungkin juga kerana terpesona dengan kejantanan yang ditonjolkan Pak Hassan membuatkan kami juga berpakaian seperti dia. Yang tidak boleh kami tiru adalah ketampanan dan ketinggian Pak Hassan.

Dia berdiri hampir enam kaki manakala kami pula sedikit tinggi dari Ibrahim Pendek.

Selang beberapa minit mendapat berita yang Pak Hassan sedang sakit, kami dapat pula berita yang mengatakan bahawa Pak Hassan telah meninggal dunia.

Macam biasa, yang selalu menghantar berita kematian, Ading tadilah. Sesuai dengan keperibadian dia yang menyedihkan itu.

Kami berasa kehilangan seorang yang kami kenal dari jauh. Tidak ada cerita tidak baik yang kami dengar tentang Pak Hassan. Maka kami mahu menjadi saksi bahawa dia adalah daripada kalangan orang yang baik-baik.

"Buat baik, atau duduk ssajer. Tak payoh buat jahat," pesan Mok.

Mati itu datangnya tiba-tiba. Lalu berusahalah agar kita diingat sebagai manusia baik. Bimbang sedang kita leka mengata orang lalu meninggal dunia. Dan itulah nanti yang akan diingat orang.

Maka sia-sialah segala amal yang dikerjakan.

Selamat jalan Pak Hassan dan Salahuddin Ayub, dua orang yang diakui baik oleh semua orang.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang berjiwa rahmah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.