Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Umno: Tiada jalan patah balik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hakikat bahawa pilihan raya enam negeri ini diadakan berasingan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan sendiri memperlihatkan satu situasi yang tidak memihak kepada Umno sebermulanya. Seandainya enam buah kerajaan negeri ini dikuasai Umno, sudah tentu Dewan Undangan di negeri-negeri ini akan dibubarkan serentak dengan Dewan Rakyat pada tahun 2022, jikalau bukan sebelumnya.

Namun ini bukan alasan untuk mengaburi realiti bahawa Umno mengalami kemerosotan dari jumlah 42 kerusi DUN yang dimenanginya di keenam-enam negeri ini pada tahun 2018, kepada 19 kerusi lima tahun kemudian. Umno hampir “tercabut” di Pantai Timur Semenanjung, dan hanya “terselamat” di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 kerusi, itu pun satu kerusi kurang berbanding 15 kerusi yang diperolehi pada penggal lalu.

Cuma sagu hatinya, Umno diberi jawatan EXCO dalam kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Harapan kali ini, sungguhpun jumlah kerusi yang ditawannya berkurang, dengan peratusan kemenangan pada kadar 17.6% sahaja. Maka dengan jalinan kerjasama di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, Umno tidak kalah semua, memberi sedikit ruang nafas untuk Umno sebelum memasuki gelanggang pilihan raya akan datang.

Umno yang mirip PKR?

Kekalahan ini sudah menimbulkan kekocakan dalam Umno, dengan tuding-menuding antara pemimpin berhubung soal siapa yang harus dipertanggungjawabkan, di samping seruan untuk menuntut pembaharuan. Kemelut yang sedang melanda Umno ini sudah tidak boleh lagi ditutup dengan khayalan bahawa kegemilangan Umno bakal menjelma semula selagi kuasa digenggam dalam tangan.

Jikalau diteliti keputusan PR6N ini, kedudukan sebagai penyandang (incumbent) bukan lagi satu kelebihan. Undi pos juga tidak semestinya menyebelahi Umno, sungguhpun sebagai komponen parti pemerintah di peringkat persekutuan.

Pengumuman peruntukan nampaknya sudah tidak berkesan. Umno kini hanya boleh bersandar kepada saluran satu di pusat mengundi, satu generasi yang akan digantikan dari masa ke masa.

Semua pihak mahu Umno berubah, cuma perubahan yang dituntut berbeza mengikut keperluan masing-masing. Penyokong PH misalnya, dan terutamanya DAP mungkin mengharapkan Umno yang bersih dari rasuah, menyokong agenda pendemokrasian dan meraikan kepelbagaian, tidak bersikap perkauman dan lebih sederhana dalam tafsiran dan amalan dasar agama. Dengan kata lain, Umno yang lebih mirip PKR, dari segi ideologinya.

Namun kita sedia maklum bahawa Umno yang mirip PKR tidak memberi nilai tambahan untuk Kerajaan Perpaduan dalam usaha mengerah sokongan Melayu. PRU15 memberi gambaran jelas sejauh mana penerimaan pengundi Melayu terhadap gandingan PKR-DAP- Amanah – tidak menolak sepenuhnya, namun tidak memadai untuk memerintah bersendirian.

Maklumlah, sejak penubuhannya pada tahun 1999, PKR memasuki gelanggang pilihan raya bersama rakan sekutunya, sama ada PAS (dari PRU10 hingga PRU13), mahupun BERSATU (PRU14).

Secara idealnya, Umno yang mirip PKR memang dialu-alukan penyokong PH. Namun dari perhitungan realitinya, Umno yang mirip PKR sukar bersaing dengan PAS dan BERSATU untuk mendapatkan sokongan Melayu, apatah lagi apabila Umno menampilkan pimpinan tertinggi yang tercalit imejnya, Zahid Hamidi.

Nasionalis yang tidak rasis

Lantas ada yang mencadangkan Umno memposisikan dirinya sebagai sebuah parti nasionalis Melayu yang tidak rasis. Dari segi perbincangan akademik, ia idea yang baik dan menarik. Cuma cabarannya, sejauh manakah pimpinan Umno dari atas ke bawah, juga penyokong akar umbinya mampu menghalusi naratif perjuangannya, agar nampak tegas, tidak berganjak untuk mempertahankan kuasa Melayu, pada masa yang sama meraikan kemajmukan dan tidak menyinggung perasaan kaum minoriti?

Petik isu pendidikan pelbagai aliran, kuota universiti dan sebagainya, ia tidak mudah dikendalikan. Jawapan daripada Anwar Ibrahim pun tidak semestinya memuaskan semua kaum minoriti, apatah lagi andainya keluar dari mulut pemimpin Umno.

Jadi, apakah Umno harus mencuba nasibnya untuk kembali menjadi lebih Melayu berbanding Bersatu, dan lebih Islam berbanding PAS?

Nampaknya sukar, lebih-lebih lagi selepas PR6N. Pertama, andainya Umno mengambil posisi sedemikian, ia bakal bergeser dengan Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim, lantas kehilangan sokongan PH.

Kedua, jikapun Umno kembali untuk mendampingi Perikatan Nasional, sudah tentu ia akan dipinggirkan sepinggir-pinggirnya berbanding Bersatu dalam keadaan PAS semakin memuncak. Ruang Umno untuk berkembang pun terbatas pada masa depan jikalau pembahagian kerusi berdasarkan prinsip “kerusi ditandingi parti penyandang”. Ketiga, Umno sudah kehilangan upayanya untuk berdiri sebagai “kuasa ketiga”.

Jadi, apa jalan keluar Umno?

Kenalpasti kelebihan Umno

Suka atau tidak, pilihan Umno terbatas, seakan-akan sedang menjejaki nasib rakan sekutunya, MCA. Berbeza dengan MCA, Umno masih sempat membuktikan “nilai” dirinya sebelum terlewat. MCA terus menjunam selepas “tsunami politik” pada tahun 2008, apabila generasi muda Cina beralih ke DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu. Bukan sahaja pengundi, tetapi golongan cerdik pandai yang berbakat, tanpa terikat dengan ideologi tertentu, menjadikan PR sebagai wadah untuk menyerlahkan potensi dan kepakaran masing-masing. Kesannya pada hari ini, MCA ketandusan pimpinan yang cekap dan berwibawa.

Umno masih memiliki kelebihan yang tidak dimiliki PAS dan Bersatu, malah PKR dan Amanah. Pengalaman dan kecekapan untuk mentadbir membezakan Umno dari pemimpin PN; jaringan akar umbi Umno sudah tentu lebih luas dan kukuh berbanding PKR dan Amanah. Terpulanglah kepada pimpinan Umno untuk memanfaatkan kelebihannya ini sebelum terlewat. Umno perlu memastikan bahawa ia kekal sebagai satu wadah yang masih menjadi pilihan generasi muda Melayu sebelum mengulangi tragedi MCA.

Umno boleh membuktikan “nilai” dirinya dengan menonjolkan prestasi menteri-menterinya dalam kabinet, misalnya Azalina Othman Said, Tengku Zafrul dan figura-figura yang boleh menggarap imaginasi umum, sebagai anggota Kerajaan Madani yang berkesan untuk mengekalkan kesinambungan, sementara menjana pembaharuan dan memacu pembangunan.

Akhirnya, Umno perlu menyelamatkan diri sebelum ia boleh diselamatkan orang lain.

Seseorang yang meronta-ronta dalam air harus membuang segala beban yang membelenggunya tanpa teragak-agak supaya penyelamat yang datang menghulurkan tangan tidak tenggelam bersama.

Umno tidak kalah hanya kerana satu-satu faktor, begitu juga dengan parti politik yang lain.

Mungkin ada penyokong tradisionalnya yang tidak senang dengan keputusan Umno untuk bekerjasama dengan DAP, tetapi tepuk dada tanya selera, apakah dengan memutuskan hubungan dengan DAP sekarang, Umno boleh kembali cemerlang, gemilang dan terbilang?

Harinya semakin terbilang. Hakikatnya, tiada jalan keluar yang selamat untuk semua orang.

Dalam dunia yang semakin pantas berubah, ada kalanya memori menambat langkah kita, sama ada igauan mahupun nostalgia. Ada yang sibuk bertumbuk dengan bayang-bayang silam, ada pula yang ghairah menari-nari dengan irama lagu lama.

Akhirnya mereka yang berpura-pura tidur untuk dibuai dengan mimpi yang dikhayalkan, akan dikejutkan dengan realiti politik yang lebih seram dari filem hantu tempatan. Apa tidaknya? Penonton yang membeli tiket sekadar mampu bertepuk tangan, atau membalas dengan sorakan “boo” terhadap filem yang disukai atau tidak disukainya. Tetapi pengundi dengan kertas undi dalam tangannya, mampu mengubah jalan cerita dan kesudahan sejarah.

Itupun tanpa perlu mempamerkan kertas undinya.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.