Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Rampas buku: Dengan lidah sendiri pun Anwar bohong

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saudara Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan, pada tahun 1988 ada mengatakan:

"Saya sangat bimbang apabila melihat masyarakat kita yang tidak ada tradisi membaca, yang tidak membaca, sama ada buku lama atau baru, boleh berasa tenang dan gembira, sedangkan orang lain yang jauh lebih maju daripada kita, yang tidak ada masalah tradisi membaca seperti di Amerika, Perancis, Jerman dan negara-negara lain kini mula mempersoalkan rakyat mereka kerana tidak mahu membaca buku-buku yang penting dan utama dan mengikat diri mereka dengan sejarah, dalam usaha untuk membebaskan diri daripada tekanan dan kepalsuan hidup ini."

Anwar mengatakan lagi:

"Jikalau benar kita ini berfikir dan jikalau benar kita ini cendekiawan, sepatutnya kita berasa resah dan bimbang dengan suasana ini. Kita mesti mempunyai cita-cita dan idealism untuk membetulkan kelemahan-kelemahan itu. Kita harus memaksa diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita meneruskan perjuangan untuk membawa perubahan dengan mempertahankan tradisi ilmu ini".

Teks di atas dijadikan kulit depan Dewan Masyarakat pada bulan Februari 1988, iaitu 4 tahun selepas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan diperkenalkan oleh Mahathir Mohamad, iaitu pada tahun 1984.

Sekali lagi Anwar bila kembali ke tampuk pemerintahan, kali ini bukan sebagai Menteri Pendidikan lagi, tetapi sebagai Perdana Menteri Kesepuluh, beliau memuji Datuk Lat (kartunis tersohor tanahair) yang memuji Perdana Menteri, yang dalam kartunnya itu, di luar pejabat Anwar Ibrahim, pegawai-pegawainya menelaah buku-buku tokoh seperti Socrates, Lao-Tze, Confucius, dan Abu’l Fath Al-Busti.

Kartun satu muka surat ini untuk menggambarkan Anwar selaku Perdana Menteri yang kaki buku, dan pegawai-pegawainya juga pun terpaksa mengikut rentak bos mereka yang kaki buku. Dalam twitternya itu Anwar mengatakan, belum terlambat untuk memupuk budaya membaca. Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis.

Sekonyong-konyongnya, pada satu hari yang indah permai, burung-burung berkicauan dan bersiulan, pada hari jumaat, hari suci umat Islam, iaitu kira-kira hampir 300 hari dari Anwar menyeru tentang budaya ilmu itu, empat orang pegawai dari KDN telah datang ke Toko Buku Rakyat, di Wisma Central dan merampas dua buku di situ.

Maka bertempiaranlah, dan bercemperalah, dan berhamburanlah para pengikut dan pengagum beliau di dalam kerajaan dan di luar kerajaan. Apa sudah jadi? Mengapa jadi begini? Hanya macai tegar atau walanon sahaja yang kekal membabi buta menyondol di belakang Anwar, apa sahaja kata dan tindak dari regimnya, dibenarkan sahaja. Tetapi masih ada segelintir yang boleh berfikir, yang masih ada otak di kepala mempersoal, kenapa regim yang katanya Madani, batuknya reformasi, sembangnya keadilan, dan mengigaunya kebebasan masih bertindak begini? Masih represif terhadap buku, sepertimana regim-regim sebelum ini?

Dua buku yang dirampas itu ialah Koleksi Puisi Masturbasi karya Benz Ali dan keduanya ialah Marx: Sang Pendidik Revolusioner, karya Robin Small, seorang ahli akademik. Buku Benz Ali itu kali pertama dirampas, dan buku Robin Small itu telah kali kedua dirampas. Kali pertama buku itu dirampas ialah pada 2015. Dan sehingga kini, buku itu belum diharamkan. Persoalannya, adakah ini Madani dan Reformasi? Atau ini juga dikhianati Anwar seperti janji-janjinya yang lain?

Anwar sendiri perlu respons, bukan hanya Saifuddin

Kita tidak dapat mengharap banyak dari Saifuddin Nasution, kroni paling rapat Anwar Ibrahim ini. Kita pun tidak dapat memastikan krediblitinya atau ketajaman fikrahnya

melainkan menjadi orang kepercayaan Anwar. Kita tidak pernah melihat walau seketul buku pun yang dia hasilkan selama dia hidup. Dalam partinya sendiri dia telah kalah. Dalam Pilihan Raya Umum lalu pun telah kalah. Untuk menawan Kedah dari Sanusi pun dia telah kalah. Jadi sampai bila Anwar mahu menyimpan orang yang kalah ini dalam kabinetnya? Jadi apabila KDN sesuka hati merampas buku meskipun buku itu tidak berada dalam Senarai Perintah Larangan, kita harus mempertanyakan, adakah kamu serius dengan janji-janji reformasi kamu selama ini?

Reformasi itu adakah hanya sekadar lip-service, bak kritikan Tyra Hanim dari AMK terhadap Kementerian yang diterajui oleh Saifuddin? Adakah Reformasi hanya sekadar hendak menaikkan batang tubuh Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kemudian reformasi itu pulang ke rumah, menaiki bas, balik kampung dan mampus? Adakah reformasi hanya sekadar itu?

Reformasi itu, jika mahu diambil ketika era Indonesia bergolak, iaitu pada tahun 1998, ia bukan sekadar menumbangkan Orba (Soeharto), bahkan juga seterusnya membenarkan atau mengizinkan kebebasan ekspresi baik sastera, muzik, filem, buku dan lain-lain untuk naik ke permukaan. Bukan hanya untuk pergantian seorang pemimpin, ke pemimpin lainnya. Buku Madilog karya Tan Malaka yang selama ini tidak pernah muncul di kedai-kedai buku di Indonesia, selepas jatuhnya Orba, barulah karya itu mulai berkeliaran dan dijual di merata tempat.

Jika nak diambil lagi istilah asal reformasi itu iaitu dari Reformation di Eropah, pastilah reformasi yang dijeritpekikkan oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka dan di Sogo jauh panggang dari api. Kerana Reformation itu bukan sekadar pertukaran pemimpin ke pemimpin yang lain. Bahkan ada penyokong pembangkang -yang kedunguan dan kenaifan- menyangka bahawa demonstrasi itu ialah reformasi.

Marxisme mengubah dunia

Suka atau benci, kita tidak boleh menafikan peranan Karl Marx. Separuh dunia bergoyang disebabkan pemikir asal Jerman ini (Anwar sendiri menyebutkan di awal, negara Jerman.

Lupakah ia, atau tak membacakah ia bahawa Marx itu asalnya Jerman?). Amerika Latin, Rusia, China, Arab (seperti Mesir era Gamal Abdel Nasser), Asia Tenggara, bahkan Nusantara termasuk Indonesia dan Malaysia juga turut menerima tempias Marxisme atau Kiri yang diperjuangkan Marx. Soekarno mengarang Nasakom juga terinspirasi dari Marx.

Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy terinspirasi dari Soekarno. Dari situ kita boleh melihat pertalian ideologi pemikir-pemikir besar atau geneologi pemikiran perubahan masyarakat itu banyaknya disumbangkan atau boleh dikatakan mempunyai saham dari Marx.

Menafikan Marx dalam arus intelektual dan tradisi ilmu adalah seperti membakar begitu banyak khutubkanah dan khazanah keilmuan.

Adakah Anwar benar-benar membaca? Atau menurutnya kita hanya perlu membaca buku-buku tertentu sahaja untuk menobatkan diri kita sebagai pemikir? Yang anehnya dan bebalnya penguatkuasa atau polis pemikiran di era Madani ini, buku tentang Marx dari sudut pendidikan dirampas, tetapi buku Xi Jinping telah diterjemahkan dan dijual di Pesta Buku Antarabangsa, bahkan China -negara ditadbir oleh Parti Komunis China- menjadi Negara Tamu? Dan Anwar turut berucap di PBAKL 2023.

Tidakkah ini menampakkan kebebalan yang maha agung?

Reformasi institusi, bukan meneruskan kukubesi

Bahkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu diwujudkan ketika kita belum lagi memakai komputer. Melintasi begitu banyak generasi dan perubahan teknologi, akta yang ditaip menggunakan mesin taip itu, masih lagi dikekalkan di era smartphone dan AI ini. Mesin taip pun kita sudah tidak pakai lagi. Tetapi akta yang ditaip menggunakan mesin taip itu masih lagi dipakai. Di manakah reformasinya pada kerajaan yang beretorik Madani ini? Atau seperti kata Sanusi, buka mulut ja mohong, buka mulut ja mohong?

Akta yang digubal era Mahathir itu hanya bertujuan untuk melanggengkan kekuasaan tanpa kecaman dan kritikan pembangkang, yang pada era itu media utamanya ialah kertas, buku dan percetakan. Jadi penggunaan akta itu sememangnya untuk tujuan politik menekan pihak-pihak lawan.

Kita tidak pelik jika BN, atau PN bahkan atau PH yang dikepalai Mahathir yang meneruskan AMCP 1984 ini. Kerana wajah mereka, retorik mereka, ialah retorik authoritarian.

Tetapi apabila Anwar yang pagi petang siang malam berkokok tentang kebebasan, keadilan, budaya ilmu, reformasi, dan pelbagai lagi istilah yang menampakkan dirinya hebat dan kuat membaca, dalam masa yang sama akta menekan percetakan dan penerbitan masih dikekalkan, kita harus mempersoalkan adakah dia jujur dengan lidahnya sendiri? Ataupun dengan lidahnya sendiri pun dia berbohong?


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.