Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tuah Zimi lepas tak bebas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | "Kasut saya harga 5k bang," kata Zimi semasa dia menceritakan akan zaman mewahnya satu masa dulu.

Antara kebencian kami apabila memandu di lebuh raya adalah apabila dipintas oleh budak-budak rempit yang kononnya terbang bak Superman itu.  Selain mempamerkan kebodohan, mereka juga membahayakan pemandu lain.

Dan pada hari itu kami bertemu dengan salah seorang daripada mereka.

Zimi bukan saja mat rempit tetapi juga seorang peragut. Dia menceritakan betapa sebelum melakukan aksi di lebuh raya mereka biasanya akan menelan pil khayal.

Pil itu - menurut Zimi - akan menghilangkan perasaan takut.

Kerana itu kami jadi faham mengapa mereka melakukan aksi yang tidak berfaedah tersebut.

Daripada Zimi kami juga mendapat tahu betapa mat rempit menghabiskan wang yang banyak untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi.

Modal untuk berfoya-foya

Dengan "kuasa tinggi" itu tidaklah kami maksudkan motosikal yang berenjin kuasa besar sebaliknya motosikal biasa yang diubah suai supaya lebih kuat kuasanya.

"Nak laju sebab nak lumba ke?" tanya kami. Dan Zimi menerangkan bahawa memang ada yang mengubah suai kenderaan mereka untuk berlumba dan adakalanya taruhan untuk sesuatu perlumbaan haram mencecah ratusan ribu ringgit.

Apa yang lebih penting kepada mat rempit itu ialah berada di bahagian paling hadapan apabila keluar beramai-ramai berlumba tanpa taruhan di lebuh raya.

Kos mengubah suai motosikal mereka juga bukan murah.

Mereka membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk tujuan tersebut. Di situlah terletaknya antara sebab mengapa mereka mencuri motosikal dan juga meragut.

Menurut Zimi, kini ada seorang pengubah suai motosikal yang sangat terkenal di Malaya ini. Kami lupa siapa namanya, namun menurut Zimi pomen itu mempunyai akaun TikTok dan sering mempamerkan hasil kerjanya di sana.

Pomen itu juga rajin mempamerkan kemewahan hidupnya hasil daripada kerja merobek motosikal itu.

Gambar hiasan

Wang yang diperolehi daripada hasil meragut ini bukan saja digunakan untuk memperelok motosikal bahkan yang terlebih penting ialah untuk tujuan berfoya-foya.

Katakan mereka dapat emas semasa meragut. Ia akan dijual kepada satu kumpulan yang memang sudah sedia untuk meleburkan logam tersebut.

Hasilnya akan digunakan untuk berhibur dan juga membeli dadah. Ia juga menjadi modal untuk mereka berjudi.

Semasa zaman mesin kuda berlambak di seluruh negara, mereka adalah pelanggan yang paling setia. Mereka menghabiskan ribuan ringgit setiap hari untuk tujuan tersebut.

Hasil daripada kerja haram itulah yang membolehkan mereka bergaya dengan barangan berjenama.

"Duit mudah bang... jolilah, beli baju ribu-ribu, kasut ribu-ribu. Bukan duit kerja keras.

"Keluar ronda satu dua jam, kalau nasib baik boleh dapat ribu-ribu," cerita Zimi.

Terfikir nak berhijrah

Zimi juga memberi sedikit tip apabila berurusan dengan peragut.

"Jangan melawan bang, diorang bukan fikir apa-apa. Kalau lawan, dibuatnya dia ada parang, dia tetak bang.

"Kepala tengah penuh, apa pun tak fikir," kata Zimi.

Menurut Zimi juga, apabila berlaku kemalangan, mereka akan tiba dulu kerana memang mereka sentiasa berada di atas jalan raya. Selain menolong mangsa kemalangan, mereka juga mengintai peluang.

Jika mangsa memakai barang kemas, maka sambil menolong mangsa, mereka juga akan menolong diri sendiri. Mereka juga akan mengambil tas tangan atau dompet dan apa-apa barangan yang berharga yang ada dalam kenderaan yang terlibat.

Zimi duduk dalam kegelapan dari usia 18 tahun sehingga ke usia awal 30-an. Pada suatu masa datang semacam kesedaran sehingga dia mulalah memikirkan kehidupan yang baru.

"Saya ingat nak berhijrah bang, tapi terfikir pulak - saya dari kampung dan hijrah ke bandar kemudian jadi jahat.

"Dah tu, nak hijrah mana pulak lagi? Takkan nak hijrah balik kampung?" cerita Zimi lagi.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk balik ke kampung dan bermula dari sifar semula. Hari ini dia adalah seorang lelaki yang stabil dari segi jasmani dan rohani.

"Makan apa yang ada je la bang... janji tak menyusahkan orang. Tapi sesekali ranggi jugak bang," kata dia sambil gelak besar.

Ranggi itu maknanya adalah apabila kamu menunggang motosikal sambil keluar masuk di antara kenderaan yang banyak di atas jalan raya.

Zimi yang kami kenal itu juga seorang yang sangat pandai memasak, selain seorang yang sangat pembersih. Kami masih tidak berkenaan kepada budak-budak rempit dan penunggang motosikal yang gila membunyikan hon semasa menyelit dalam kesesakan lalu lintas.

Namun kami suka akan Zimi. Yang mujurnya adalah Zimi tidak pernah tertangkap.

Nasib Zimi adalah sangat baik, kerana jika tidak, mana mungkin dia yang melakukan kesalahan sebegitu banyak boleh dilepaskan tanpa dibebaskan macam kawan kamu yang satu itu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.