KOLUM | Bersahabat dalam politik
KOLUM | Keputusan pilihan raya kecil (prk) di Pulai dan Simpang Jeram membuktikan usaha PN-PAS menerobos Johor menemui kegagalan. Bangsa Johor ternyata tidak taasub kenegerian sebaliknya bangsa yang memperkukuh roh kebangsaan negara.
Keyakinan PN terlihat apabila pentas pidato mereka gegak-gempita dengan suara para 'panglima' yang bermodalkan pencapaian mereka semasa PRU lalu di Pantai Timur dan di utara.
Paling ketara - dan mudah - memanglah menggunakan modal propaganda menakut-nakutkan bangsa Johor akan 'ancaman' kedaulatan agama dan bangsa bakal tercabut jika PH menang.
Memang nikmat memanggang saudara dan sahabat sendiri selepas mereka dianggap tidak sehaluan dengan garis tuhan. Batas di antara saudara dan sahabat dengan musuh dipisahkan oleh perbezaan slogan dan lambang.
Begitulah naifnya sesetengah Melayu berpolitik.
Semasa kemuncak krisis dalaman PAS pada 2015, saya menulis puisi Keris Melayu yang disisipkan dalam novel satira Pembunuhan di Tanah Perkebunan. Ia adalah persengketaan saudara serumpun dan seagama dalam perjuangan.
Orang Melayu itu lemah lembut
pemalu, penuh tatasusila.
Sesekali orang Melayu itu kejam
tidak berperikemanusiaan.
Kalian lihatlah bagaimana keris dibentuk
berliku-liku tumpul.
Di hujungnya ada racun
sekali tertusuk ke tubuh musuh
bukan sehari dua akan mati
tidak seminggu.
Berminggu-minggu
menanggung azab derita bisanya keris Melayu
Tidak sebagaimana pedang Arab
sekali libas tersungkur musuh
Orang Melayu bijak menggunakan kata-kata.
Kata-kata yang beracun
akan membunuh saudaranya
sahabatnya
beransur-ansur.
Dan ketika itu
Hang Tuah akan kehilangan Hang Jebat
kita kehilangan sahabat.
Puisi itu tercipta secara spontan. Berdiri di depan pentas, saya lontarkan segala kata dan rasa yang terpendam dalam jiwa.
Idea terbit dari himpunan peristiwa yang berlaku setahun dua sebelum itu. Dalam sedar, puisi spontan itu diluahkan. Episod drama pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat menunjukkan bahawa politik Melayu sudah lama diasaskan kepada nilai kesetiaan dan ketuanan.
Makna sebuah persahabatan
Bukan mahu mempertahankan tindakan Hang Tuah atau Hang Jebat. Kedua-dua panglima ada kekhilafan dalam membuat keputusan. Tapi perubahan perlu berlangsung seperti menarik rambut dalam tepung.
Nilai persahabatan tetap perlu dipertahankan.
Dua PRK baru-baru ini adalah medan menguji keserasian hubungan BN dan PH. Ia bukan soal untuk menentukan tahap persahabatan sebaliknya proses politik yang memerlukan resipi yang baik bersama tukang masak yang bijak.
Pentas program kami pada malam itu terletak di Taman Dahlia, Pulai. Ia turut dihadiri Menteri Besar Perak, Shaarani Mohamad dan bekas Menteri Besar Kedah, Mahdzir Khalid.
Mereka datang bersama rombongan petugas dari negeri masing-masing. Dukungan mereka kepada calon PH adalah cerminan sokongan pengundi akar umbi Umno di Johor.
Pujukan dan ajakan pidato mereka kemudian diterjemahkan pada hari pengundian. Itu lebih penting daripada ceramah berdegar-degar di hadapan lautan pengundi luar tetapi tidak menang.
Pada malam kedua program di Simpang Jeram, ia turut dihadiri Adun Skudai, Marina Ibrahim, bekas Adun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh, serta beberapa pemimpin tempatan.
Semuanya bersepakat mahu mempertahankan legasi bekas Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub. Itu antara petanda permulaan memaknakan sebuah persahabatan.
Malam itu majlis dimulakan dengan lagu Negaraku dan Bangsa Johor. Kemudian, Imam Za’ba membuka majlis dengan doa dan diaminkan orang ramai.
Dalam doanya, dia memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan iblis, syaitan dan manusia yang berniat jahat. Liarnya gelombang jahat memang tidak dapat ditahan oleh sesiapa kecuali dengan kehendak-Nya.
Imam Za’ba adalah wakil calon kepada Suhaizan Kaiat dan pernah menjadi wakil calon kepada arwah Salahuddin dulu. Dia bersetia pada pendekatan dakwah rahmatan lil alamin walaupun terpaksa kehilangan ramai kawan.
Merendahkan fikiran orang
Sewaktu berdoa, dia tidak memohon tuhan memusnah atau membinasakan musuh seperti yang pernah dilakukan ulama dan pimpinan PAS
Pada masa sama hubungan politik yang setahun jagung tidak mungkin matang dan kukuh. Ujian demi ujian sentiasa menuntut kesabaran dan pengorbanan daripada PH dan BN.
Ia adalah kesanggupan yang seimbang. Tidak boleh sepihak sahaja yang terkorban atau dikorbankan.
Kini masa untuk semua pihak memikirkan jalan mengukuhkan kerajaan perpaduan. PH pula jangan sesekali dilihat mempertahankan kesilapan lalu Umno. Biarlah yang salah dihukum melalui mahkamah.
PH juga tidak boleh berlagak maksum dan sombong.
Apabila mahkamah membuat keputusan melepaskan tetapi tidak membebaskan 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid Hamidi, ia mengejutkan. Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan pihak pendakwaan yang mahu prosiding kes berkenaan dihentikan.
Kemudiannya diikuti berita keputusan mahkamah membebaskan Bung Moktar Radin dan isterinya. Ia seperti satu bom berangkai pada langkah terakhir ke garis penamat.
Setelah itu, muncul para hakim jadi-jadian seperti cendawan tumbuh lepas hujan di pelbagai platform.
Ketika itu adalah detik kritikal dalam kempen pilihanraya. Namun dalam tempoh itu, kerajaan berdepan pelbagai ujian. Selepas menang, Muda pula menarik diri dari blok kerajaan, sekali gus menafikan majoriti mutlak PH-BN di Dewan Rakyat.
Apakah anak muda ini belum mengenal bulu dan kulit sahabat? Atau sedang menghitung harga sebuah persahabatan? Usah bicara soal idealisme. Yang kita bicarakan sekarang adalah pertimbangan idealisme dengan realiti semasa.
Kata Carl Jung, berfikir itu sulit. Justeru kebanyakan orang gemar menghakimi berbanding cuma memahami. Ini termasuklah dalam bab membawang, memrendah-rendahkan buah fikiran orang, berfikiran dan bertindak diskontruktif.
Persahabatan dalam politik Melayu memang wajar ditekuni sedalam-dalamnya. Politik Melayu belum mengenal politik demokrasi. Seperti Syed Saddiq sendiri-sendiri tenggelam dalam kemarau persahabatan.
Bebas dari perangkap perkauman
Cabaran kerajaan pada hari ini adalah membina naratif perpaduan. Langkah pembinaan dari segi dasar dan pelaksanaan sudah berlangsung. Kerajaan mungkin ada masalah melawan persepsi yang dilonggokkan PN dalam media sosial.
Dalam sains politik, media adalah cabang keempat negara selain entiti eksekutif, legislatif dan kehakiman. Media memainkan peranan mengimbangi kuasa yang menentukan arah tuju negara.
Media kerajaan perlu menekankan perpaduan berasaskan semangat Melayu yang progresif. Pada masa sama ia memerlukan sokongan dari media sosial yang lebih membumi.
Media sosial memiliki kelebihan tersendiri. Jangan diabai atau dipandang ringan media sosial. Ia tidak diikat dengan sistem birokrasi dan makenisme pergerakannya lebih organik.
Idea Melayu sebagai baka disemai dengan racun perkauman yang sempit oleh PN. Gelombang ini bahaya. Sedangkan PH sedang mempelopori idea Melayu sebagai falsafah berbangsa, bernegara dan beragama.
Bukan Melayu baka yang terperangkap pada sangkar perkauman yang sempit dan fahaman agama yang jumud.
Melayu yang memiliki budaya jati diri tetapi mampu terbang ke langit tinggi. Melayu yang mempunyai daya saing dengan kaum-kaum lain. Tidak bergantung dengan kad pengenalan atau darah keturunan. Melayu yang mandiri dan progresif akan membawa masyarakat ini maju ke hadapan.
Melayu progresif itu berada dalam kerajaan perpaduan pada hari ini. Gabungan PH-BN tidak sempurna tetapi merupakan pakej pakatan politik yang mampu memelihara rukun negara dan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.
Pada akhir majlis, Ito Blues Gang mengalunkan lagu Khatulistiwa:
Hapuskan kawan segala sengketa
Marilah hidup dalam harmoni.
Inilah waktunya kita hidup bersama, meski kita berbeza bahtera, sahabat!
MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai