Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Reformasi sudah mati?

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOLUM | Kita baru sahaja melintasi 16 September, suatu hari yang telah ditabalkan sebagai Hari Malaysia. Ia menjadi Hari Malaysia kerana pada tarikh inilah Malaysia wujud iaitu antara Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah serta Sarawak.

Tarikh 31 Ogos pula ialah hari Tanah Melayu diisytiharkan merdeka. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai Tanah Melayu (atau Malaya), kerana itu Malaysia belum wujud lagi pada 31 Ogos 1957.

Tetapi bulan September bukan sahaja mengandungi hari 16 September, bahkan juga mengandungi hari atau tarikh 20 September, yang dikatakan ramai sebagai hari bermulanya gerakan Reformasi di Malaysia ini.

Sebelum tarikh 20 September, ialah tarikh 2 September iaitu tarikh Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan Umno-BN buat selama-lamanya. Pemecatan Anwar pada 25 tahun yang lepas itulah yang telah banyak mencorakkan dan merubah landskap politik Malaysia.

Pemecatan Anwar 25 tahun lepas juga menandakan teriakan atau jerit pekik Reformasi di Malaysia. Terpecatnya Anwar dari tampuk kekuasaan yang hanya selangkah lagi untuk menjadi perdana menteri, ialah tanda bermulanya episod baru politik Malaysia yang menyaksikan pertembungan secara terbuka antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad.

Politik Malaysia sebelum itu bergerak agak perlahan meski PAS berjaya mendapatkan Kelantan pada tahun 1990. Perlawanan untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN ternyata sangat perlahan ketika itu. Hanya selepas berlakunya pemecatan Anwar, barulah terwujudnya parti Keadilan, yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Nasional (PKN) sebelum akhirnya nanti menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apa itu Reformasi?

Reformasi bukan sekadar tentang Anwar, seperti dinyatakan dalam tulisan Hishamuddin Rais seputar tajuk yang sama yang pernah disiar Malaysiakini. Menurutnya, Reformasi melangkaui Anwar. Reformasi bersurah tentang penghapusan ISA, kebebasan media, membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tetapi jika ditinjau satu demi satu apa yang dikatakan menjadi agenda Reformasi, kita wajar lebih kritis dan skeptik. Antaranya seperti ISA, bukan dihapuskan oleh regim Anwar, sebaliknya dihapuskan oleh Najib Razak. Pada era Najib itulah dihapuskan ISA. Walaupun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kemudiannya diperkenalkan.

Sosma bukanlah pengganti ISA, kerana tujuan Sosma lebih kepada pengganas. Ya, benar. Tulisan ini bukanlah hendak menjustifikasikan Sosma juga Najib yang memperkenalkan Sosma.

Najib Razak

Tetapi barang diingat, Najib tidak pernah pula menjanjikan atau beretorik, seperti “hari ini saya menang, esok saya hapuskan ISA, Sosma” dan seumpamanya. Itu semuanya adalah retorik Pakatan Harapan (PH) atau Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Najib menghapuskan ISA, sementara PH pula ketika menjadi kerajaan mengatakan akan mengekalkan Sosma. Jadi di mana Reformasi?

Dalam bab kebebasan media, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengancam rakyat yang mengkritiknya dengan ancaman patrol car atau radio car yang akan menanti rakyat di luar rumah mereka. Belum dicampur lagi dengan isu rampasan buku baru-baru ini di Toko Buku Rakyat, juga dengan masih mengekalkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ini berlaku ketika Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan orang kepercayaan Anwar menjawat jawatan menteri dalam negeri. Jadi kita harus bertanya, di mana Reformasi?

Jika kita mengatakan PH serius dengan membanteras rasuah, kita boleh lihat, bukan sahaja kes Bung Moktar yang dilepaskan, bahkan juga kes Zahid Hamidi yang kini rakan baik Anwar. Apa sahaja alasan yang diberikan Anwar dan regim Madani sekalipun, orang melihat ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar satu alasan untuk Anwar terus menjadi perdana menteri.

Jika Zahid didakwa atau tarik diri dari Kerajaan Perpaduan ini, maka robohlah sudah cita-cita Anwar untuk bertahan selama satu penggal sebagai perdana menteri. Tidak perlu lompat parti pun, hanya cukup Zahid didakwa, maka berkecailah sudah angan-angan yang dibina untuk kekal lama sekurang-kurangnya sehingga habis satu penggal.

Silap haribulan, tempoh Anwar memerintah tidak lebih daripada tempoh Ismail Sabri memerintah selaku perdana menteri. Di sini kita boleh lihat, kehendak Anwar menjadi perdana menteri lebih kuat berbanding hasrat menjadi pelaksana agenda Reformasi.

Juga dalam bab beliau menjadi perdana menteri, dalam masa yang sama menjadi menteri kewangan Malaysia. Sedangkan bertubi-tubi kritikan dan hentaman yang sama ditalakan pada Najib satu ketika dulu dalam ceramah-ceramah PH atas situasi sama. Jika ini bukan hipokrasi, kita harus bertanya apa itu hipokrasi?

Pendokong-pendokong Reformasi harus lebih jujur dan serius, bukan sekadar beromantis dengan kenangan-kenangan masa lalu. Bukan sekadar bernostalgia dalam “urban warfare”, berlari-lari di depan Sogo, depan Masjid Jamek, dikejar polis dan ditembak gas pemedih mata. Reformasi harus tidak dikelirukan dengan perkataan demonstrasi.

Kita tidak boleh menafikan Reformasi 1998 telah memberi kepada rakyat Malaysia banyak hal yang telah dinafikan selama ini oleh Mahathir. Antaranya seperti dakwat kekal untuk pengundi, pendaftaran pengundi automatik, undi 18, siaran perbahasan untuk Sidang Perbahasan Parlimen, dan bermacam-macam lagi.

Tetapi harusnya kita tidak sekadar beromantis dan mengatakan agenda reformasi sudah selesai atau perdana menteri berada di landasan yang betul dalam agenda reformasi apabila masih lagi ada hal yang tidak diselesaikan. Kebanyakan yang diselesaikan itu (disebutkan di atas) bukan berlaku oleh regim Madani dan Kerajaan Perpaduan. Reformasi seperti dikatakan Hishamuddin dan lain-lain penggeraknya haruslah melangkaui Anwar.

Itu secara idealistiknya. Tetapi kita harus jujur bahawa kebanyakan yang diperoleh hari ini, bukanlah ketika Anwar menjadi perdana menteri. Malang sekali agenda Reformasi seakan dikhianati apabila Anwar menjadi perdana menteri.

Seperti kera dapat bunga

Apabila Anwar sudah masuk ke Putrajaya selaku perdana menteri, beliau dilihat seperti kera mendapat bunga. Kita tidak dapat (baca: belum lagi) melihat apa-apa agenda besar yang hendak dilakukan beliau. Selain beliau tidak mahu membuat apa-apa lagi projek besar, beliau hendak memfokuskan pada tandas sekolah dan pengajaran hadis 40! Seolah-olah inilah grand idea yang ada dalam kepalanya.

Beliau seperti tidak tahu atau tidak menjangka beliau akhirnya menjadi perdana menteri. Sikap suka bersyarahnya itu semasa menjadi pembangkang masih terbawa-bawa walaupun beliau sudah menjadi perdana menteri. Seorang perdana menteri yang penuh dengan agenda Reformasi, sepatutnya tidak harus membuang begitu banyak masa untuk bersyarah sana-sini.

Zaman bersyarah sudahpun khalas. Kini masa untuk memikul tugas. Serahkan kerja bersyarah kepada orang lain, sesiapa sahaja yang bukan perdana menteri. Perdana menteri sebelum ini pun tidaklah kuat bersyarahnya jika dibandingkan dengan Anwar, yang bukan sahaja terkenal sebagai perdana menteri yang kuat bersyarah, bahkan juga paling banyak mengeluarkan jargon.

Tun Razak ketika menjadi perdana menteri lebih banyak turun berjumpa rakyat untuk melihat projek-projek rakyat segera dilaksanakan. Walaupun umurnya singkat, tetapi jasanya sehingga kini tidak boleh dinafikan. Anwar tidak mempunyai banyak masa lagi. Syarahan-syarahan harus disodok ke tepi.

Beliau selaku perdana menteri harus punya visi dan misi. Masanya tidak begitu banyak lagi. Anwar kini sudah berumur 76 tahun. Empat tahun lagi, beliau sudah berumur 80 tahun. Masa yang dia ada sekarang bukan untuk bersukaria, atau berbahas dengan setiap pelajar sekolah yang dijumpainya.

Empat tahun yang ada harus digunakan sebaik yang mungkin. Reformasi mesti diteruskan tanpa henti. Akta-akta draconian harus dicabut satu demi satu. Sekurang-kurangnya satu tahun cabut satu akta yang dibuat Mahathir.

Jika tidak, orang akan menggantikan slogan reformasi dengan “reformati” - seperti judul sajak yang mengakhiri tulisan ini.

Reformati! Reformati! Reformati!
Reformasi sudah mati,
Bila tatakelola jadi tatakelaut,
Bila demokrasi jadi kukubesi,
Reformasi sudah mati,
Bila institusi tiada reformasi,
Reformasi sudah mati,
Bila ampunkan penyamun,
Reformasi sudah geli,
Bila maling besar dilindungi,
Reformasi sudah basi,
Bila sekadar petik Qardhawi, Raniri,
tapi jauh panggang dari api,

Reformasi sudah tiada apa-apa erti,
bila pemimpin hanya sekadar mahu panaskan kerusi

Reformasi sudah mati,
Bila sebelum ini demonstrasi sana sini
Tapi hujung-hujungnya masih bebaskan korupsi,
Reformasi sudah mati,
Bila komedi yang sama, masih terjadi
Reformasi sudah mati,
Bila segala janji dimungkiri,
Bila sekadar syarah sana sini, bila sekadar tukar perdana menteri,
Tapi akta-akta drakonian masih menguasai,
Reformasi sudah mati.
Bila buku masih diawasi,
Bila buku masih diintimidasi,
Bila buku masih ditakuti,
Bila bekas menteri pura-pura tak mengetahui,

Itu erti,
Reformasi sudah mati.
Reformati! Reformati! Reformati!


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.