Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Jejak-jejak kelahiran Amanah

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOLUM | Politik jarang percaya pada sejarah dan angka. Sejarah dan fakta hanya bermakna jika ia menguntungkan sendiri, atau menyakitkan musuh.

Politik memang meliar begitu. Jika jinak pun, mungkin sekadar untuk berpura-pura agar kelihatan bijaksana.

Pada masa yang sama menulis sejarah adalah suatu keperluan buat menjadi rujukan kepada sesiapa yang percaya bahawa sejarah itu sendiri adalah politik.

Dalam politik, demi meneruskan kemaraan menggapai kuasa, apa saja cara akan dilakukan dan itulah politik liar yang tidak menggunakan ketinggian akal fikiran dan peradaban.

Politik liar menggunakan kekerasan fizikal bagi menguasai lawan. Antara cara yang digunakan termasuklah melalui ugutan, kecaman dan kata-kata kasar serta biadab.

Kemuncak politik liar ialah penggunaan kekerasan fizikal termasuklah membunuh. Itulah yang berlaku di negara-negara bergolak seperti di Timur Tengah dan serata pelosok dunia.

Politik liar jugalah menjadi latar kepada terlahirnya Amanah lapan tahun lalu.

Lahirnya parti Amanah adalah hasil daripada pertembungan kelompok progresif dengan konservatif dalam PAS sejak 2008. Ia mencapai kemuncaknya kira-kira tujuh tahun kemudian.

Ada karisma sendiri

Naratif kelompok konservatif pada awalnya berlegar dalam kalangan mereka sahaja terutama melalui program-program yang diatur oleh lajnah (biro) tarbiah atau Dewan Ulama PAS.

Mereka gagal menguasai medium rasmi parti, Harakah kerana ia dikawal golongan progresif terutama dari segi pemberitaan. Namun tokoh-tokoh konservatif dan golongan ulama masih mempunyai tempat dalam akhbar itu.

Akhbar sifatnya bukan sekadar wadah menyampaikan berita sebaliknya medium idea dan visi agar boleh dibaca orang awam. Sebahagian pimpinan PAS dari jalur konservatif menimbulkan isu-isu dalaman parti, manakala kalangan progresif yang membawa idea kenegaraan dan masa hadapan.

Naratif golongan konservatif tidak mendapat tempat untuk khalayak pembaca kelas menengah. Mereka juga gagal berhujah apabila berhadapan dengan kumpulan luar parti terutama kalangan bukan Islam.

Dalam kalangan pemimpin pusat, kelompok konservatif kehilangan taring terutama selepas ketiadaan Harun Taib dan Abu Bakar Chik yang memiliki karisma tersendiri, selain mampu berhujah dengan baik dan berani menyatakan pendirian masing-masing.

Abdul Hadi Awang pula dilihat seolah-oleh bersendirian semasa berhadapan dengan golongan progresif yang lebih menguasai suasana mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada masa sama suara-suara dari luar mesyuarat mengambil tempat mempertahankan pemimpin melalui media sosial. Dalam usaha itu, sebahagiannya menggunakan pendekatan yang keras dan melangkau batas kebiasaan dalam berbeza pandangan.

Dzulkefly Ahmad yang ketika itu menjadi pengarah Pusat Penyelidik PAS Pusat serta ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyatakan bahawa dia sudah hilang hormat kepada pihak yang menggelar diri mereka ulama dalam PAS tetapi memaki hamun sesama sendiri.

Kemudian sekumpulan ahli PAS yang turut disertai Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik, mengadakan demontrasi di hadapan ibu pejabat parti kerana mendakwa Mohamad Sabu berpakat dengan Dr Hatta Ramli untuk menggulingkan Abdul Hadi.

Turut serta dalam demonstrasi tersebut ialah pendakwah berpengaruh, Nazmi Karim.

Kedua-dua mereka adalah watak penting dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berlangsung di Marang, Terengganu pada 19 hingga 22 Mac 2015.

Program tersebut mempunyai serampang banyak mata. Selain meningkatkan jaringan hubungan PAS di peringkat antarabangsa, ia juga kesempatan terbaik mewujudkan ikatan kelompok konservatif dalam parti bagi berhadapan dengan kumpulan progresif.

Tak berakhlak minta jawatan

Begitu juga pelbagai program yang disusun oleh kelompok konservatif seperti usrah, liqa’ fiqr dan juga ijtimak - ia adalah serampang pelbagai mata.

Di sesetengah tempat, program tersebut dijadikan ruang dan kesempatan untuk suatu pihak mengkritik kelompok lain.

Muktamar PAS yang bersekali dengan pemilihan di Kuala Selangor pada 2015 dijadikan medan untuk mengubah wajah parti. Tuan Ibrahim Tuan Man sudah bersetuju untuk mencabar Mohamad bagi jawatan timbalan presiden.

Suasana berkempen kedua-dua belah pihak pun semakin rancak.

Tuan Ibrahim mewakili golongan konservatif dan ulama, manakala Mohamad dianggap barisan depan golongan progresif, moderat dan profesional.

Walaupun pengkategorian itu tidak tepat, namun secara umumnya ia hadir bagi menunjukkan wujudnya dua kelompok yang berbeza.

Pada 4 Jun 2015 semua watak yang membawa idea progresif dikalahkan secara en bloc. Ketika proses pengundian berjalan, para perwakilan tanpa segan silu berkempen dengan mengedarkan cai.

Kebiasaannya dalam kempen dalaman PAS, sesiapa saja yang membawa pendekatan berkempen sangat ketara akan tolak. Hal itu kerana ia dianggap sebagai meminta jawatan.

Dalam disiplin pemikiran ahli PAS, meminta jawatan adalah perbuatan tidak berakhlak. Pun begitu di Kuala Selangor pada 2015, keadaan berubah.

Walaupun ada kelompok tidak meminta jawatan, tetapi mereka 'merestui' pengikut atau orang masing-masing berkempen bagi pihak dirinya.

Dalam ucapan penangguhan, Abdul Hadi secara terbuka mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan agar menubuhkan parti baru sebagai wadah perjuangan.

Namun, Mohamad yang kalah kepada Tuan Ibrahim menegaskan agar semua ahli terus istiqamah dalam PAS. Barisan tokoh yang kalah akan memberi sokongan kepada kepimpinan baru.

Namun kenyataan Mohamad bertahan hanya beberapa bulan apabila dia sendiri kemudian menggerakkan wadah lain bersama beberapa tokoh PAS.

Bertempat di Markas PAS Bakri di Muar, lahirlah Gerakan Harapan Baru (GHB).


MUHAIMIN SULAM ialah bekas ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat dan kini menjadi anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.