Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Selepas G18 'gugur setandan'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Ketika saya hadir pada hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil di Simpang Jeram, ingatan saya bukan semata-mata kepada susuk Salahuddin Ayub, bahkan pada sejarah tertubuhnya Amanah.

Simpang Jeram (dahulunya dikenali sebagai DUN Sungai Abong) adalah tuan rumah kepada pelancaran Gerakan Harapan Baru (GHB). Ia berlangsung di Markas PAS Bakri pada 2015.

GHB itulah kemudian melahirkan Amanah yang ada pada hari ini. Lokasi tersebut pula kekal sebagai markas PAS sehingga kini.

Pada PRU 2018, Amanah mencalonkan Salahuddin sebagai pertaruhan PH untuk kerusi DUN dun tersebut. Dia menang, dan kemudian mengekalkan kerusi itu dalam pilihan raya negeri 2022.

PRK baru-baru ini adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Salahuddin.

Sejujurnya memang ada kebimbangan dalam diri saya mengenai 'gelombang hijau' yang berlangsung. Ia menjadi lebih mendebarkan kerana perjuangan mempertahankan Simpang Jeram dan kerusi parlimen Pulai bukan sekadar maruah parti.

Ada legasi sejarah lebih besar yang jadi pertaruhan sebahagian daripada kami khususnya dalam Amanah.

Lapan tahun lalu - atau tepatnya 14 Jun 2015 - di Taman Melawati sekumpulan pimpinan PAS membincangkan hala tuju politik negara selepas Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor.

Pertemuan selepas disingkirkan

Dalam wacana itu, setiap negeri menghantar tiga wakil untuk memberikan pandangan masing-masing. Deklarasi Melawati kemudian terhasil dan ia berbunyi:

‘Wacana Melawati mengambil keputusan berdasarkan dapatan minda peserta dengan ini secara konsensus bersetuju menubuhkan parti baru yang berteraskan Islam, merangkumi ciri-ciri progresif, demokratik, moderat, berintegriti dan mendukung Pakatan Rakyat’.

Dua hari selepas itu PAS Bakri menganjurkan program ‘Malam Jasamu Dikenang’ untuk menghargai 18 orang bekas pimpinan parti yang disingkirkan secara berjemaah.

Tidak semua kalangan yang kalah itu hadir. Pada masa sama laungan untuk menubuhkan parti baru Islam semakin kuat dan mendapat sokongan.

PAS Johor merupakan antara negeri yang kuat menyokong idea penubuhan parti baru. Sebelum program bermula pada sebelah malam - pada jam 5 petang bertempat Hotel Traders, Muar - diadakan satu pertemuan tokoh-tokoh PAS yang digelar G18.

Ia adalah 'nama' bersempena 18 ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang ditolak dalam pemilihan semasa muktamar di Kuala Selangor.

Selain Salahuddin, tokoh lain yang disingkirkan itu ialah Mohamad Sabu, Husam Musa, Mahfuz Omar, Hanipa Maidin, Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Dr Siti Mariah Mahmud, Amiruddin Hamzah, Kamarudin Jaffar, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Anuar Tahir, Nizar Jamaluddin, Mujahid Yusof, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Suhaizan Kaiat, Zulkefly Omar dan saya sendiri.

Asmuni Awi dan Syed Azman Syed Ahmad pula tidak bertanding dalam pemilihan PAS, dan tidak pula dilantik semula menganggotai ahli berkenaan selepas muktamar tersebut.

Beberapa kalangan yang bukan ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013/2015 yang ke hadapan dalam G18 termasuklah Aiman Athirah al-Jundi, Izham Hashim, Ahmad Sabky Yusuf dan penyanyi Aishah.

Hanya Mazlan Aliman saja daripada kumpulan kami yang menang dalam pemilihan tersebut. Bagaimanapun dia meletak jawatan beberapa hari selepas memenangi jawatan tersebut sebagai tanda solidariti dengan G18.

PAS Johor - yang diketuai Aminolhuda Hassan - mengadakan program PAS Menuju Perubahan.

Guna kaedah demokrasi

Ia kemudian menghasilkan Deklarasi Bakri yang membuat ketetapan untuk terus istiqamah bersama PAS dengan organisasi teratur, atau sebahagian kekal bersama PAS bersama strategi tertentu dan sebahagian yang lain menyertai parti baru.

Ketika itu wujud pertembungan di antara rasa sayang PAS dengan realiti politik semasa yang menuntut ahli meninggalkan wadah perjuangan itu.

Deklarasi Bakri juga mencadangkan Mohamad dan Salahuddin sebagai dua pemimpin utama mengetuai jawatankuasa bertindak di peringkat pusat bagi membentuk wadah perjuangan baru.

Ia akan melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bagi menggembleng kebangkitan rakyat.

Deklarasi itu disaksikan 118 orang yang hadir dalam majlis perbincangan tersebut. Wadah itulah pada akhirnya dijadikan sebagai GHB.

Penganjur meletakkan tiga asas pembentukan wadah baru itu.

Aminolhuda Hassan

Pertama, memelihara dan menjaga nama baik Islam yang tercalar oleh fitnah kepartian dan politik terdahulu.

Kedua, mengambil alih peranan dakwah PAS dan mengembalikan kepercayaan rakyat terutama bukan Islam kepada keindahan Islam sebagai cara hidup seluruh umat, dan mengambil pendekatan rahmatan lil alamin.

Asas ketiga adalah menggunakan kaedah demokrasi yang ada di Malaysia dengan menyertai pilihan raya untuk mendapat kuasa bagi melaksanakan pemerintahan yang paling hampir menurut kehendak Islam serta menghapuskan segala kezaliman kerajaan.

Meski dua deklarasi dikeluarkan, sebahagian pimpinan GHB masih berada dalam proses transisi kepada perjuangan politik yang bebas daripada PAS.

Tidak mudah untuk menyisihkan ideologi PAS dari dalam diri kerana ia sudah sebati selama berpuluh-puluh tahun.

Justeru pada peringkat awal penubuhan Amanah, doktrin dan struktur organisasi PAS masih mendominasi parti baru itu.

Namun dalam perlembagaan, beberapa peruntukan dirangka untuk menjadikan Amanah sebagai sebuah parti yang lebih demokratik dan terbuka.

Siri 1: Jejak-jejak kelahiran Amanah


MUHAIMIN SULAM ialah bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan kini anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.