Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sebelum sempat PAS bertindak

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Kelahiran Amanah lapan tahun lalu melalui proses yang panjang dan berliku. Menarik untuk memahami jejak-jejak kelahiran Amanah kerana ia adalah proses perubahan yang mewarnai politik tanah air.

Mohamad Sabu dan rakan-rakannya sudah nekad mewujudkan sebuah wadah baru untuk mereka bergerak di luar PAS selepas ‘gugur setandan’. Menyedari wujud ketidaktentuan dalam PAS, gerakan itu berfungsi untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR).

Selepas program Malam Jasamu Dikenang di kawasan Sungai Abong (kini dikenali Simpang Jeram) di Bakri, gerakan tersebut mulai mengorak langkah ke seluruh negara.

Pada 13 Julai 2015, satu pelancaran gerakan itu diadakan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur. Dalam majlis itu dinyatakan juga hasrat penubuhan parti baru Islam dengan berciri-cirikan amanah, progresif dan peduli.

Pertemuan tersebut melibatkan beberapa parti-parti politik dan NGO. Bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhamad Taib juga hadir. Dia sebelum itu sudah meninggalkan Umno dan menyertai Pas.

Siri penerangan yang dikenali Jelajah Harapan Baru dibuat dengan Kelantan menjadi destinasi pertama. Ia adalah simbolik kepada penentangan terbuka terhadap PAS.

Pada 19 Julai satu ceramah sulung Gerakan Harapan Baru (GHB) diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu.

Salahuddin Ayub berkata kerjasama GHB bukan sahaja melibatkan parti politik seperti PKR, DAP dan lain-lain bahkan melibatkan NGO serta individu yang bermatlamat untuk menyelamatkan Malaysia.

Kesan Muhyiddin diketepikan

GHB menggunakan kesempatan semangat hari raya dengan menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GHB dan Pelancaran GHB Selangor. GHB Johor juga mengadakan majlis di Taman Universiti Johor Bahru pada 7 Ogos.

Majlis tersebut digunakan untuk mengumpulkan kekuatan dan pengukur pengaruh politik mereka. Pimpinan utama GHB turun bagi memastikan kehadiran yang ramai dan terserlah sokongan kepada mereka.

GHB Johor mengambil kesempatan untuk memberi keyakinan bahawa Johor merupakan tanah subur untuk meluaskan pengaruh dan dasar perjuangan mereka kepada umum.

Dengan situasi politik Umno Johor yang bergolak pada masa itu, GHB percaya mereka akan memperolehi keuntungan daripada perubahan sikap rakyat selepas pengguguran Muhyiddin Yassin dari kabinet.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan beberapa individu profesional dan tokoh ilmiah Johor bagi membantu gerakan tersebut termasuk Dr Sulaiman Mohd Nor, Dr Ali Abdul Rahman, Zainal Abidin Sidi dan Dr Mazlan Jam'an.

Tugas kepimpinan GHB pada peringkat awal penubuhannya adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa ia mampu mengisi kekosongan dalam PR.

Salahuddin berkata sokongan pelbagai kaum kepada parti itu menunjukkan keyakinan mereka kepada kepimpinan GHB untuk mengukuhkan dan membina kembali PR terutama untuk berdepan PRU ke-14.

GHB mulai merebak sedikit demi sedikit. Di Selangor, dianggarkan lebih 2,000 penduduk sekitar Shah Alam hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh Penasihat Umumnya, Ahmad Awang, Mohamad serta beberapa yang lain.

Dapat sambutan di mana-mana

Antara nama yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Seramai 18 anggota Jawatankuasa PAS Shah Alam meletakkan jawatan dan menyertai menyertai GHB. Mereka termasuk yang dipertuanya, Azli Yusof; Zulkifli Mohd Nani (timbalan yang dipertua); Mohamad Jamil Abd Rahim (naib yang dipertua) dan Helmi Radzuan (ketua pemuda).

Kemudian, gerakan tersebut merentas Laut China Selatan. Bekas Pesuruhjaya PAS Sarawak, Othman Mustapha, mengumumkan menyertai GHB Sarawak. Pengerusi GHB Sarawak, Andri Zulkarnaen Hamden berkata keputusan Othman itu adalah kerana yakin dengan pendekatan dibawa GHB yang lebih inklusif dan progresif.

Othman pernah bertanding atas tiket PAS PRU 1999 di kawasan Parlimen Batang Sadong, namun tewas kepada calon BN.

Penyertaan dan sokongan kepada GHB mulai mendapat sambutan di merata tempat. Ia bukan sekadar bekas pimpinan PAS Pusat dan negeri malah di peringkat akar umbi apabila mereka tidak lagi selesa berada dalam parti itu.

Ketika itu Adun atau ahli parlimen yang menyertai parti lain tidak menyebabkan kerusi mereka terkosong kerana belum ada akta antilompat parti.

Abdul Hadi Awang

Setiausaha GHB, Dzulkefly Ahmad, mengeluarkan kenyataan sebagai menjawab gesaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mahu mana-mana wakil rakyat PAS melepaskan kedudukan mereka seandainya keluar parti.

Meletak jawatan adalah tidak wajar kerana undang-undang semasa menyatakan jika ia dibuat, individu terbabit secara automatik tidak boleh bertanding selama lima tahun.

Tambahan pula kemenangan seseorang dalam sesebuah pilihan raya bukanlah bergantung kepada parti semata-mata, tetapi ada faktor-faktor lain seperti ketokohan calon, sokongan rakyat, isu serta gelombang semasa.

Kucar-kacir dalam PAS makin memburuk setelah beberapa pemimpin di Selangor mula terjejas.

Khalid Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Hanipa Maidin (Sepang) adalah antara ahli parlimen terawal mengistiharkan langkah mereka meninggalkan PAS dan menyertai parti baru yang bakal diwujudkan.

Justeru di mata ahli PAS, mereka dianggap sebagai pengkhianat kepada "perjuangan Islam". Dakwaan itu tidak sahaja dilakukan di peringkat bawahan tetapi turut dilagukan pemimpin tertinggi PAS.

Pun begitu langkah tokoh yang meninggalkan parti itu dianggap tidak menjejaskan PAS dan ia dinyatakan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Kamil.

Dia menegaskan PAS menerima kemasukan ahli lebih ramai sejak GHB diwujudkan.

Menurutnya, ada sekitar 20 orang menghantar surat pemakluman untuk meninggalkan PAS dan angka tersebut jauh lebih kecil berbanding 4,800 permohonan ahli baru PAS pada Ogos tahun tersebut.

Nasib anggota dan pemimpin PAS yang dipercayai terlibat dengan GHB ditentukan dalam mesyuarat parti pada 11 Sept 2015. Semua badan perhubungan PAS negeri diminta untuk mengemukakan laporan berhubung perkara itu kepada mesyuarat.

PAS Pusat membuat semakan sama ada wujud atau tidak bukti kukuh untuk diambil tindakan kepada individu yang terlibat.

Mengikut Perlembagaan PAS, terdapat empat tindakan yang boleh diambil terhadap sesiapa yang mengkhianati parti iaitu mengemukakan surat tunjuk sebab, diberi amaran, digantung keanggotaan atau dipecat.

Belum sempat PAS membuat tindakan, Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 16 Sept 2015.


MUHAIMIN SULAM ialah bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan kini menjadi anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.