KOLUM | Akta Hasutan: Lepas berkuasa, wajah Anwar bertukar
Biasa dalam mana-mana perubahan, akan ada korban yang ditagih. Dan bila menimpa para penggiat perubahan, yang selalunya perubahan itu dinamakan revolusi, orang mengatakan, “revolusi pun memakan anaknya sendiri”.
Ini berlaku di banyak tempat seperti di Perancis, di Russia, di China, di Iran, bahkan juga di Indonesia.
Tetapi dalam kes Wan Ji Wan Hussin, yang dipenjarakan baru-baru ini, kita terpaksalah menukarkan ayat itu kepada, “reformasi jua turut membaham anaknya sendiri”.
Wan Ji Wan Hussin adalah contoh paling penting dalam menunjukkan blok mana yang mempunyai figura-figura yang keras terhadap monarki.
Apabila Sanusi ditempelak tempoh hari, dalam kes melibatkan monarki, maka bercemperalah golongan Pakatan Harapan bagi mendesak Sanusi dikenakan Akta Hasutan. Adakah mereka sedar bahawa akta yang mereka tidak lupuskan itu, akan menghapuskan siapa pula di kalangan mereka?
Bukankah yang patut didesak itu ialah menghapuskan Akta Hasutan, bukan mendesak akta itu digunakan terhadap mereka yang tidak sealiran?
Di situ kita boleh melihat semacam keanehan fikrah politik pendukung Pakatan Harapan ini. Adakah mereka benar-benar menyelami maksud reformasi dan apa yang mereka juangkan selama ini? Ataupun hanyalah sekadar kecetekan dan kenaifan pemikiran politik, menyebabkan cita- cita mereka hanya sekadar mahu menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dan selain itu tidak penting sama sekali?
Akhirnya setelah hampir 11 tahun kes Wan Ji berlangsung, dia didapati bersalah dan kemudian dilempar ke dalam penjara untuk tempoh selama sembilan bulan. Maka telah hilanglah kawan-kawannya, ahli politik, aktivis, peguam, ustaz-ustaz, dan mereka-mereka yang melanggan ideanya.
Kebanyakan mereka menyepikan diri dari menulis dan mengkritik Akta Hasutan yang sebelum ini mereka tentang hidup- hidup. Dan Wan Ji, lucu atau sadisnya dipenjara ketika kawan-kawannya yang dikenali seperti Mat Sabu, Anwar Ibrahim menjadi menteri dan perdana Menteri. Suatu masa dulu Wan Ji berhimpun di depan Balai Polis Jinjang bila Adam Adli ditahan berikutan Akta Hasutan. Kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu entah masih kenal atau tidak, seorang ustaz bernama Wan Ji.
Wan Ji disangkarbesi di era Madani
Penyokong-penyokong rejim Madani boleh bersurah apa sahaja dan menyangka orang lain bodoh. Ada yang mengatakan bahawa kes Wan Ji menunjukkan kerajaan Anwar tidak campur tangan dalam urusan mahkamah sepertimana kes Zahid Hamidi. Di sini sahaja menunjukkan IQ penyokong rejim Madani ini setara mana.
Adakah mereka tidak pernah mendengar terma bidak catur atau kambing hitam? Atau ada yang perlu dikorbankan untuk menempuh sesuatu matlamat? Di sini kita boleh lihat minda kritis dan skeptis penyokong rejim Madani, yang suatu waktu dulu ketika menjadi pembangkang, minda mereka begitu rancak sekali dan menyangkal apa sahaja tindak tanduk pemerintah, tetapi sebaik sahaja pasukan kesayangan mereka menjadi pemerintah, minda mereka secara serta merta sudah tidak boleh berfungsi dengan baik.
Walhal bukan tidak boleh rejim Madani yang kerapkali memetik Qardhawi, Raniri, juga Sanusi ini, membuat moratorium seketika untuk akta-akta drakonian. Sekurang-kurangnya untuk kes-kes yang baru pada era Anwar memerintah. Atau kes-kes yang bermula pada tahun 2023.
Segala hukuman yang akan dikenakan pada mangsa dalam kes Akta Hasutan harus dibuat moratorium serta merta. Bahas dan bincangkan serta merta di Parlimen, sama ada mahu pinda atau hapuskan segera. Jika Mahathir boleh bebaskan segera Kassim Ahmad beberapa hari selepas mengambil kuasa pada 15 Julai 1981, mengapa Anwar tidak boleh?
Adakah Anwar Ibrahim perlu campur tangan?
Kini, yang dimain-mainkan secara defensif oleh penyokong PH, adakah Anwar perlu campur tangan? Perlukah Anwar campur tangan? Bukankah ini bukti Anwar tidak campur tangan? Jadi terhadap aktivisnya yang tegar menyokongnya pun, tidak akan dipertahankan (harus dibaca sebagai: kalau Wan Ji pun boleh kena, penyokong PH yang tidak seperti Wan Ji apatah lagi?.
Anwar dan penyokong PH harus berhenti berbohong buat seketika. Mereka harus bermuhasabah sebentar. Tidakkah sebelum ini, mereka pernah juga mengeluarkan kenyataan dalam kes Wan Ji? Pada tahun 2019, Anwar secara khusus mengeluarkan kenyataan membantah pensabitan Wan Ji atas dakwaan menghasut oleh Mahkamah Tinggi.
Menurut Anwar pada masa itu, hukuman ke atas Wan Ji itu keras, dan tidak konsisten dengan peralihan demokrasi.
Kenapa selepas mendapat kuasa, wajah Anwar perlahan-lahan bertukar tidak sampai 10 bulan?
Adakah dengan penyokong tegarnya sendiri pun, Anwar berbohong?
Mungkinkah ini menjawab persoalan kenapa seorang demi seorang penyokong tegar Anwar berpaling ke belakang dan menyertai kem musuhnya? Kerana apabila mendapat kuasa, apabila menjadi Perdana Menteri, dia sudah tidak peduli lagi. Yang perlu difikirkan dan dipertahankan ialah jawatan Perdana Menteri itu. Yang lain biarkan mereka sendiri. Tidak perlu dipeduli. Seorang demi seorang mulai meninggalkan Anwar. Atau seorang demi seorang ditinggalkan Anwar, kerana dia sudah berada di Putrajaya. Yang lain hanyalah bidak catur, untuk dia berada di puncak kuasa.
Jika hujah defensif mereka ialah kerajaan tidak boleh campur tangan, mengapa semasa ceramah pada rakyat berpuluh-puluh tahun sebelum ini, kata mahu hapuskan itu dan ini, akta itu dan akta ini, bukankah itu sememangnya memerlukan campur tangan pemerintah?
Jika semua benda tidak mahu campur tangan, buat apa jadi pemerintah dan menjual janji-janji bohong kepada para pengundi selama ini?
Menjadi pemerintah mestilah campur tangan dan terlibat dalam perubahan sistem-sistem yang menekan. Bukan hanya membiarkan dan beralasan dungu bahawa tidak boleh campur tangan.
Untuk menghapuskan akta-akta drakonian, pemerintah mestilah campur tangan!
Bagaimana dengan ancaman dan hasutan?
“Tugas kita ialah menghasut.” Ucap Rafizi Ramli dalam satu majlis.
Di sini sahaja menunjukkan yang kuat menghasut ini siapa? Sampai menjadikan menghasut itu sebagai satu tugas. Siapa jagoannya? Ini yang paling merosakkan apabila pemimpin mengeluarkan kata-kata yang tidak bertanggungjawab.
Kemudian rakyat dan orang ramai mengikut tingkah laku mereka. Sementara pemimpin tersebut tidak kena atau tidak ada masalah dalam menghadapinya, mampu membayar saman atau mengupah barisan peguam yang handal, keistimewaan dan kelebihan itu tidak mampu dimiliki oleh semua rakyat dan pengikut mereka? Akhirnya isteri, anak dan ibu bapa yang sudah tua terpaksa ditinggalkan dan ditanggung oleh masyarakat akibat ulah pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Ya, sudah pastinya mereka yang mahu mengucar-ngacirkan kehidupan masyarakat, melaga-lagakan isu kaum dan agama perlulah diambil tindakan. Tetapi perlu lebih jelas dan tuntas. Adakah kritik sesuatu perkara itu dianggap hasutan? Mengkritik ketidakadilan, mengkritik kekayaan yang tidak dimeratakan, adakah itu dianggap sebagai kesalahan dan jenayah? Mengkritik golongan-golongan kayangan, adakah itu kesalahan? Mengkritik dan maki hamun wajar dibezakan.
Jika ia punyai sandaran dalam kritikannya, wajarkah itu dijadikan satu kesalahan?
Di sinilah pentingnya untuk menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen PH yang berkokok siang malam pagi petang untuk menunaikan janji-janji mereka yang tidak terpenuhi selama ini. Dan jika menteri-menteri PH dan ahli-ahli parlimen PH gagal untuk mengotakan janji mereka, maka pendukung-pendukung PH sendiri harus bertegas dan menekan kerajaan PH untuk melakukan apa yang dijanjikan sebelum ini. Bukan pendukung-pendukung PH berasa sentap dan koyak pula kepada pihak yang menegur mereka.
Bila kita melihat PH masih meneruskan Akta Hasutan yang diperkenalkan oleh penjajah pada tahun 1948 ini, yang akta ini telah membenamkan dan menggiring sekian ramai pejuang kemerdekaan ke rumah pasung, kita harus bertanya adakah PH jujur dengan agenda demokrasi dan reformasi yang mereka retorikkan berapi-api sebelum ini?
Dan sekiranya ditakdirkan Tuhan, mereka tersungkur dan rebah di pintu kuasa dan ditendang keluar dari singgahsana sekali lagi, apakah mereka mempunyai kelayakan (orang putih kata, have the guts) untuk bercakap tentang peruntukan pembangkang, tentang PTPTN dan Pendidikan Percuma, tentang AMCP 1984, dan tentang Akta Hasutan?
Sedangkan pada era mereka memerintah, kawan mereka sendiri mereka salibkan atau biarkan terkontang-kanting meratap di tembok dendam?
Sememangnya kita boleh memungut derma dan memberikan kepada keluarga Wan Ji. Tetapi lebih penting, perjuangan menghapuskan Akta Hasutan ini, adakah sudah berakhir bila Anwar naik menjadi Perdana Menteri?
Dan bila Pakatan Harapan masih meneruskan Akta Hasutan, adakah kita masih ada harapan?
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai